Like Blog Ini...

Sunday, March 6, 2011

Warna-warni kek cawan

Oleh MERAN ABU BAKAR

KANAK-KANAK pasti teruja melihat kek yang berhias kartun berwarna-warni ini. - Gambar AZLI AHAD.

SIAPA yang tidak tertarik melihat kek-kek cawan yang comel dan cantik dihias dengan pelbagai motif serta aneka warna yang memikat.

Jika orang dewasa pun teruja melihatnya, apatah lagi bagi kanak-kanak, pasti mereka tidak dapat menahan keinginan untuk menikmatinya.

Keindahan kek-kek cawan ini lebih kurang sama dengan kek perkahwinan yang dibuat daripada fondant. Bezanya kek cawan lebih kecil dan kita boleh memilih banyak hiasan yang disukai.

Disebabkan rupanya yang cantik dan berwarna-warni, kek cawan kini semakin popular di kalangan masyarakat terutama di bandar-bandar besar.

Malah, bagi suri rumah yang pandai membuatnya, ia mampu memberi pendapatan sampingan dengan mengambil tempahan daripada rakan-rakan dan saudara mara.

Ini juga yang dilakukan oleh Asiah Hashim, yang menjadikan hobinya membuat kek cawan sebagai perniagaan sampingan dari rumah yang menguntungkan.

“Sebenarnya kek cawan dari dulu lagi sudah ada, malah ia antara produk wajib di kebanyakan kedai kek. Bezanya, dulu ia kosong dan jarang dihias berwarna-warni seperti sekarang,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kek cawan yang dihasilkannya, kata Asiah, hiasan di atas kek biasanya dibuat daripada fondant, krim mentega, coklat, royal ising atau gula ising yang dicampur dengan warna-warna ceria seperti merah, merah jambu, ungu, kuning, hijau dan biru.

Menurutnya, pelanggan boleh memilih sama ada hiasan bunga-bungaan, kumbang, kotak hadiah, reben, kartun, ala kek perkahwinan bertingkat dan sebagainya.

“Pelanggan boleh juga memberikan gambar yang mereka suka dan minta dibuatkan sama seperti itu,” katanya.

Asiah, yang juga mengusahakan pelbagai jenis cenderamata untuk perkahwinan berpendapat, kek cawan juga cantik sesuai sebagai kek hari jadi, di mana tuan rumah boleh memberikan setiap tetamu sebiji kek dan tidak perlu lagi memotong kek yang besar dan meremehkan.

Ia juga sesuai dijadikan kek hantaran pertunangan, perkahwinan, hadiah kepada kawan baik, hadiah kepada guru dan sebagainya.

Jenis keknya pula, terdapat dalam pelbagai perasa, tetapi dua jenis yang biasa ditawarkan iaitu kek buah atau kek mentega.

“Kek buah tahan lebih lama, iaitu kira-kira sebulan sementara kek mentega tahan seminggu,” katanya yang boleh dihubungi di talian 016-2981280.

No comments: