Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
MENJADI trendsetter atau pencipta trend, bukanlah sesuatu yang mudah. Adakalanya ia dipengaruhi oleh faktor suasana, kehendak, gaya hidup dan mungkin juga secara kebetulan. Yang pasti seseorang pencetus trend itu perlulah kreatif dan mewujudkan sesuatu yang baru dan berbeza. Justeru itulah yang cuba dilakukan oleh usahawan wanita yang bernama Ruzila Mohd. Khir Hadi, 43.
Wanita yang berasal dari Kedah ini kini sedang giat mengusahakan perniagaan perancang perkahwinan menerusi syarikatnya, Busana Flora Mentari.
Umum mengetahui sebuah majlis perkahwinan itu tidak lengkap jika tiada buah tangan untuk setiap tetamu, memikirkan kelainan yang jarang ditampilkan, Ruzila menghasilkan kek cawan yang dihiasi icing sugar paste yang berwarna- warni dan cantik sebagai cenderamata untuk tetamu yang hadir. Niat beliau untuk memberi pilihan kepada bakal pengantin dan mencipta kelainan pada hari bersejarah mereka.
“Saya berminat dalam bidang pembuatan kek sejak berumur 14 tahun. Masa itu saya belajar menghias kek daripada seorang saudara yang tinggal bersama di rumah saya. Sejak dari usia 15 tahun lagi saya sudah membuat kek hantaran untuk jiran-jiran di kampung. Tetapi, selepas mendapat tawaran belajar di Amerika Syarikat, saya berhenti seketika untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran. Bila dah bekerja, minat untuk membuat kek datang semula dan saya pun mengambil kelas-kelas pembuatan kek sebagai hobi sahaja,” terang Ruzilah membuka cerita.
Isteri kepada Iskandar Chan Abdullah ini menyifatkan bahawa perniagaan memang sebati dengan dirinya. Ditambah pula dengan dorongan utama daripada ibu bapa, anak dan juga ahli keluarga yang lain.
“Untuk menghasilkan sebuah kek, selalunya saya akan bertanya pada pelanggan apakah kegemaran mereka dan tema yang mereka mahukan. Untuk inspirasi dan kaedah-kaedah terbaru, saya banyak membeli buku, majalah dan juga melayari internet. Saya akan satukan semua idea-idea daripada pelanggan dan juga daripada pihak saya dan menghasilkan lakaran sebelum kek itu dibuat. Jika pelanggan berpuas hati, barulah saya akan siapkan kek itu,” jelas Ruzila sambil menunjukkan cara pembuatan kek.
Hantaran pengantin
Selain kek cawan sebagai cenderahati, Ruzila turut menghasilkan bakul roti untuk dijadikan hantaran pengantin. Ia unik dan paling diminati oleh pelanggan untuk dijadikan hantaran.
“Saya gembira kerana ramai juga bakal pengantin yang inginkan bakul pastri ini untuk dijadikan centrepieces pada hiasan-hiasan meja untuk majlis-majlis rumah terbuka atau untuk pelbagai jenis keraian. Bakul-bakul pastri ini boleh dibentuk dengan pelbagai cara dan dihiasi dengan biskut, gula-gula, buah-buahan dan pelbagai lagi mengikut cita rasa tersendiri. Bakul pastri ini tidaklah susah untuk dibuat tapi memakan masa sedikit kerana terpaksa dianyam dan dihiasi. Dengan kesabaran hasilnya amat memuaskan hati.
“Kebanyakan kek yang kami buat untuk buah tangan pengantin adalah berhiaskan dengan hiasan sugar paste kerana aising jenis ini boleh tahan lama dan tidak cair. Kebanyakan tempahan yang diterima adalah kek-kek kecil yang berbentuk empat segi, bulat dan juga kek cawan. Harga kek-kek ini bergantung kepada jenis kek dan juga jenis hiasan yang digunakan.
Hiasan dan warna selalunya mengikut tema oleh pasangan pengantin tersebut. Sekarang ini, kami banyak menerima tempahan biskut yang dihias dengan sugar paste untuk dijadikan buah tangan pengantin. Harganya berpatutan dan satu keunikan yang berlainan selain daripada memberi bunga telur kepada para tetamu.
Untuk majlis hari jadi kanak-kanak, selalunya pelanggan menempah kek cawan yang dihias dengan butter cream icing dan dihias dengan hiasan yang digemari oleh kanak-kanak. Kebanyakan mengikut watak kartun yang digemari oleh kanak-kanak itu.
“Kami juga menerima tempahan daripada syarikat-syarikat korporat untuk majlis pelancaran, makan malam tahunan dan juga majlis-majlis perasmian,” jelas Ruzila yang turut akan menulis buku tentang pembuatan kek dan bakul pastri.
Menceritakan tentang penglibatan awal dalam perniagaan ini, Ruzila berkata, semua tempahan kek beroperasi dari rumah kerana butik sepupu yang ditumpanginya sebelum itu terlalu sempit. Mendapati bahawa banyak masa terbuang kerana terpaksa berulang alik dari kedai dan rumah, dia memutuskan untuk berpindah ke premis di Bandar Baru Bangi.
Keputusan berpindah ke premis baru membuatkan produktiviti Ruzila bertambah, dalam sehari dia dan pekerjanya boleh menghasilkan dalam 150 hingga 200 biji kek cawan. Namun, bagi kek-kek kecil yang berasaskan sugar paste, kami boleh menyiapkan dalam 70 hingga 100 biji sehari.
“Untuk biskut-biskut yang dihiaskan sugar paste, kami boleh menyiapkan dalam 1,000 kek sehari,” cerita ibu kepada Iman Iskandar, 8.
Ruzila berkata, bakal pengantin biasanya disarankan memilih kek buah untuk kek tingkat mereka. Ini kerana kek buah berat dan apabila dihias dengan fondant, kek itu padat dan tidak mudah pecah.
“Ada juga pelanggan meminta kek dibuat dari perisa lain seperti coklat, vanila, oren dan kopi. Jadi, kami selalunya menghasilkan kek mengikut cita rasa pelanggan,’’ katanya.
Selain menghasilkan kek dan pastri, Busana Flora Mentari juga menyediakan pakej andaman, menerima tempahan menjahit baju dan mengadakan pelbagai kelas. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 012 -706 9176 dan e-mel: busanafloramentari@ yahoo.com.
No comments:
Post a Comment