Like Blog Ini...

Sunday, March 6, 2011

Kek cawan hilangkan tekanan

Oleh SHOLINA OSMAN

BERMULA dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, mata Fadteen SM Sabri tidak pernah lekang dari menghadap skrin komputer. Rutin itu telah dilalui oleh Fadteen, 27, seorang jurutera di salah sebuah syarikat penerbangan di negara ini sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun kata ibu kepada seorang anak itu, setiap hari beliau memang dihadapkan dengan kerja yang 'bermain' dengan angka termasuk data dan statistik untuk dianalisis.

Jelasnya, kerjaya tersebut memang mencabar kerana memerlukan daya tumpuan yang tinggi khususnya semasa menghasilkan setiap analisis supaya setiap penerbangan berjalan dengan lancar dan bebas dari sebarang masalah teknikal.

''Biarpun saya mencintai kerjaya ini tetapi ada masanya saya akui memang stres dan sebenarnya ia akan berakhir apabila jari-jemari ini mula bermain dengan aising fondant untuk dihias pada kek cawan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Gembira, Klang, Selangor.

Katanya, ketika itu beliau sudah melupakan bebanan stres sebaliknya leka untuk mencipta hiasan yang dihasilkan daripada aising fondant dan juga aising mentega.

''Membuat kek cawan ini hanya untuk suka-suka sahaja kerana sudah menjadi minat dan dalam masa yang sama dapat juga membuat pendapatan tambahan,'' katanya.

Bila ditanya bagaimana seorang jurutera membahagikan masa, kata Fadteen, biasanya beliau akan mula membakar kek cawan dan menyediakan aising untuk membentuknya menjadi hiasan mulai pukul 9 hingga 11 malam.

Sebagai ibu kepada anak lelaki berusia setahun setengah tahun, Fadteen memberitahu apa pun beliau harus melayan kerenah anaknya dulu sebelum ke dapur memulakan hobinya itu.

Bagaimanapun kata Fadteen, beliau beruntung kerana bukan sahaja suami malah anaknya juga faham dan tidak akan mengganggu dirinya ketika melakukan kerja-kerja menghias kek cawan.

''Biasanya pada hari Sabtu dan Ahad adalah masa yang saya gunakan sepenuhnya untuk menyiapkan tempahan kek cawan ini termasuk membeli bahan-bahan yang diperlukan,'' katanya.

Ketika ditanya bagaimana lulusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berkemahiran dalam seni kraf kek cawan dan kek pengantin, kata Fadteen, segalanya bermula apabila dia suka melihat rakannya membuat kek.

''Akhirnya tertarik untuk mencuba dan kemudiannya mengikuti kelas untuk membuat kek cawan,'' katanya.

Kata Fadteen selama tiga tahun beliau cuma membuat percubaan membuat kek cawan dan juga teknik menghiasnya.

''Cuma pada tahun 2008 selepas mendirikan rumah tangga, saya mula tergerak hati untuk lebih serius di bidang ini,'' katanya.

Fadteen memulakan langkah pertamanya itu dengan menjual kek cawan secara online menerusi http:/ilovecupcake.blogspot.com.

Usahanya itu ternyata membuahkan hasil kerana telah mendapat sambutan baik tetapi setakat ini kata Fadteen, beliau hanya menerima tempahan sekitar Lembah Klang sahaja.

Bagaimanapun semenjak setahun lalu, ada rakannya meminta beliau menyertai pameran perkahwinan yang diadakan umpamanya di Mid Valley, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Ampang Point, Selangor.

Katanya, setakat ini dengan perniagaan secara online dan pameran sebenarnya banyak membantunya mengembangkan lagi perniagaan kek cawan.

''Setakat ini kebanyakan pelanggan sukakan kek coklat dan kebanyakan warna-warna yang dipilih untuk hiasan lebih kepada warna pastel,'' katanya.

Fadteen berkata, biasanya beliau akan mendapatkan pandangan pelanggan setelah merasa dan melihat kek cawan yang dihasilkannya.

''Ini penting supaya saya akan dapat memperbaiki kelemahan rasa kek coklat dan hiasan yang dihasilkan supaya ada peningkatan dari semasa ke semasa,'' katanya.

Katanya, harga asas bagi 25 biji kek cawan yang dihias aising mentega cuma RM50 manakala aising fondant pula RM65 untuk 25 biji.

Malah setiap kek cawan yang dihasilkan boleh tahan selama seminggu dan kalau disimpan di dalam peti sejuk boleh tahan selama 10 hari sahaja.

No comments: