Like Blog Ini...

Sunday, March 6, 2011

Coklat buatan tangan

Oleh MERAN ABU BAKAR

COKLAT mudah mencairkan hati. Melihat sahaja coklat, membuatkan penggemarnya menelan air liur. Berilah apa sahaja jenis makanan yang mengandungi coklat seperti kek coklat, ais krim coklat, kepingan coklat, biskut coklat, minuman coklat dan sebagainya,

semuanya pasti membuatkan hati begitu teringin sekali menikmatinya.

Justeru coklat terus menjadi kesukaan ramai tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Bentuk coklat juga ada bermacam-macam. Ini kerana coklat dengan mudah boleh dibentuk mengikut apa sahaja bentuk yang diingini.

Jika anda berkunjung ke butik coklat, anda akan dapat melihat pelbagai bentuk coklat yang cantik dan amat mengkagumkan sehingga mungkin anda tidak tergamak hendak memakannya kerana sayang mencacatkan bentuk coklat tersebut.

Geram melihat bentuk-bentuk coklat yang cantik itu membuatkan Amira A. Razak ingin mempelajari sendiri bagaimana hendak membuatnya.

Pada pertemuan dengan Amira di kedainya di Prima Kajang, Selangor baru-baru ini, penulis begitu kagum dengan hasil kreativitinya menghasilkan pelbagai bentuk coklat yang begitu memikat hati.

Coklat berbentuk bunga ros berwarna merah jambu dan coklat, coklat kerang-kerangan, coklat Mickey dan Minnie Mouse, coklat ketupat, coklat berisi badam, buah strawberi berbungkus coklat dan banyak lagi membuatkan siapa yang melihatnya ingin menjamah.

Amira berkata, coklat-coklat tersebut dibuatnya sendiri di rumah menggunakan coklat sebenar yang tidak dicampur dengan sebarang bahan lain. Terdapat tiga jenis coklat, iaitu coklat hitam, coklat putih dan coklat susu.

''Coklat jenis converter ini akan dimasak dahulu sehingga cair. Selepas itu coklat akan dituang ke atas permukaan marmar bagi proses tempering atau merendahkan suhu. Proses ini mesti dikendalikan oleh seseorang yang betul-betul mahir mengendalikan suhu coklat.

"Jika betul caranya, coklat akan menjadi berkilat. Bagaimanapun jika tidak mahir, coklat akan menjadi lembik. Keseluruhan proses ini mengambil masa lebih kurang setengah jam. Jika mahir, 20 minit sudah siap.

''Selepas itu barulah coklat dimasukkan ke dalam acuan yang dikehendaki. Kalau hendak memasukkan pewarna, gunakan pewarna berasas minyak dan jangan gunakan pewarna biasa. Selepas itu baru dimasukkan ke dalam peti sejuk,'' jelas Amira.

Menurut Amira, beliau membuat beberapa jenis coklat seperti coklat berinti blueberry, strawberi, badam, kismis, mentega kacang dan sebagainya. Ada juga coklat enrouved atau coklat salutan, holofigures (berbentuk kartun Sponge Bob, Mickey Mouse, Hello Kitty dan sebagainya) atau trufle (coklat yang tidak menggunakan acuan).

Katanya, pada masa ini beliau menerima banyak tempahan coklat bagi dijadikan hantaran pertunangan atau perkahwinan, untuk dimasukkan ke dalam hamper, hadiah hari jadi, door gift dan apa sahaja yang dinginkan pelanggan.

Selain coklat, ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga berbakat membuat kek cawan yang dihiasi dengan ising mentega, ising royal, fondant atau krim mentega yang sesuai bagi pelbagai acara selain kek lapis Sarawak pelbagai corak.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai coklat, kek cawan atau kek lapis Amira, boleh menghubungi 013-2504647.

No comments: