Oleh Rasmi Abdullah
SEBUT sahaja perkataan coklat, pastinya semua orang terbayang kelazatan dan keenakan makanan tersebut yang kini buka sahaja 'digilai' kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.
Menurut kajian yang pernah dibuat, coklat sebenarnya makanan berkhasiat yang menyumbang kepada pemakanan seimbang berdasarkan kepada asas permakanan.
Coklat juga adalah bekalan makanan ringkas yang boleh dibawa ke mana sahaja dan boleh dimakan pada bila-bila masa selain mengandungi nilai tenaga yang tinggi.
Oleh sebab itu, coklat amat sesuai dijadikan makanan gantian ketika seseorang tidak cukup masa untuk keluar makan akibat bebanan pekerjaan.
Apalagi kini, coklat bukan sahaja boleh diperoleh dalam bentuk bar tetapi pelbagai rekaan kreatif yang pastinya memikat sesiapa sahaja yang melihatnya.
Tetapi disebabkan rekaan yang kreatif dan cantik itu jugalah mungkin ada yang berasa 'sayang' untuk memakannya.
Sebaliknya lebih senang ditatap lama dan dijadikan hiasan ataupun dihadiahkan kepada seseorang yang istimewa bagi melambangkan perasaan mereka.
Begitu yang sering dirasakan seorang ibu tunggal, Mazliana Mohien, sehingga mendorongnya berkecimpung dalam bidang pembuatan coklat buatan tangan.
Melalui perniagaan Brilliant Chocolate yang pada mulanya diusahakan di rumah selama dua tahun.
Mazliana, mengetengahkan pelbagai reka bentuk coklat yang dihasilkan dari air tangannya sendiri.
Hasilnya memang cukup menarik dan mengagumkan sehingga tidak percaya ia adalah coklat semula jadi yang boleh dimakan.
Antara reka bentuk coklat yang diilhamkan adalah seperti gubahan coklat, lolichoc, coklat berbentuk hati, bunga, jambagan bunga dan watak-watak kartun yang pastinya digilai kanak-kanak.
Tambah menarik, coklat yang dihasilkan didatangkan dalam warna cukup memikat, tampak comel dan membuatkan hati bertambah 'geram' untuk membelinya.
Dia memberitahu, idea untuk berkecimpung dalam bidang itu datang ketika menghadiri kursus pembuatan kek dan coklat buatan tangan anjuran Kolej Komuniti Kuala Langat, Mara Selangor pada tahun 2008.
Akhirnya, menerusi kursus itu ibu tunggal ini nekad belajar bersunggung-sungguh menghasilkan coklat buatan sendiri.
"Rupa-rupanya buat coklat ini tidaklah susah sangat. Ini kerana kita hanya menghancurkan coklat bar dan bentuk mengikut kreativiti sendiri.
"Hari demi hari saya semakin teruja mencuba menghasilkan pelbagai reka bentuk dan mula mengadunkan warna yang menarik," katanya.
Ceritanya, sejak dari itulah timbul idea untuk memasarkan coklat buatannya dari rumah ke rumah.
Mazliana, tidak menyangka coklat buatannya semakin hari semakin diminati sehingga mendorongnya menguatkan semangat membuka sebuah kedai coklat awal tahun ini yang beroperasi di Kampung Sungai Lang, Banting, Kuala Langat.
Beliau kemudian membuat keputusan untuk membina blog http://brilliantchocalate.blogspot.com supaya perniagaannya semakin berkembang.
''Alhamdullillah sejak blog ini wujud banyak juga tempahan diterima dan kini coklat saya mula di kenali terutamanya di daerah ini.
''Bagi membolehkan saya terus bersaing dengan pengusaha coklat buatan tangan yang lain, saya pastikan coklat buatan saya berkualiti.
''Selain cuba mencipta rekaan kreatif dan lain daripada yang lain terutamanya dari segi reka bentuk dan adunan," ujarnya yang juga mempunyai kepakaran untuk membuat kek cawan bagi memberi pilihan kepada pelanggan.
No comments:
Post a Comment