Like Blog Ini...

Monday, March 7, 2011

Jadikan Maulidur Rasul pemangkin perubahan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

MAJLIS Maulidur Rasul yang disambut saban tahun perlu dijadikan pemangkin kepada perubahan golongan muda terutamanya mereka yang berada di menara gading.

Sambutan bago memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW itu akan menjadi sia-sia sekiranya mahasiswa tidak sedar peranan penting yang dipikul mereka dalam mendepani harapan universiti dan ummah seluruhnya.

Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Burhan Che Daud berkata, sempena sambutan itu, seorang mahasiswa Muslim sewajarnya mengambil kesempatan menilai kembali prestasi diri sebagai generasi pewaris perjuangan Rasulullah.

Katanya, paling tidak mereka harus menyedari pusaka paling penting yang ditinggalkan Rasulullah kepada umatnya adalah suruhan solat dan ia wajib dipertahankan sepanjang masa.

"Kita harus ingat, solat adalah pusaka besar yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW dan Allah telah menjanjikannya sebagai benteng yang dapat mengawal manusia daripada melakukan kerosakan dan perkara yang ditegah agama.

"Sebagai penuntut, sewajarnya kita merenung semula adakah kita sendiri sudah menjaga solat lima waktu dengan sebaiknya? Adakah kita sudah menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat bukan Islam di universiti bahawa kita golongan yang berdisiplin dan tidak lalai kepada suruhan agama sendiri," katanya semasa menyampaikan ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul di Kampus Sementara UMK di Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Burhan berkata, siswa yang menjaga solat mereka, sentiasa berdoa kepada Allah dan membasahi lidah memuji Nabi Muhammad SAW, pasti akan menjadi insan yang cemerlang dan hidup dilimpahi keberkatan.

"Solat dan doa adalah waktu eksklusif untuk kita berdialog dan bermunajat kepada Allah, untuk kita bisikkan apa sahaja masalah yang melanda diri dan memohon kekuatan daripada Allah," katanya.

Beliau berkata, pengajaran lain yang boleh diambil daripada sambutan Maulidur Rasul adalah menanam cita-cita untuk melahirkan komuniti terbaik yang berpegang kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, sama ada di dalam atau luar kampus.

Katanya, sikap mudah selesa dan berpuas hati dengan suasana dan pencapaian sekeliling seharusnya tidak wujud kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk membaiki diri dan masyarakat.

Majlis Maulidur Rasul peringkat universiti itu mendapat sambutan kira-kira 500 warga kampus terdiri daripada kakitangan dan pelajar yang terlebih dahulu berarak mengelilingi kawasan pusat perniagaan di Pengkalan Chepa sambil membawa sepanduk dan berselawat beramai-ramai.

Program perarakan dan ceramah anjuran Unit Islam dan Pembangunan Nilai (UniPeN) UMK itu turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed.

No comments: