Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
MANUSIA diciptakan Allah adalah untuk beribadat kepada-Nya dan antara tugas dan tanggungjawab paling utama dalam ibadah itu termasuklah berdakwah, iaitu menyampai dan menyeru sesama insan kepada Islam walau hanya dengan satu ayat.
Ini kerana Islam adalah agama untuk semua manusia dan seluruh isi alam, yang mana al-Quran dan al-sunah adalah pegangan serta panduannya.
Namun berapa ramai kalangan kita yang sanggup dan bersedia melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut? Terutama untuk bersemuka bagi menyampaikan apa dan mengapa Islam kepada yang bukan Muslim.
Sekali gus membetulkan tanggapan negatif, fitnah serta salah faham bukan Muslim yang digembar-gemburkan musuh Islam terhadap agama suci itu.
Sifat manusia lazimnya, lebih mudah menerima atau mengikut dan terikut daripada memberi, menyumbang mahu pun menerangkan serta berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai Islam secara terbuka.
Sebabnya, kebanyakan kita kurang yakin dan tidak cukup persediaan untuk menjadi penyumbang, pengingat, penasihat atau pendakwah secara peribadi kepada insan lain, khususnya bukan Muslim, meskipun kita tahu kejahilan dan salah faham mereka mengenai Islam.
Wujud rasa kurang yakin, bimbang atau ragu-ragu pada kemampuan diri mahupun terhadap penerimaan bukan Muslim mengenai apa yang hendak disampaikan berlaku kerana jarang dari kita yang berusaha untuk memulakannya.
Akibatnya, agama Islam dan umat Muslim terus dipandang negatif malah dimusuhi bukan Islam kerana salah faham mereka mengenai Islam.
Sedangkan tugas hakiki setiap Muslim bukan hanya beramal dengan syariat Islam tetapi menerang dan menyampaikannya mengenai Islam kepada bukan Muslim, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati, kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan kebaikan (iaitu melakukan pekerjaan yang baik untuk menghilangkan akibat-akibat yang buruk dari kesalahan-kesalahan yang dilakukan) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang. (al-Baqarah: 159-160).
Dalam satu lagi firman-Nya yang lain bermaksud: Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat. (al-A'laa: 9)
Menyedari kekurangan dan kelemahan kalangan Muslim dalam melaksanakan amanah besar itulah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Daerah Petaling, Selangor mengadakan Bengkel Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk.
Bertempat di pejabat JIM Daerah Petaling, Shah Alam pada 19 September lalu, lebih 15 peserta tampil mengikuti bengkel tersebut. Walaupun kecil bilangannya, tetapi berkualiti kerana yang hadir adalah mereka yang ikhlas.
Mereka adalah dari kalangan pelajar, profesional dan individu biasa yang sedar akan tanggungjawab dan amanah Allah SWT tetapi kurang berkeyakinan.
Bengkel kelolaan JIM Daerah Petaling yang bermula sejak Ogos lalu dan mula dijadikan program bulanan, menjadi satu-satunya tempat untuk mereka menimba ilmu dan pengalaman bagi mempersiapkan bagi merealisasikan amanah Allah SWT itu.
Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Ketahuilah, orang yang hadir (iaitu ada ilmu) hendaklah menyampaikan kepada orang yang tidak hadir (iaitu tidak tahu). (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah).
Ia juga bermaksud jika kita menyampaikan ilmu yang kita ketahui merupakan sedekah dan menjadikan ilmu itu semakin berkembang. Sebaliknya jika hanya disimpan, akan menyebabkan ilmu berkenaan semakin berkurang dan hilang.
Justeru, janganlah kita meninggalkan kewajipan menyampaikan ilmu kerana ia akan memberi peluang kepada golongan fasik dan jahil menyesatkan manusia lain.
Begitu pun kata penceramah motivasi pada bengkel sehari itu, Kamarul Zaman Noor Mohamed, ia bukanlah semudah yang diucap.
"Realitinya tidak ramai Muslim yang boleh, mampu dan bersedia melaksanakan dakwah secara bersemuka dan spontan di tempat awam dengan bukan Muslim," katanya.
Namun kata beliau, itulah sebenarnya cara dan langkah paling berkesan berbanding berdakwah melalui ceramah dalam kumpulan jemaah yang ramai sebagaimana jadi pilihan serta amalan kebanyakan pendakwah yang ada.
Ini kerana kata Kamarul Zaman, berdakwah secara individu dan spontan bukan sahaja dapat bersemuka dan berhujah terus untuk membetulkan pandangan bukan Muslim terhadap Islam tetapi turut membentuk keyakinan dan keperibadian pendakwah itu sendiri.
Hakikat itu menurut beliau, tidak dapat digambarkan melalui kata-kata, tetapi hanya akan dirasai sendiri apabila seseorang itu mula melaksanakan tugas pendakwahan sedemikian.
"Ketika itu anda akan dapat rasakan betapa besarnya nikmat dan kepuasan kerana dapat berkongsi dan menyampai dan menjelaskan tentang Islam kepada bukan Islam," jelasnya.
Ingin tahu
Lebih terkesan kata beliau, jika orang yang hendak kita dakwahkan itu bersikap terbuka dan ingin tahu serta sedia untuk bersoal jawab mengenai Islam.
Golongan sedemikian kata Kamarul Zaman, mudah ditemui di kalangan muda bukan Muslim yang berpendidikan.
Namun setiap pendakwah individu sedemikian nasihat beliau, mestilah berusaha mendalami serta memahami Islam serta berusaha beramal dengan akidah serta syariat Islam sebenar di samping terus meningkatkan keilmuan.
Sementara itu, Johanes atau Yahya Lukas ketika berkongsi pengalamannya sebagai mualaf pula berkata, sebenarnya ramai bukan Muslim yang ingin tahu mengenai Islam.
Tetapi kata beliau, kebanyakan mereka sukar menemui Muslim yang sedia berkongsi ilmu dan bersemuka untuk bersoal jawab secara individu bagi mendapatkan maklumat serta penjelasan mengenai Islam.
"Mereka (bukan Muslim) kurang minat untuk mengikuti program dakwah secara formal seperti ceramah atau kuliah, kerana ruang bersoal jawab terhad dan jarang menepati persoalan yang mereka ingin tahu," jelasnya.
Kata Yahya, melalui bersemuka secara individu, mereka dapat bersoal jawab secara terbuka, berterus terang dan ia lebih terkesan.
Menerusi bengkel tersebut, para peserta bukan sahaja dibimbing mengenai mengapa dan bagaimana mereka perlu mendekati bukan Islam.
Mereka turut didedah teknik-teknik bagaimana untuk berinteraksi secara teori dan praktikal dengan bukan Muslim bagi menjelaskan Islam yang sebenar.
Melalui latihan amali berdakwah itu pula, peserta dibahagi kepada beberapa kumpulan dan pergi ke satu-satu lokasi yang menjadi tumpuan awam dengan bergerak secara individu kepada sasaran bagi menyampai dan menerangkan mengenai Islam.
Sebenarnya usaha JIM melalui program tersebut lebih berupa tindak balas kepada golongan pendakyah yang ghairah memutarbelit dan memburuk- buruk Islam.
Usaha JIM itu mendapat kerjasama dan sokongan padu dari Jabatan serta Majlis Agama Islam Negeri Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut pengarah projeknya, Marhalim Osman, bengkel tersebut telah dijadikan program bulanan JIM Daerah Petaling bermula Ogos lalu.
Matlamat utama kami melalui program berkenaan bagaimanapun katanya, bukanlah untuk mengislamkan bukan Islam.
"Apa yang kami usahakan ini lebih berkonsep untuk memperbetulkan salah faham dan tanggapan negatif bukan Islam mengenai Islam terutama dalam masyarakat majmuk negara kita," jelasnya.
Sebab itu beritahu Marhalim, JIM mendedahkan para pendakwah individu supaya bersikap terbuka dengan mengguna pendekatan menyapa dengan sopan, mesra dan berhemah dalam usaha membetulkan tanggapan salah bukan Muslim mengenai Islam.
Yang penting tegas beliau, pendakwah individu yang kami bentuk mesti mengelak daripada bersikap sebagai pendesak sebaliknya perlu mendekatinya secara santai.
Pendakwah individu juga tambahnya, jangan bersikap prejudis pada gaya dan cara seseorang tetapi hendaklah neutral dengan menanggap semua orang sama dan boleh serta perlu didekati.
Kalangan peserta pula rata-rata menyifatkan program dan aktiviti sedemikian sebagai sesuatu yang menarik tetapi agak mencabar.
"Rasa ragu dengan kemampuan sendiri memang tidak dapat dielak. Tetapi sekali kita mula berkenalan, berbual dan berbincang dengan bukan Islam mengenai Islam, ia sebenarnya menyeronokkan," beritahu Bisha Fathamah Usir.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sedang cuti belajar di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di England ini berkata, walaupun ahli akademik dan biasa bercakap pada khalayak, tetapi untuk bersemuka secara individu bagi menyampaikan mengenai Islam kepada bukan Islam bukan mudah.
"Secara peribadi, pengetahuan saya bukanlah mendalam sangat mengenai Islam, tetapi kerana sedar mengenai tanggungjawab sebagai Muslim, saya memberanikan diri dan buat muka tebal untuk mencuba," katanya yang kali pertama terlibat dengan kerja dakwah secara individu itu.
Bagi pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel), Mastura Naina Mohamed memberitahu, banyak manfaat diperoleh sejak mulai menyertai program itu yang diperkenalkan JIM Ogos lalu.
Katanya, adakalanya peluang tersebut turut menjadi tarbiah kepada rakan Muslim yang berkawan dengan bukan Muslim ketika beliau berbicara mengenai Islam dengan mereka.
"Bagaimanapun, rasa bangga dan terkilan pun ada apabila mereka yang diajak bicara mengenai Islam itu memberitahu rakan Muslim yang dikenalinya tidak pernah mahu bercerita atau memberitahunya tentang Islam," jelasnya.
No comments:
Post a Comment