Like Blog Ini...

Wednesday, March 9, 2011

Diari Budak Makmal...

Aku ingin pindah...

Sudah hampir sebulan setengah aku tinggal di rumah sewa yang baru berdekatan Bandar Baru Sentul, KL. Kini aku memang nekad untuk berpindah sekali lagi. Masalah yang aku hadapi sekarang bukanlah disebabkan bayaran sewa rumah yang mahal ataupun jarak rumah tersebut ke tempat kerja yang jauh.

Sebenarnya aku sudah tidak tahan lagi dengan kerenah teman serumah yang asyik membawa teman wanitanya balik, terutamanya pada waktu malam... Walaupun tiada apa-apa yang berlaku, tetapi boleh sahaja pihak berkuasa menyerbu pada bila-bila masa.

Sudah tentunya aku yang turut menyewa bilik di tingkat atas akan dituduh sama terlibat bersekedudukan dengan perempuan yang endah siapa ibu bapanya...


Rabu, 9 Mac 2011...

Aku pulang ke rumah sewaku tepat pukul sebelas malam. Seperti biasa, jalan raya menuju ke rumahku masih sesak dengan kenderaan. Barangkali Kuala Lumpur memang sesuai digelar bandar yang tidak pernah tidur. Laluan masuk ke taman perumahan tempat tinggalku memang agak menyedihkan.

Bayangkan, aku terpaksa mengelak lubang-lubang di tengah laluan dengan berhati-hati. Kepalaku asyik terangguk-angguk semasa melalui sepanjang laluan tersebut. Apa boleh buat, setiap hari banyak lori dan kenderaan berat turut melalui jalan tersebut.

Sebenarnya aku risaukan motor yang baru aku beli kira-kira sebulan yang lepas. Mungkin absorbernya boleh patah jika aku masih tinggal di kawasan perumahan ini lebih lama lagi. Aku fikir lebih baik aku pindah sahaja...

Aku akan berpindah ke rumah baruku, sebuah kawasan perumahan yang terletak di Keramat. Walaupun lokasi rumah tersebut agak jauh daripada tempat kerjaku di Institut Jantung Negara, tetapi aku bersyukur kerana tuhan telah memberikan aku tempat tinggal yang lebih selesa.

Nampaknya perbelanjaan bagi mengisi minyak motor yang aku gunakan untuk ke tempat kerja pasti akan meningkat.

Sebagai seorang pelatih di Hospital KL, pastinya wang memainkan peranan besar dalam hidupku. Tuhan itu Maha Pemurah... Sehari selepas semester tiga berakhir, aku ditawarkan pekerjaan sebagai juruwang di sebuah kedai buku yang terletak di dalam Institut Jantung Negara.

Aku sebenarnya malu untuk mengharapkan ehsan daripada keluargaku bagi menampung segala keperluan pembelajaranku di sini. Tidak mengapa, aku kira anak muda sepertiku perlu belajar untuk hidup berdikari.

Kini aku bekerja secara sambilan di IJN untuk menampung segala keperluan pembelajaranku. Hidupku kini memang menarik. Pengalaman belajar sambil bekerja memberi satu perasaan yang amat menyeronokkan.

Susah tentu memenatkan, tetapi ia memberi aku semangat untuk terus mencari rezeki sendiri bagi menyara hidup... Aku percaya, wang yang diperolehi daripada hasil titik peluh sendiri lebih berkat untuk dinikmati.

Sebenarnya rumah sewa baru yang akan aku duduki itu adalah sebuah apartment berdekatan kompleks membeli-belah, dilengkapi lif yang akan aku gunakan setiap hari untuk naik ke tingkat sembilan.

Aku agak terkedu apabila mengetahui bahawa rumah baruku ini terletak di tingkat sembilan sebuah apartment. Sebelum ini aku belum pernah lagi tinggal di atas awan setinggi ini. Alahai, tingginya...

Sebagai tambahan, aku sebenarnya akan tinggal bersama-sama empat orang staf Makmal Patologi Hospital KL. Kesemuanya merupakan bekas senior aku semasa aku tinggal di asrama pelatih kolej Kementerian Kesihatan tidak lama dahulu. Harap-harap aku tidak akan menghadapi masalah lagi seperti di rumah sewa dahulu...

Berpindah memang suatu yang memenatkan. Bayangkan, aku terpaksa mengangkut segala barang dan pakaian ke rumah baru dengan motor sahaja. Terpaksa berulang-alik sebanyak dua kali sebelum semuanya selesai...

No comments: