Like Blog Ini...

Sunday, October 26, 2008

Memilih Pemimpin

Memilih pemimpin
SOALAN: Dalam sebuah hadis ada menyebut kriteria memilih pemimpin iaitu antara seorang pemimpin yang bijak dalam pentabiran dan sedikit melakukan maksiat lebih baik daripada seorang pemimpin yang warak tetapi tidak pandai mentadbir (lemah dari segi siasah politik). Adakah benar maksud hadis itu?

– Abdullah Ismail, Dungun, Terengganu.

JAWAPAN: Hadis tersebut adalah riwayat Abu Daud ra. bahawa Abu Zar ra. seorang yang terkenal zuhud dan warak datang menemui Rasulullah untuk menawarkan dirinya bagi sebarang jawatan yang sesuai. Lalu sabda Rasulullah kepadanya: Wahai Abu Zar! aku lihat kamu ini banyak kelemahan dan aku mengasihi mu seperti diriku sendiri. Oleh itu lebih baik kamu tidak memimpin (menyandang) sebarang jawatan pemimpin dan mengurus harta anak yatim (Riwayat Abu Daud dari Abu Zar ra.) 

Dari sini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kriteria dan kelayakan itulah, yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam sesuatu pemilihan pemimpin, dan apabila bersaingan antara dua kriteria iaitu yang seorang lebih berkemampuan tetapi kurang sempurna budi pekertinya dan yang seorang lagi kurang berkemampuan tetapi baik akhlaknya maka kata ulama kriteria yang pertama lebih diutamakan kerana yang penting jasa kebaikan dan (kepentingan orang ramai lebih diutamakan dari kekurangan pekertinya). Sebab kejahatan seseorang itu bahayanya hanya atas dirinya sahaja dan tidak melampaui dirinya sendiri sedangkan kepentingan (maslahat umum) yang dapat dilaksanakan untuk orang ramai itu, akan dapat dirasai oleh seluruh ummah. Demikianlah sebaliknya. Tetapi sekiranya seseorang itu dapat menepati dan menghimpun kedua-dua kriteria tersebut maka itulah pilihan terbaik. Wallahualam.

No comments: