Like Blog Ini...

Friday, October 31, 2008

Kekalkan semangat kembali kepada fitrah

Oleh MASTURA MOHD ZAIN

BULAN Syawal baru saja berlalu. Kehangatan sambutan Aidilfitri masih lagi terasa. Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja kerana telah berjaya menahan diri daripada makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, juga kerana telah berjaya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang apabila berpuasa, yakni jika dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.

Kalimat 'fitri' itu sendiri bermaksud fitrah, iaitu manusia kembali dengan kejayaan pulang kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda. Maka seharusnya keadaan suci ini kita kekalkan.

Perkara asas yang mesti dijaga dan dikekalkan adalah kesucian hati itu sendiri. Bersihkan hati dan jiwa daripada sifat-sifat keji agar diri terhindar daripada dosa. Hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengarahkan bala tenteranya. Baginda SAW menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota manusia, tetapi jika sebaliknya, maka rosaklah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Insan pilihan adalah mereka yang tawaduk, iaitu yang arif peri tempatnya, amanahnya dan tanggungjawabnya. Hamba yang tawaduk berperibadi mulia, tidak memandang rendah atau menghina orang lain, mahupun sombong atau berbangga diri.

Mereka menjadikan kesederhanaan sebagai amalan hidup, tidak berlebihan atau keterlaluan. Aidilfitri yang baru berlalu juga bukan untuk bermegah-megah dan berpesta. Sebaliknya ia disambut dengan penuh kesyukuran dan sederhana.

Mereka juga tidak begitu terjejas dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin merosot. Ini kerana mereka telah lama mengamalkan perbelanjaan berhemat, seperti yang disaran agama. Ini tidak pula bermakna mereka kedekut. Mereka tidak pernah kikir terhadap diri sendiri dan keluarga, yakni bersedia memberikan hak untuk hal yang diwajibkan oleh Allah kerana mengetahui Allah mencela sifat kikir dan bakhil.

Ukhuwah

Aidilfitri yang baru berlalu juga merupakan masa untuk kita bersama menjalinkan persahabatan dan mengeratkan ukhuwah sesama kita. Jangan ada yang hasad dengki sesama sendiri sehingga merosakkan keadaan fitrah yang suci. Penyakit hasad dengki hanya akan memusnahkan masyarakat. Mereka yang dengki tidak boleh melihat orang lain lebih berjaya daripada dirinya. Dia akan berusaha sedaya-upaya untuk menjatuhkan orang yang lebih daripadanya itu.

Sering juga kita mendengar tentang kedai makan di stesen-stesen bas contohnya, akibat dengki ada yang sanggup menggunakan 'ilmu hitam' kononnya untuk menjatuhkan perniagaan jirannya.

Perbuatan ini jelas bertentangan dengan agama Islam. Ini adalah penyakit yang memang wujud dalam diri dan seharusnya terkubur sebaik kita kembali kepada fitrah di Aidilfitri lalu.

Rasulullah telah mengingatkan kita dalam hadis baginda yang bermaksud: "Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering." (hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud).

Jangan dibiarkan hati menjadi mati. Hati yang mati adalah hati yang sentiasa menurut hawa nafsu, membenci mereka yang menyeru kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak bersedia menerima nasihat, bersahabat dengan orang jahat, menyanggah hukum Allah serta asyik dengan kenikmatan di dunia. Tipu daya syaitan serta bisikan hawa nafsu sentiasa akan cuba mempermainkan hati seorang insan.

Bersihkan jiwa setiap saat agar kita dapat kembali kepada Allah dalam keadaan sebersih-bersihnya. Allah tidak melihat manusia berdasarkan rupa paras yang cantik atau tampan. Allah tidak juga melihat kehebatan atau terkenalnya manusia itu dalam masyarakat. Yang Allah lihat adalah hatinya.

Pada bulan Ramadan yang lalu juga kita telah berjaya menjaga lisan dan tutur kata. Ini kerana percakapan yang sia-sia akan hanya mengurangkan pahala berpuasa. Hasil tarbiyah Ramadan ini sewajarnya dikekalkan. Ketika orang melontarkan ucapan buruk, jangan dibalas dengan ucapan yang sama, sebaliknya kita maafkan.

Sebaik-baiknya jangan kita menyumpah dengan kata-kata kesat. Nabi SAW menjadi ikutan. Diriwayatkan: "Satu ketika ada seorang Arab Badwi datang kepada Rasulullah dan berkata kasar, lalu kaum Muslimin marah dan ingin mengajarnya, namun hal itu dicegah oleh Baginda. Baginda membalas sikap kasar itu dengan kasih sayang dan lemah lembut." (Hadis Muttafaqun 'alaih).

Mengawal tutur kata boleh juga dinilai semasa memandu. Memaki hamun dan menyumpah semasa memandu mencerminkan peribadi. Bagi mereka yang mempunyai anak, wajar mengawal lisan apabila anak-anak melakukan kesilapan. Tidak dinafikan apabila perasaan marah meluap-luap, bermacam-macam perkataan yang akan terkeluar dari mulut. Namun hendaknya kita berazam agar tidak mencemari fitrah suci yang berjaya dicapai setelah selesai Ramadan yang lalu.

No comments: