Like Blog Ini...

Friday, March 4, 2011

Jakim dokumentasi masjid di Malaysia

Oleh ZUARIDA MOHYIN

SEBUT pasal masjid, sudah terbayang di fikiran kita akan keindahan seni bina masjid di negara kita yang bukan sahaja berciri tradisional, kontemporari ataupun gabungan kedua-duanya.

Masjid di Malaysia yang berjumlah lebih 5,000 buah, tidak sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat semata-mata. Sebab itu, tidak hairanlah daripada semasa ke semasa, sering kita dapati masjid tidak sunyi daripada pelbagai aktiviti masyarakat setempat.

Malah usaha untuk meluaskan peranan dan fungsi masjid itu turut terlihat daripada usaha pentadbiran pihak masjid yang telah membuka ruang perniagaan, perkhidmatan, riadah, sukan, pendidikan duniawi dan ukhrawi, gedung ilmu, muzakarah di kawasan masjid.

Semuanya sejajar dengan kepesatan dan pembangunan fizikal dan material masa kini ke arah memakmurkan institusi masjid.

Uniknya lagi, masjid-masjid di negara kita ini juga ada di antaranya telah menjadi tumpuan pelancong-pelancong tempatan mahupun luar negara. Usaha ini sekali gus, satu cara mempromosikan agama Islam dari sisi positif.

Inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumpulkan maklumat masjid-masjid terpilih di seluruh negeri di Malaysia ini, sekurang-kurangnya bagi tujuan mendokumentasikan institusi penting ini sebagai rujukan seluruh masyarakat tempatan dan juga luar negara.

Lantaran itu, buku berjudul Ziarah Masjid di Malaysia atau dalam versi Inggeris, Mosque Visits in Malaysia diterbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Buku setebal 251 muka surat ini walaupun lebih menekankan kepada aspek seni bina dan konsep reka bentuk, pengaruh dan sejarah sesebuah masjid, namun ia boleh dianggap sebagai pemangkin kepada salah satu usaha menjana minda umat Islam.

Di samping itu, ia juga alat media bagi menggarapkan apa sahaja yang mampu menonjolkan institusi masjid demi mencerminkan identiti Islam yang sangat unggul, berbudaya dan bertamadun serta disegani oleh bangsa-bangsa lain.

Lebih 100 masjid diketengahkan daripada setiap negeri bermula dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dan turun ke Selangor, Wilayah Persekutuan, terus ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Kemudian bersambung ke Pahang, Terengganu dan Kelantan dan kemudian menyeberangi Laut China Selatan, ke masjid-masjid di Sarawak dan Sabah.

Buku berkulit tebal ini cantik juga dijadikan cenderahati kepada kenalan dari luar negara yang datang berkunjung ke Malaysia, sama ada untuk tujuan libur ataupun bisnes.

Malah buku ini juga wajar dijadikan koleksi peribadi agar dapat memberi manfaat secara lebih luas kepada seisi keluarga.

No comments: