iluvislam.com
by: Hassan Adli
Kebesaran kitab suci al-Quran tidak dapat disangkal lagi oleh orang yang mengetahui akan keajaibannya. Orang yang berakal belum tentu mengetahui akan mukjizat terbesar al-Quran yang merupakan mu’jizat sepanjang zaman. Banyak sejarah menceritakan tentang umat-umat terdahulu yang berakal tetapi tidak mahu menggunakan akal fikiran mereka untuk berfikir. Apabila mereka berfikir banyak pula daripada mereka yang menolak kebenaran disebabkan oleh kebodohon dan ketaksuban mereka terhadap agama nenek moyang mereka. Pada hal akal mereka mengetahui kebenaran sebenar.
Ya’qilun dan Ya’lamun.
Di sini terdapat perbezaan di antara berakal dan orang yang mengetahui. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Allah S.W.T. dalam firmannya: “…biarpun mereka sedikitpun tidak mengerti dan tidak mendapat petunjuk”.
Kalimah “tidak mengerti” dalam ayat ini adalah terjemah kepada kalimah laa ya’qilun (لا يعقلون), surah al-Baqarah, ayat 170. Dalam ayat lain, ayat 104, surah al-Maidah, Allah S.W.T. berfirman lagi :
“…biarpun mereka sedikitpun tidak mengerti dan tidak mendapat petunjuk”.
Dalam ayat ini Allah S.W.T. menggunakan kalimah laa ya’lamun (لايعلمون) yang membawa maksud ‘tidak mengetahui’. Di sini kita dapat lihat perbezaan di antara keduanya. Hal ini banyak menimbulkan persoalan di kalangan orientalis yang mengatakan bahawa kedua-dua kalimah « ya’qilun » dan « ya’lamun » itu sama maksudnya. Ilmu dan akal, ataupun akal dan ilmu itu adalah satu. Orang yang berakal ialah orang yang mengetahui, ataupun orang yang dapat menerima ilmu. Sebab itu mereka mengatakan maknanya sama sahaja.
Tetapi Kalamullah tidak ada tandingannya, para orientalis itu tidak beriman dengan al-Quran, bagaimana mereka itu dapat berhujah berkenaan al-Quran? Sekiranya mereka dapat berhujah dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata sudah pasti mereka itu akan beriman dengan al-Quran. Sekiranya diteliti kedua ayat ini, kalimah « ya’qilun » itu digunakan sebagai menyatakan bahawa mereka itu (musyrikun) menafikan kebenaran disebabkan mereka itu memang pada hakikatnya mempunyai akal tetapi belum tahu apa-apa tentang Allah yang satu, sebab itu mereka menolak apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Pada ayat yang menggunakan kalimah « ya’lamun », di sini menceritakan bahawasanya mereka itu berakal, kemudian mereka telah mengetahui kebenaran, tetapi masih bersikap bodoh dengan pengetahuan mereka, sebab itu mereka tidak diberikan hidayah atau petunjuk.
Bahasa al-Quran tiada tandingannya. Balaghah al-Quran sangat halus dan luarbiasa sehinggakan tidak ada seorangpun yang dapat menandinginya walaupun para penyair yang tersohor di dunia ini.
Syair dan Kalamullah.
Cuba kita datangkan seorang penyair arab yang terhebat dan kita minta penyair itu membina sebuah syair (pantun atau sajak) yang paling hebat daripada akalnya sebagai menandingi surah al-Fatihah sehingga tidak terlawan oleh penyair handalan yang lain, kemudian kita aplikasikan syair arab itu dalam solat kita sebagai menggantikan surah al-Fatihah, apakah syair yang hebat itu dapat menandingi kehebatan Kalamullah surah al-Fatihah yang hanya tujuh ayat? Penulis yakin hanya beberapa kali ulangan syair itu, sudah pasti jemu untuk mengulanginya, bahkan mungkin ada yang berkata “syair apakah ini?” Hal ini dikuatkan lagi dengan firmanNya: “Kami tiada mengajarkan syair (pantun) kepadanya (Muhammad), dan syair itu tiada patut baginya. Dia tidak lain, hanya peringatan dan Quran yang terang” (Yaasin 36: 69).
Cuba kita tanya diri kita, sudah berapa ribu kali kita membaca surah al-Fatihah dalam solat dan di luar solat? Pernahkah kita jemu mengulanginya, pernahkah kita merasai sesuatu yang tidak kena pada ayat-ayat dalam surah al-Fatihah? Cukup indah susunan ayat-ayatnya. Ayat-ayatnya ringkas tetapi maksud ayat-ayatnya memerlukan penafsiran yang berjilid-jilid.
Sehingga ke hari ini ramai yang mendalami surah al-Fatihah dari sudut balaghah, bahasa, penafsiran dan lain-lain yang bersangkutan dengan surah al-Fatihah itu sendiri, walhal ayatnya hanya tujuh sahaja. Walaupun tujuh ayat tetapi masih ramai yang salah dalam melafazkan ayat-ayatnya, sehinggakan terpaksa belajar ‘alif-ba-ta’ semula kerana mahu menyebut Kalamullah dalam surah al-Fatihah dengan tartil dan mengikut seperti bacaan Rasulullah S.A.W. Hanya tujuh ayat tetapi berbagai-bagai ragamnya.
Apa itu Mu’jizat?
Mukjizat adalah suatu perkara luar biasa dari undang-undang alam, ataupun kebiasaan alam. Allah S.W.T. telah mengurniakan Mukjizat itu kepada RasulNya untuk menunjukkan dasar-dasarNya serta menetapkan mereka di atas dasar-dasar tersebut. Di samping itu Allah S.W.T. mengingatkan manusia, bahawasanya para Rasul itu adalah utusan-utusanNya yang mendapat sokongan dan bantuan dari langit. Dan apabila sesuatu perkara itu mendapat sokongan dan bantuan dari langit, nescaya ia akan melumpuhkan segala undang-undang dan kebiasaan manusia dan menjadikannya lumpuh ketika berhadapan dengan perkara itu. (rujuk: Mu’jizat al-Quran, Muhammad Mutawalli Sya’rawi (penterjemah: Syed Ahmad Semait), Singapura, ms. 6), atau (lihat: Risalah fi al-I’jaz al-Qurani, Dr Radwan Jamal al-Atrash, UIA, fasal pertama).
Antara ciri-ciri Mu’jizat itu salah satunya ialah, perkara itu tidak pernah terfikir oleh akal akan berlakunya perkara itu, ianya di luar batas pemikiran manusia dan tidak terlawan oleh seorangpun akan perkara itu melainkan Allah, sehingga tercabar akal mereka untuk menerima hakikat terjadinya perkara itu.
Sebagai contoh, Allah S.W.T. telah membatalkan sifat panas pada api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Pernahkah terfikir oleh umat ketika itu tentang api yang sifatnya memang panas membakar tetapi sebaliknya menjadi sejuk ketika membakar Nabi Allah Ibrahim a.s., walhal pada ketika itu api terus menyala dan makin membesar. Allah S.W.T. boleh menurunkan hujan supaya api itu padam dan tidak membakar Nabi Ibrahim a.s., tetapi perkara itu tidak mencabar akal mereka dan mereka pasti mengatakan yang hujan itu diturunkan sebab kuasa tuhan berhala mereka. Nabi Ibrahim a.s. sendiri gentar akan api yang menyala, baginda sendiri tidak menyangka yang api itu akan bertukar menjadi sejuk. Allah S.W.T. sendiri yang memberi arahan kepada api untuk menukar tabiatnya menjadi sejuk, sebagaimana firmanNya :
“Perintah Kami (Tuhan): Wahai api! Jadilah engkau dingin dan selamat atas Ibrahim”(al-Anbiya’: 69)
Walaupun begitu, kita perlu faham dengan jelas, mu’jizat itu bukanlah dimaksudkan untuk mencabar sesiapa, tetapi ia menunjukkan kehebatan dan keagungan Allah yang Maha Berkuasa. Dia dapat melakukan segala apa yang dikehendakiNya.
Al-Quran merupakan mu’jizat yang kekal selama-lamanya, tidak seperti Kitab-Kitab terdahulu yang merupakan mu’jizat yang telah ditetapkan waktu ke atasnya. Mengapa al-Quran dikatakan mu’jizat sepanjang zaman? Ini terbukti dengan setiap kejadian-kejadian baru seperti bala Tsunami, jerebu, dan banyak lagi peristiwa-peristiwa terkini ternyata terdapat dalam al-Quran. Kajian-kajian Sains seperti proses kejadian anak juga disebut di dalam al-Quran, pada hal penemuan Sains itu boleh dikatakan baru sahaja ditemui. Yakinlah, perkara-perkara yang bakal berlaku kelak pasti akan terjawab dengan al-Quran. Al-Quran menghurai setiap perkara, dan bukanlah setiap perkara baru yang menghurai al-Quran. Hal ini perlu difahami dengan jelas oleh setiap Muslim.
Pada zaman baginda Rasulullah S.A.W. merupakan zaman kegemilangan para penyair. Para penyair Arab ini diangkat menjadi menteri-menteri dan orang-orang yang cukup berpengaruh di kalangan Arab pada ketika itu. Mereka ini dipuja, dihormati, dan diangkat menjadi golongan yang tersohor. Sebab itu al-Quran merupakan mu’jizat baginda yang terbesar kerana ianya diturunkan pada zaman yang cukup terkenal dengan kehebatan para penyair. Para penyair ini rasa tercabar dengan kehebatan bahasa, balaghah dan ayat-ayatNya yang terlalu tinggi nilainya, sehingga akhirnya mereka menyerah kalah dengan ketinggian bahasa, balaghah, makna, lafaz, dan susunan ayat-ayat al-Quran.
Saidina Umar dan Mu’jizat al-Quran.
Inilah mu’jizat al-Quran. Dengan beberapa potong ayat sahaja dapat mematikan kemarahan Umar r.a. Beliau dikenali dengan sifat keberanian dan kemarahan. Tidak ada sesiapapun berani menentang beliau yang sedang marah. Allah S.W.T. yang mengetahui rahsia setiap sesuatu. Ketika beliau sedang panas-baran selepas mengetahui tentang keIslaman adiknya (Fatimah), lalu beliau berazam mahu membunuh adiknya, tetapi belum sempat membunuh, beliau sendiri tersentak apabila mendengar adiknya melafazkan kalimah yang tidak pernah didengarinya sebelum ini dari awal surah Taha.
Kuasa marahnya itu lentur seketika itu juga. Adakah syair Arab dapat melentur kemarahan Umar al-Khattab sebagaimana bahasa al-Quran? Pada hal beliau sendiri tidak memahami sepenuhnya maksud ayat-ayat al-Quran yang dibacakan adiknya, dan sebelumnya beliaulah orang yang paling menentang baginda S.A.W. Inilah yang dikatakan mu’jizat sehingga mencairkan rasa marah Umar lantas terus melafazkan syahadah di hadapan Rasulullah S.A.W. seketika selepas peristiwa itu. Memang ianya berlawanan dengan logika pemikiran kita, hanya sekadar bahasa dapat mengetuk pintu hati Umar r.a.
-(French) Baca! Dengan nama Tuhan yang Menciptakan-
Mu’jizat Bahasa di Dalam al-Quran (I’jaz Lughawi fi al-Quran).
Allah berfirman dalam surah al-Mujaadilah, ayat 1: “...Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha melihat”
Mari kita renung sejenak keunggulan dan ketinggian bahasa al-Quran. Pernahkah kita ketemu ayat yang menyebut “penglihatan” dahulu, kemudian barulah disusuli dengan “pendengaran”? Jawapannya ialah ‘tiada’ sama sekali. ٍSebagai contoh, rujuk ayat di atas.
Sekiranya wujud “penglihatan” mendahului “pendengaran”, penulis yakin itu bukanlah al-Quran tetapi ianya adalah al-Quran yang telah dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Setiap ayat yang menyebut tentang penglihatan dan pendengaran, pasti pendengaran itu yang didahulukan. Mengapa tidak penglihatan?
Dalam perbualan seharian kita, seringkali kita menyebut “penglihatan dan pendengaran”, jarang sekali dan barangkali tidak pernah menyebut “pendengaran dan penglihatan”. Sebagai contoh, cuba rujuk surah al-Baqarah, ayat 7 yang bermaksud “Allah telah menutup hati dan pendengaran mereka, dan atas penglihatan-penglihatan mereka ditutup, dan untuk mereka itu seksa yang besar”. Cuba kita lihat pula ayat 22, surah Fusshilat “Dan kamu tiada dapat menyembunyikan diri supaya menyaksikan atas kamu pendengaran kamu dan penglihatan-penglihatan kamu”. Boleh juga lihat pada ayat-ayat lain yang ada menyebut tentang pendengaran dan penglihatan, pasti didahului dengan pendengaran kemudiannya baru disusuli dengan penglihatan.
Di sini menjelaskan bahawa pendengaran merupakan anggota yang lebih utama daripada penglihatan. Manakan tidak, orang yang buta tidak dapat melihat seluruh isi alam, bebannya lebih besar, dia akan melanggar apa sahaja di depannya. Tetapi jika hilang pendengaran, ia masih boleh melihat, musibahnya masih lebih ringan berbanding si buta. Lebih baik tidak mendengar daripada tidak melihat. Justeru, didahulukan pendengaran kerana orang yang pekak lebih baik daripada orang buta kerana beban yang ditanggungnya tidak seberat orang buta. Sebab itu boleh dikatakan pendengaran itu lebih utama fungsinya, kehilangannya tidak terlalu membebankan. Seterusnya, pendengaran merupakan anggota pertama yang berfungsi bagi setiap manusia. Sejak dari dalam perut lagi, si anak akan mendengar setiap apa yang ibunya sebut. Sekiranya ibunya suka membaca al-Quran insya-Allah si anak akan menjadi anak yang cintakan al-Quran apabila dewasa kelak. Begitulah sebaliknya. Nikmat melihat itu akan bermula selepas bayi dilahirkan, itupun masih memakan masa untuk si anak melihat dunia dan seisinya, tidak sejurus selepas dilahirkan.
Juga, jika seorang manusia tidur, maka semua anggotanya ikut bertenang sama, melainkan pendengarannya. Jika anda ingin membangunkan seorang yang sedang tidur dengan meletakkan sesuatu dekat dengan matanya, dia tidak akan merasakannya. Akan tetapi apabila anda melakukan suara bising dekat dengan telinganya, maka ia akan bangun tersentak. Oleh kerana itu jam loceng dicipta bertujuan untuk mengejutkan seseorang daripada tidurnya.
Selain itu, ada satu lagi persoalan timbul, mengapa kalimah ‘pendengaran’ “sam’i” (سمع) digunakan secara mufrad (satu) selalu, dan bila menggunakan kalimah ‘penglihatan’ “abshar” (أبصار) selalu menggunakannya secara jama’ (banyak)? Mengikut kaedah atau undang-undang Nahu (tatabahasa), sekiranya di awalnya mufrad, seterusnya haruslah mufrad, begitu juga sebaliknya. Kalimah Sam’i (سمع) haruslah digandingkan dengan Bashar (بصر), sekiranya mahu menggunakan Abshar (أبصار) haruslah sebelumnya digunakan dengan kalimah Asma’ (أسماع)yang merupakan jama’ bagi kalimah Sam’i(سمع) .
Penglihatan itu adalah suatu pancaindera yang dikuasai oleh manusia dengan kemahuannya sendiri. Kita boleh melihat apa yang kita suka, dan boleh juga tidak melihat apa yang kita tidak suka. Sesuatu perkara yang kita tidak suka lihat, kita boleh pejamkan mata kerana salah satu tugas dan fungsi mata ialah menutup mata. Otak akan memberi arahan kepada mata, dan mata akan menjalankan tugasnya dengan sendirinya tanpa paksaan.
Tetapi tidak pula pendengaran. Pendengaran tugasnya hanya satu iaitu mendengar. Sekiranya kita suka atau tidak suka mendengar, kita tetap mendengar kerana memang itu tugas pendengaran. Sekiranya kita tidak suka mendengar sesuatu perkara, otak tidak boleh memberi arahan kepada pendengaran kita untuk tidak mendengar, melainkan kita terpaksa memasukkan sesuatu untuk menutup lubang pendengaran kita supaya tidak mendengar. Memasukkan sesuatu ke dalam lubang pendengaran supaya tidak mendengar merupakan suatu perkara yang di luar tugasan pendengaran. Telinga tetap mendengar walaupun ianya diganggu dengan sebab lain yang datangnya dari luar kawalan pendengaran.
Sekiranya kita tunjukkan sekeping gambar kepada tiga orang pelajar, dua daripadanya suka kepada gambar itu, maka mata mereka akan tidak akan pejam, tetapi seorang pelajar lagi tidak suka kepada gambar tadi maka dengan sendirinya mata pelajar ini akan pejam kerana memang itu tugas mata. Tetapi sekiranya kita dengarkan kepada tiga orang pelajar ini dengan satu bunyi, sekiranya ketiga-tiganya, atau, seorang, atau dua daripadanya tidak suka mendengar bunyi tersebut, mereka tetap akan mendengar melainkan mereka terpaksa menggunakan tangan untuk menutup pendengaran mereka, walaupun tertutup telinga dengan tangan mereka tetapi telinga tetap terus menjalankan tugasnya iaitu mendengar.
Di sini jelas kepada kita bahawasanya mata itu banyak ragamnya, fungsinyapun pelbagai, sebab itu Allah S.W.T. hanya menggunakan perkataan jama’ pada kalimah Abshar (penglihatan-penglihatan). Sebab mufrad pada kalimah Sam’i (pendengaran) dalam ayat al-Quran telah menjelaskan yang ragam pendengaran ini cuma satu iaitu mendengar. Inilah dia mu’jizat bahasa al-Quran, tiada yang lebih terperinci melainkan ia. Dengan penggunaan perkataan mufrad (Sam’i) dan jama’ (Abshar) itupun sudah memberitahu kita penjelasan yang tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini melainkan bagi mereka yang sudah mengetahui, bukan sekadar ada akal tetapi tidak memikirkan tentang kebesaran Allah.
Hanya dengan satu kalimah sahaja dapat menghuraikan pelbagai persoalan. Inilah dia Mu’jizat al-Quran yang tidak ada suatu ilmupun yang dapat menjelaskan al-Quran tetapi al-Quran itu sendiri yang menjelaskan setiap sesuatu di dunia ini, yang berterusan selama-lamanya. Sebagai penutup, penulis ingin membawa sepotong ayat al-Quran: “Jika kamu dalam ragu-ragu tentang (Quran) yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka perbuatlah olehmu satu surah seumpamanya dan panggillah saksi-saksimu lain daripada Allah, jika kamu orang yang benar”(al-Baqarah, ayat 23).Sekiranya ada golongan yang ingin mempertikaikan kebesaran al-Quran dari sudut bahasa atau selainnya, maka bacakan kepada mereka firman Allah seperti di atas, nescaya mereka pasti terdiam, buntu, dan gagal untuk mencipta hanya sepotong ayat sepertimana ayat Allah, apatah lagi satu surah daripada al-Quran Kalamullah. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment