Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
IMAM Hasan Al-Banna, seorang tokoh dan pejuang Islam sejati berkata: "Pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang hidup aman sejahtera dengan kemajuan melimpah ruah akan lebih mementingkan diri sendiri daripada nasib agama dan bangsanya.
"Namun, pemuda yang lahir dalam sebuah negara yang sedang berjuang kerana agama dan bangsanya sedang dijajah, akan berjuang bermati-matian untuk mengembalikan hak, khazanah serta kebebasan mereka yang telah dirampas dan dinafikan.
"Bagaimanapun, gagasan akan berjaya jika wujud empat asas iaitu keimanan dari hati yang bersih, keikhlasan dari jiwa yang suci, semangat dari keinginan yang kuat dan usaha melalui keazaman yang membara. Semua itu ada pada orang muda."
Sebab itu kata mujahid agung itu, kewajipan, tanggungjawab dan amanah ke atas orang muda terlalu banyak dan berat. (kitab Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna - edisi Bahasa Melayu).
Islam yang sangat menitikberatkan keharmonian ummah dengan mengajak serta menyuruh kepada hidup bermuafakat dan kesepakatan dengan saling berbaik sangka serta tolong menolong perlu dijadikan asas kehidupan dan perjuangan.
Namun keadaan kini semakin tidak keruan, ummah sering mengadu domba sesama sendiri dengan pelbagai fitnah demi menjayakan survival kenafsuan diri dan minoriti dari ummah sejagat.
"Fitnah merupakan senjata dan musuh yang paling bahaya dan dahsyat bagi manusia dan Islam menjadi sasaran fitnah paling hebat kini," kata mantan khatib Masjid Al-Aqsa di Palestin, Sheikh Dr. Mohamed Mahmoud Seyam.
Presiden Persatuan Ulama Palestin yang berpusat di Yaman itu berkata, umat Islam sekarang sedang menghadapi peperangan dan jihad yang paling besar untuk menentang fitnah.
Fitnah itu pula beritahu Dr. Seyam yang juga mantan Rektor Universiti Islam Gaza, bukan hanya dari golongan kuffar tetapi di kalangan Muslim sendiri.
Sebab itu Allah SWT awal-awal lagi melarang daripada terlibat dalam membuat fitnah dan yang seumpamanya sebagaimana maksud dalam firman-Nya: Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah, yang banyak menghalangi perbuatan baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa, yang kaku kasar, selain dari itu, yang terkenal kejahatannya. (al-Qalam: 10-13)
Menurut Dr. Seyam, apa yang terjadi ke atas negara-negara Islam seperti Palestin, Iraq, Afghanistan dan Sudan serta Muslim di Thailand dan Filipina adalah angkara fitnah manusia yang memusuhi Islam.
Katanya, fitnah dan pembohongan besar yang berterusan menjadikan bumi dan rakyat Palestin dan umat terus dihimpit, ditekan dan ditindas.
"Malah masjid al-Aqsa yang menjadi tanda arah kiblat pertama Islam kini hanya menunggu masa untuk dilenyapkan dari muka bumi oleh Yahudi Israel," katanya.
Lebih dahsyat lagi tambah beliau, apabila negara Palestin berdaulat cuba dihapuskan untuk diganti dengan negara yang tidak pernah wujud sama ada dalam udang-undang manusia, apa lagi hukum Allah, iaitu Israel.
Dr. Seyam berkata demikian dalam Ceramah Perdana Akademi Ramadan '08 bertajuk Dari Palestin ke Malaysia - Nasihat Seorang Imam dan Pejuang Untuk Mahasiswa di dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API UM), bulan lalu.
Ceramah hampir sejam kelolaan Persatuan Mahasiswa Islam Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Yaman itu dihadiri lebih 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang.
Kata Dr. Seyam, apa yang berlaku dan ditanggung oleh generasi muda Islam di Palestin serta negara-negara Islam sekarang adalah kerana kesilapan generasi dahulu.
Menurutnya, generasi dahulu dan yang masih memimpin sekarang, terlalu banyak mengikut telunjuk Amerika Syarikat (AS) dan berkiblat kepada Barat.
"Akibatnya generasi kamu sekaranglah yang menanggung beban dan perlu mengatasinya," katanya.
Tegas beliau, fitnah paling dahsyat yang menimpa dan ditanggung oleh umat Islam sekarang ialah peperangan yang ditiup oleh musuh Islam dan permusuhan sesama Muslim.
Mengenai keadaan dan nasib pejuang Palestin kini Dr. Seyam memberitahu, angkara fitnah musuh Islam, bangsanya kini berpecah dua.
Satu kumpulan sekular yang memilih untuk bekerjasama dengan musuh Islam dan menurut telunjuk AS serta Yahudi. Mereka berpusat di Tebing Barat dan rela hidup dan berjuang bersama musuh Islam.
Kumpulan satu lagi memilih jihad menegakkan Islam dan mempertahankan bumi serta bangsa Palestin dengan menentang apa sahaja ancaman dan tekanan musuh Islam hingga ke titisan darah terakhir.
"Kumpulan sekular tidak mementingkan Islam, mereka sedia serahkan senjata dan apa sahaja kepada musuh Islam untuk kesejahteraan hidup dunia." jelasnya.
Mempertahankan hak
Namun, pejuang dan mujahid di Semenanjung Gaza paling ramai syahid, ditangkap dan didera kerana mempertahankan hak dan maruah Islam di bumi sendiri.
Tambah Dr. Seyam, setiap anak pejuang Palestin yang dilahirkan memiliki ketabahan, keberanian yang jitu untuk terus melawan musuh Islam meskipun hanya bersenjatakan batu-batu.
"Sebab kami sentiasa mengharap dan yakin dengan pertolongan Allah SWT serta doa dan sokongan daripada saudara-saudara Islam prihatin di seluruh dunia," ujarnya.
Pejuang rakyat Palestin kata beliau, tidak mengharapkan sumbangan tenaga dan wang ringgit daripada sesama Muslim tetapi cukuplah dengan doa dan sokongan moral.
Menurutnya, apa guna bantuan dan sumbangan yang melimpah ruah jika maruah agama, bangsa dan bumi sendiri dilepas sebagai balasan.
Beliau memberitahu, menerima bantuan negara-negara arab yang kaya bererti mereka mesti mengiktiraf kewujudan negara Israel, mengikut telunjuk AS dan menghentikan jihad keatas musuh Islam.
"Kami mahu pastikan syarat itu tidak akan berlaku sebab kami berjuang kerana Islam dan bumi Palestin serta yakin dengan janji Allah. Jadi kami tolak semua bentuk bantuan mereka," tegasnya.
Bagaimanapun tambah beliau yang rela melepaskan semua kedudukan demi mempertahankan Islam serta hak rakyat dan bumi Palestin, bantuan memang ada dan sampai di Palestin tetapi ia hanya diterima oleh kumpulan sekutu AS yang sentiasa bersedia menggadaikan maruah kepada musuh-musuh Islam.
Malaysia kata Dr. Seyam, sangat bertuah kerana satu-satunya negara Islam yang bebas, aman, makmur dan harmoni yang tidak lagi diperolehi oleh mana-mana negara Islam lain di dunia ini.
"Negara-negara Islam dan Muslin lain disekat dari mendapatkan pendidikan, kehidupan mereka ditekan, ditindas dan dibunuh sewenangnya. Jadi sayangi dan jagalah kebebasan serta keharmonian yang anda nikmati sekarang." pesannya.
Beliau seterusnya mengingatkan seluruh mahasiswa bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai pelajar ialah belajar bersungguh-sungguh dan tumpu sepenuhnya dalam pelajaran, bukan melibatkan diri dengan kegiatan berbaur politik.
"Berpolitik bukan kerja dan tugas hakiki kamu. Malah tenaga dan khidmat kamu juga tidak diperlukan oleh negara-negara Islam tertindas dan bergolak seperti Palestin.
"Doa dan sokongan moral kamu sudah menjadi senjata paling ampuh bagi anak-anak pejuang Palestin kami meneruskan perjuangan mempertahankan Islam, Al-Aqsa dan tanah air." ujarnya.
Palestin kata beliau lagi, tidak pernah kurang pejuang kerana setiap anak palestin yang dilahirkan sudah bersedia dan sentiasa menanti untuk jihad menentang apa sahaja tekanan dan ancaman musuh-musuh Islam.
Beliau yang singgah di Jakarta untuk misi yang sama sebelum itu berkata, perjanjian damai Israel-Yahudi ke atas Palestin paling menyakitkan dan menganggu mereka.
Perjanjian itu menurutnya, menyebabkan pejuang Palestin sekarang dihalang solat berjemaah dan bertarawih di Masjid Al-Aqsa. Namun, itu tidak pernah melemahkan para pejuang dan mujahid Palestin, malah mereka tetap bersolat jemaah di Al-Aqsa meskipun hanya di tempat letak kereta.
No comments:
Post a Comment