Like Blog Ini...

Friday, October 17, 2008

Hadiah Buat Muslimah naskhah wajib wanita


SEORANG muslimah dilahirkan ke dunia ibarat sebutir permata. Apabila digilap akan memancarkan kilauan cahaya. Apabila diletak di tempat yang mulia akan disanjung sebagai permaisuri.
Apabila dibekal dengan ilmu di dada akan menjadi cendekiawan bistari. Seorang muslimah akan dikenang sebagai suri sang jejaka, menjadi ibu kepada puteri dan putera dan menjadi pertiwi seisi buana.
Begitu indah salam perkenalan di permulaan buku Hadiah Buat Muslimah, Panduan Asas Fiqah Wanita tulisan pendakwah bebas, Siti Nor Bahyah Mahamood dan Ida Ezyani Othman.
Buku terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. ini menyediakan persiapan ilmu bagi kaum muslimah dalam mengharungi hidup yang dihambat pelbagai agenda rumit dan sukar.
Menurut Siti Nor Bahyah, muslimah pada masa ini disifatkan sebagai antara komponen masyarakat yang perlu memiliki ilmu fardu ain yang komprehensif.
"Semua sedia maklum, kaum wanita lebih rapat dengan anak-anak, dan mereka juga menjadi pengurus dalam rumah tangga bahkan mereka juga menjadi pembantu kepada suami.
"Sehubungan itu amat manis jika rohani dan jasmani mereka dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan Islam yang bersumberkan syariat bagi menjana kehidupan lebih sejahtera di dunia dan akhirat," ujarnya.
Tambah beliau, ibadah perlu dilakukan dalam keadaan berilmu supaya ia sah di sisi Allah SWT dan jangan sekali-kali beramal dalam keadaan jahil.
Buku ini terbahagi kepada 11 Bab, Islam dan wanita, Wanita dan Bersuci, Wanita dan Solat, Wanita dan Puasa, Wanita dan Zakat, Wanita dan Haji, Wanita dan Perkahwinan, Wanita dan Pergaulan, Wanita dan Perhiasan, Wanita dan Kewajipan Dalam Islam, dan Perbezaan wanita Islam dan Agama Lain.
"Memandangkan kehidupan seharian wanita sentiasa dipenuhi dengan kesibukan amat wajar mereka menjadikan buku ini sebagai panduan seharian," ujarnya.
Tambah Siti Nor Bahyah, menjadi kebiasaan wanita, bangun seawal pagi, menyibukkan diri dengan urusan rumah tangga, dan kemudian mengurus kerja di pejabat yang tidak pernah selesai.
"Beruntung jika wanita itu ikhlas dengan amalannya. Malah setiap gerakan sendi-sendinya membuahkan pahala kerana semua yang dilakukannya dianggap ibadah oleh Allah. Allah menjanjikan syurga bagi yang taat kepada suami dan sempurna ibadahnya, maka masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya," kata beliau.
Siti Nor Bahyah memberitahu, buku ini turut memberi ruang kepada muslimah mencari kebaikan dalam menuntut ilmu kerana ia mempunyai pengertian yang mendalam dan perlu dipraktikkan dengan sebaik-baiknya.
"Setiap daripada kita perlu tahu apa itu ilmu beribadah kerana ibadah itu terpimpin dengan syariat, ibadah mendapat pahala dan tidak sia-sia, Tidak berlaku penyelewengan akidah, tahu dan sedar apa yang dikerjakan dan faham sebab dan akibat melakukan sesuatu.'' ujarnya lagi.
Pengisian Hadiah Buat Muslimah menggariskan segala yang terbaik dilakukan seorang muslimah sejati.
Jika cetek pengetahuan tentang puasa, zakat, peranan isteri, datang haid, kekeliruan dalam rumah tangga inilah buku yang anda harus baca.
Ia bukan sekadar untuk wanita bergelar isteri, ibu, kakak dan ibu saudara semata tetapi molek dimiliki seluruh keluarga.
Ia menjadi pembimbing dan pemangkin kesedaran terhadap ilmu akhirat dalam kehidupan wanita. Segala doa yang tidak mampu dihafal ada terkandung dalam buku ini.
Begitu juga semua jenis panduan surah yang boleh dijadikan ikutan dan amalan bagi mencari ketenangan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Panduan berumah tangga juga lengkap terisi dalam buku ini. Apa yang patut dilakukan seorang wanita untuk bergelar isteri solehah, ibu mithali dan wanita sejati.
Juga hukum wanita di dalam beberapa perkara berbanding wanita agama lain. Perbezaan yang dimaksudkan bukan memburukkan sesiapa tetapi sekadar dijadikan pengetahuan agar wanita dapat membezakan dan lebih memahami kedudukan dan hak-hak mereka.
Sehubungan itu, kupasan dalam Hadiah Buat Muslimah Panduan Asas Fiqah Wanita mampu memantapkan pengetahuan anda dalam memenuhi tanggungjawab sebagai wanita di dunia dan akhirat.
Seperti penutup kata di bahagian akhir buku ini, "kesempurnaan seseorang manusia itu dapat dilihat dari jauh dan dekatnya kepada Allah. Pendekatan ini hanya mampu dicapai dengan ilmu pengetahuan. Selama ilmunya cukup banyak dan sempurna, maka ia semakin dekat kepada Allah dan semakin menyerupai malaikat." (Imam al-Ghazali)
Buku terbitan Telaga Biru ini dijual dengan harga RM30 (Semenanjung Malaysia) dan RM32 (Sabah dan Sarawak). Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-62754070 atau layari laman web www.telagabiru.net.my. - NORMALA HAMZAH

No comments: