Like Blog Ini...

Sunday, October 26, 2008

Lebih banyak bacaan al-Quran di IKIM.fm

SELARAS dengan usaha membudayakan bacaan al-Quran di kalangan Muslim, stesen penyiaran radio berkonsepkan Islam sepenuhnya, IKIM.fm bakal menjadi saluran tunggal yang akan memperdengarkan bacaan al-Quran secara lebih khusus mulai tahun depan.

Alunan ayat-ayat al-Quran itu akan ke udara di saluran IKIM.fm di waktu senggang sebelum dan selepas diperdengarkan azan dan menjelang lewat tengah malam.

“Jika sebelum ini alunan ayat-ayat suci ke udara hanya beberapa minit, tetapi mulai tahun depan kita merancang menetapkan tempoh siarannya sehingga lima minit pada setiap waktu senggang berkenaan,” kata Pengarah Radio IKIM.fm, Asa’ari Mat Noh.

Malah katanya, surah-surah dan qari yang akan mengalunkan bacaannya ke udara juga akan ditetapkan.

Pembaharuan itu kata Asa’ari, telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pemandu Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada mesyuarat yang diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Raya IKIM, baru-baru ini.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya IKIM. Turut hadir ialah Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Syed Tawfik Al-Attas.

IKIM.fm di bawah pentadbiran IKIM yang mula dilancar dan beroperasi pada 6 Julai 2001 telah pun memenuhkan waktu-waktu senggang tersebut dengan segmen bacaan al-quran.

Bagaimanapun, kata Asa’ari, pilihan surah, qari dan tempoh bacaan yang ke udara sehingga kini tertakluk kepada minat serta kecenderungan deejay yang bertugas.

Mulai tahun depan, alunan ayat-ayat suci itu akan ke udara di saluran IKIM.fm untuk tempoh lebih lama dengan format bacaan bersambungan pada setiap waktu senggang berkenaan.

Selain itu, bacaan ayat-ayat yang akan ke udara pula ditetapkan untuk hanya dialunkan oleh seorang qari sahaja.

Melalui format baru itu kata beliau, seorang qari akan dipilih memperdengarkan bacaan di udara melalui saluran IKIM.fm bagi tempoh sehingga lima minit pada setiap waktu senggang bermula dari awal surah hingga tamat 30 juzuk.

“Apabila bacaan kesemua 30 juzuk daripada 114 surah itu habis ke udara, IKIM.fm akan adakan segmen khatam quran di udara bersama qari berkenaan, sebelum diambilalih oleh qari yang lain pula untuk meneruskan pembacaan di udara,” jelasnya.

Dengan cara tersebut beliau berharap dapat membantu pendengar mengikuti serta menyemak bacaan masing-masing di samping dapat menyuburkan lagi usaha membudayakan bacaan al-Quran dalam masyarakat.

No comments: