Like Blog Ini...

Tuesday, March 8, 2011

Zaid Ibn Thabit tokoh penulis al-Quran

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

SETIAP kali al-Quran diturunkan, Rasulullah SAW memanggil penulis wahyu untuk menulis ayat al-Quran. Zaid Ibn Thabit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengimla' al-Quran.

Selesai sahaja ditulis, Rasulullah SAW meminta supaya dibaca kepadanya. Jika terdapat kesilapan seperti tertinggal huruf atau kalimah, baginda akan membetulkannya.

Kemudian barulah ayat tersebut dibawa keluar untuk dibaca kepada sahabat yang lain.

Zaid telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan tulisan al-Quran.

Perbuatan beliau menulis wahyu di hadapan Rasulullah SAW dianggap sebagai hujah yang kuat bahawa penulisan al-Quran adalah Tauqifi.

Perbuatan menulis di hadapan Nabi SAW dan pengesahan daripada baginda adalah satu pengakuan atau disebut taqrir, di mana ia adalah sama dengan sunnah perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW.

Semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq r.a, antara sumbangannya adalah mengumpul al-Quran di satu tempat. Tenaga utama yang menjayakan usaha itu ialah Zaid dan Umar Ibn al-Khattab.

Kedua-duanya telah kepercayaan sepenuhnya untuk mengumpul dan menulis seluruh al-Quran. Namun bagi Zaid, dia menganggap bahawa rancangan menulis semula al-Quran adalah satu tugasan yang amat berat

Antara pujian dan kepercayaan yang diberikan oleh khalifah Abu Bakar kepada Zaid ialah beliau seorang pemuda yang tidak melakukan penipuan.

"Kamu adalah seorang yang adil, beramanah dan berilmu. Amanah yang diterimanya dari khalifah yang pertama untuk satu tugas yang amat berat itu telah dijalankan dengan jayanya," kata Abu Bakar.

Semasa pemerintahan Uthman Ibn Affan, berlaku pertelingkahan antara tentera Islam tentang bacaan al-Quran.

Jika tidak dibendung ia mungkin membawa mudarat yang lebih besar kepada umat Islam.

Bagi menyelamatkan keadaan, Uthman telah mengambil satu tindakan iaitu menulis beberapa mushaf dan dihantar ke kota-kota Islam ketika itu.

Tenaga yang diberi tanggungjawab yang mencabar itu sudah tentu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam ilmu penulisan al-Quran.

Orangnya ialah tidak lain dan tidak bukan ketua yang mengetuai pasukan penulisan al-Quran itu ialah Zaid.

Namun, tugasnya bukan hanya berhenti setakat itu, Uthman juga telah melantiknya sebagai pengajar al-Quran di Kota Madinah.

Kesimpulannya, khidmat Zaid dalam menulis al-Quran amat besar, bermula pada zaman Rasulullah SAW. Bahkan ada yang menyatakan bahawa beliau hadir dalam perbentangan al-Quran terakhir Rasulullah di hadapan Jibril a.s pada Ramadan sebelum baginda wafat.

Beliau juga diberi tanggungjawab mengumpul al-Quran pada zaman Abu Bakar dan sekali lagi diberi amanah menyalin semula al-Quran pada zaman Uthman yang merupakan titik tolak penyebaran al-Quran secara meluas ke kota-kota Islam.

No comments: