Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
SELESAI dua kalimah syahadah dilafazkan, hatinya terasa terlalu aman seperti dinginnya air yang mengalir di bawah terik matahari meresap ke seluruh anggota. Hatinya bergetar dan terharu kerana niat yang disimpan sejak remaja akhirnya dimakbulkan.
Menurut Siti Aishah Abdullah, 24, seorang saudara baru sejak 2002, tidak ada perkataan yang mampu diluah untuk menggambarkan perasaannya saat itu, hanya air mata kesyukuran yang tumpah mengiringi keredaannya memilih Islam sebagai pegangan hidup.
Akuinya, ia mendamaikan hati malah semakin yakin dengan apa yang dilakukan kerana ahli keluarga terdekat terutama emak dan ayahnya tidak membantah haluan yang dituju.
"Aishah sungguh terharu kerana jalan Aishah lebih mudah, tidak seperti kelaziman yang ditempuh oleh orang lain yang mempunyai hasrat serupa kerana ibu bapa tidak membantah," jelasnya.
Selalunya babak yang kita dengar, tentangan yang keras sehingga ada yang memusuhi darah daging sendiri dan lebih teruk lagi mereka tidak lagi mengaku anak dan menghalau keluar daripada keturunan.
"Sebaliknya Aishah sangat-sangat bersyukur kerana emak dan ayah yang berketurunan Cina dan menganut agama Buddha tidak membantah, sebaliknya banyak memberi sokongan moral," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis tudung, pakaian siap termasuk kurung dan baju Melayu, wanita berasal dari Kemboja ini juga menjual kain batik, kain pelikat dan telekung di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu, Kelantan.
"Aishah suka berniaga kerana daripada apa yang dipelajari melalui pembacaan atau mendengar ceramah agama di masjid-masjid, isteri Rasullullah SAW, Siti Khadijah juga gemar berniaga malah menjadi saudagar yang berjaya ketika di zamannya.
"Hati berasa tenang dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan walaupun kerenah dan ragam mereka ada kalanya memang mencabar kesabaran dan keimanan," ujarnya.
Sejujurnya kata Aishah, sejak beliau memeluk Islam ketika usia menginjak 19 tahun, hatinya lebih lembut dan mudah diajak berbincang jika berlaku apa-apa masalah berbanding sebelumnya.
Sebelum ini di negara asal kata Aishah, ketika usia menginjak remaja, hatinya sering memberontak dan mudah marah jika timbul perkara yang tidak disenangi.
Namun, selepas memilih Islam sebagai pegangan hidup, beliau lebih positif dan berfikiran lebih terbuka dan matang.
Menurutnya, antara sebab mudah menerima ajaran Islam kerana sejak kecil beliau mempunyai ramai teman di kalangan yang beragama Islam di kampung halaman di Siamreap, Kemboja.
"Pada tahun 2000, Aishah pernah melancong ke negara ini dan berkenalan dengan seorang wanita yang tinggal di Kota Bharu dan mengambil Aishah menjadi anak angkatnya.
"Melalui kenalan itu, Aishah belajar berniaga kain dan menjahit. Secara tidak langsung belajar mengenai agama Islam lebih mendalam dengan sokongannya," katanya.
Kecekalan hatinya memeluk Islam dan ketenangan yang sering terpancar di wajahnya turut mempengaruhi ahli keluarga yang lain.
Abangnya, Mohamad Yusof Kim, 27, menunjukkan minat yang mendalam dan akhirnya dengan dorongan Aishah, dia selamat melafazkan dua kalimah syahadah pada tahun 2003.
Persetujuan abang sulung untuk bersamanya memilih Islam amat menggembirakan dan dia bersyukur kerana abangnya turut mendalami Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
"Aishah sungguh terharu dan sentiasa berdoa agar kesemua ahli keluarga juga terbuka hati untuk memeluk Islam dan Allah makbulkan doa tersebut apabila adik lelaki, Abdul Haq Kim, 22, juga memeluk Islam pada awal bulan Ramadan lalu," ujarnya terharu.
Sambutan hari raya kali ini lebih ceria dan bermakna kerana Abdul Haq meraikannya buat kali pertama sebagai seorang muslim.
Melayari kehidupan sebagai saudara baru, banyak cabaran yang dilalui walaupun mendapat bimbingan daripada Perkim peringkat negeri.
Sejak memeluk Islam dan menetap di negara ini, hidup Aishah seperti perjalanan cerita dalam drama di televisyen.
Katanya, dalam usia 24 tahun dia telah bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Wan Ahmad Firdaus, 3, dan Wan Nor Salwa, 2.
"Hakikatnya apa yang Aishah lalui, tidak pernah terlintas pun akan terjadi namun Aishah reda dengan ketentuan hidup yang Allah tentukan dan yakin ia ada hikmahnya.
"Aishah kini lebih berdikari untuk menampung kehidupan termasuk membayar sewa rumah, sewa kedai, perbelanjaan anak-anak termasuk juga menanggung keluarga yang berhijrah ke negara ini," katanya.
Status janda katanya, tidak mengubah pendiriannya terhadap Islam walaupun di peringkat permulaan merasa amat kecewa dan hampir hilang pertimbangan diri.
"Mujur nasihat kenalan rapat dan sokongan moral keluarga terutama ayah, Kim Tee, 62, yang kini tinggal bersama Aishah banyak membantu.
"Aishah perlu kuatkan semangat untuk terus menjalani kehidupan kerana setiap kali terpandang wajah anak-anak yang masih kecil, terasa sedih dan pilu," ujarnya.
Walaupun gagal dalam perkahwinan, namun sebagai wanita ini reda dengan ujian yang menimpa malah berhasrat membawa kedua ibu bapa dan dua lagi adiknya di Kemboja memeluk Islam pada bila-bila masa sahaja yang mereka persetujui.
No comments:
Post a Comment