Assalamu’alaikum,
menceritakan tentang kisah seorang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya
yang juga merupakan antara dosa paling besar di dalam Islam. Allah s.w.t
melaknati perbuatan ini dan mengenakan azabnya di atas dunia lagi, ini
kerana dosa menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan salah satu dosa yang
disegerakan azabnya di muka bumi lagi!
Kisah yang berlaku kepada Alaqamah yang mempunyai seorang ibu yang telah
tua, dan beliau seorang yang terkenal sebagai seorang anak yang taat dan
patuh kepada ibunya dan juga seorang ahli ibadat dan sering bersedekah
kepada fakir miskin. Keadaan ini tidak berkekalan kerana setelah Alaqamah
berkahwin, beliau telah mengabaikan ibunya dan tidak melayaninya seperti
mana sebelum dia berkahwin. Hal ini telah menyebabkan ibunya kecil hati dan
kecewa lalu dia berpindah dari rumah Alaqamah dan menyendiri di sebuah
pondok usang namun Alaqamah tidak berusaha untuk mencarinya.
Pada suatu hari Alaqamah telah ditimpa penyakit dan sakit tenat, ketika
ajalnya hampir tiba, seluruh keluarganya berkumpul dan mengajarnya
mengucap. Perkataan La ila ha illallah tidak dapat diucapkannya walaupun
perkataan itulah yang menjadi ratib dan zikirnya setiap masa sewaktu sihat
dulu. Kaum keluarganya berusaha berkali-kali namun sia-sia sahaja kerana
mulut Alaqamah seakan-akan terkunci. Mereka akhirnya kecewa dan
menyampaikan kejadian tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w
mengeluarkan arahan agar para sahabatnya pergi melihat keadaaan Alaqamah
dan cuba berusaha mengajarnya mengucap tetapi usaha mereka juga sia-sia.
Rasulullah s.a.w kemudian memerintahkan agar dicari ibu Alaqamah dan
membawa bertemu dengan baginda. Sebaik sahaja ibu Alaqamah tiba, baginda
lantas bertanya mengenai keadaan diri Alaqamah. Ibu Alaqamah mengakui
bahawa dia berkecil hati dengan perbuatan anaknya itu yang tidak
memperdulikannya dan akibat perbuatan Alaqamah itu dia enggan memaafkannya.
Rasulullah s.a.w memerintahkan agar para sahabat mengumpul kayu api, arahan
baginda tersebut sudah tentu mengejutkan para sahabat dan merasa hairan
lantas menanyakan sebab-sebabnya. Baginda memberitahu bahawa kayu api
tersebut akan digunakan untuk membakar Alaqamah di depan ibunya.
Apabila ibu Alaqamah mendengar Rasulullah s.a.w hendak membakar Alaqamah
dengan kayu api tersebut, ibunya menangis dan merayu agar anaknya itu tidak
dibakar dan dia bersumpah dengan nama Allah s.w.t di hadapan Rasulullah
s.a.w dan para sahabatnya untuk memaafkan Alaqamah dengan penuh ikhlas dan
rela hati.
Rasulullah s.a.w kemudian memerintahkan agar para sahabat pergi melihat
keadaan Alaqamah, sebaik sahaja mereka tiba dan belum sempat untuk
mengajarnya mengucap, Alaqamah telah mengucapkannya dengan lancar dan fasih
sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Demikianlah sebuah kisah yang cukup menakutkan sebagai peringatan bagi
manusia bahawa azab dan seksaan menderhaka kepada kedua orang tua itu akan
disegerakan di muka bumi ini lagi. Oleh bersama-samalah kita berbakti
kepada mereka berdua selagi hayat mereka masih ada, bagi mereka yang telah
kehilangan mereka maka doa anak yang soleh itu adalah terlebih manfaat
baginya. Terima Kasih.
No comments:
Post a Comment