SOALAN: Adakah Allah SWT menerima doa yang diungkapkan sedangkan saya tidak faham berdoa dengan bahasa Arab? Bagaimana berdoa dengan cara yang diterima Tuhan?
- Haji Yaakub, Kusial, Tanah Merah, Kelantan.
JAWAPAN: Imam Shafi'I Rahimahullah pernah menyeru umat Islam agar belajar bahasa Arab. Sudah tentu beliau tidak berhajat menjadikan kita pakar dalam bahasa Arab. Apa yang dikehendaki beliau agar umat Islam faham apa yang dibaca dalam sembahyang dan apa yang diungkapkan dalam doa.
Salah satu kelemahan umat Islam, walaupun mereka membaca al-Quran tetapi ramai tidak memahaminya. Bagaimana dapat berkesan pembacaan yang tidak mereka fahami? Saya juga selalu berfikir, bagaimana Tuhan menerima sesuatu doa tanpa kita memahaminya? Hanya jiwa saya optimis, Tuhan itu faham dan Dia tahu apa yang kita inginkan. Hanya bagi pihak kita, samalah dengan seseorang yang membaca surat setiap masa tetapi tidak memahami isinya. Maka tidak peliklah banyak ayat Tuhan kita abaikan dan arahannya kita tidak pedulikan. Doa kita sepatutnya menjadi motivasi untuk mencapai apa yang kita ingini. Lalu kita semua diajar oleh al-Quran dan sunnah agar berdoa: "Tuhan kami, berikan kami kebaikan (hasanah) di dunia dan kebaikan (hasanah) di akhirat,''
Dalam bulan Syawal yang berkat ini, saya ingin berkongsi doa yang boleh dijadikan motivasi kehidupan di dunia hingga akhirat. Sebaik-baiknya sebelum berdoa berwuduklah dan menghadap Kiblat. Mulakan dengan memuji Allah dan berselawat akhiri doa dengan selawat dan memuji Tuhan.
"Tuhan ku, kami memohon lidah kami yang basah menyebut (mengingati)Mu, hati yang khusyuk mensyukuri nikmat-Mu, badan yang ringan lembut mudah mentaati-Mu, Tuhan ku, kami memohon iman yang sempurna, kami memohon hati yang khusyuk
Kami memohon ilmu yang bermanfaat, kami memohon keyakinan yang benar (jujur). Kami memohon agama yang lurus. Kami memohon terlepas daripada segala bala bencana
Kami memohon kaya sempurna daripada memerlukan manusia lain
Berikan kami hakikat iman yang sebenar kepada-Mu hingga kami tidak perlu takut dan mengharap kepada yang lain daripada-Mu dan tidak kami menyembah yang lain daripada-Mu.
Hulurkan tangan Mu terhampar ke atas kami, kepada keluarga dan anak pinak kami dan mereka yang bersama kami; Jangan sama sekali melupakan kami walau sekelip mata dan tidak lebih singkat daripada itu, Wahai Tuhan penerima Doa.
Jika doa ini dibacakan ia memberi motivasi untuk sentiasa ingat dan menyebut nama Tuhan setiap masa. Hatinya sentiasa segar mensyukuri nikmat Tuhan. Lalu mudahlah baginya mentaati perintah Allah.
Mereka yang ada motivasi diri yang tinggi tidak akan terheret dalam sebarang polemik murahan kerana berebut sekangkang kera harta dunia kerana yakin pada Allah masih banyak rezeki lain yang tidak perlukan mereka berebut-rebut. Doa ini juga menjadikan kita tidak perlu taksub kepada sesiapa kerana Tuhan akan menunjuk jalan yang betul dengan ilmu bermanfaat yang ada pada dirinya.
Mereka yang berdoa dengan doa ini akan ada kekuatan dan keberanian kerana Tuhan akan sentiasa bersamanya. Payung Tuhan lebih lebar daripada segala payung yang ditawarkan manusia lain. Semoga semua doa kita diterima Allah SWT. Apa yang penting berdoalah dengan penuh ikhlas dan rasa syukur.
Sekali lagi diperingatkan doa itu bukan sekadar ungkapan kosong, berjela, mendambakan bahasa Arab yang fasih, tetapi lebih penting ia datang dari lubuk jiwa yang murni bersalut takwa dan keimanan. Saya tidak bersetuju dengan mereka yang mengada-gada dalam berdoa apa lagi di depan orang ramai. Ada pula sekarang dianggap doa komersial yang dilakukan oleh mereka yang mencari keuntungan dunia atas nama agama. Jauhilah diri daripada nifak dan riyak. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment