Like Blog Ini...

Wednesday, March 9, 2011

Buku Muhammad ubah hidup Davis

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERTEMUAN dua sahabat, iaitu Mustafa Davis dengan Usama Canon hampir 15 tahun dahulu bukan sekadar satu kebetulan. Ia lebih kepada suratan ilahi yang akhirnya membawa kedua-dua memeluk Islam melalui satu catatan perjalanan yang agak menarik.

Bermula dengan Davis yang menegur Canon ketika mereka mengikuti kelas Bahasa Sepanyol dan duduk pula bersebelahan menyebabkan mereka akhirnya menjadi kawan akrab.

Lebih-lebih lagi kedua-duanya berkongsi minat yang sama dalam bidang muzik dan budaya.

Mereka sering bermain piano di kampus berjam-jam lamanya yang diselang-seli dengan perbincangan terutamanya dalam soal-soal kepercayaan dan spiritual.

Sehinggalah pada suatu hari Davis perlu meminta pendapat Canon mengenai hasratnya untuk kembali ke jalan kehidupan yang benar. Kala itu, Davis tinggal seorang diri di San Jose. Pada sebelah malam dia bekerja sementara, siang ke kuliah.

"Saya merasakan kehidupan masa lalu sering menjadi beban dan selalu menghantui hidup.

"Saya beritahu Canon saya sedang mempertimbangkan untuk kembali pada Katholik, untuk memperbaiki hidup," katanya.

Namun Canon bertanya sama ada sahabatnya itu pernah mendengar dan terfikir mengenai Islam?

"Saya jawab tidak pernah, kerana saya merasa Islam hanyalah agama untuk orang Arab atau agama kelompok pemisah kulit hitam," katanya.

Mendengar jawapan itu, Canon, seorang penganut Kristian bertanyakan pula sama ada dia pernah mendengar mengenai Nabi Muhammad SAW.

Davis menjawab dia hanya kenal atau mendengar nama Elijah Muhammad sahaja. Manakala Nabi Muhammad SAW yang beliau tahu berasal dari bangsa Arab dan agamanya yang dibawanya adalah untuk orang Arab sahaja.

Sehinggalah pada suatu malam, Davis singgah ke sebuah kedai buku untuk membeli kitab Injil - sebagai permulaan untuk kembali kepada ajaran Kristian.

Namun, matanya terus tertarik kepada sebuah buku berkulit hijau dengan Muhammad tertulis besar dalam warna tinta keemasan.

Lantas beliau terus mengambil buku yang tajuk lengkapnya ialah Muhammad - His Life Based On The Earliest Sources karya Dr. Martin Lings (seorang pakar Matematik yang memeluk Islam).

"Yang menarik perhatian saya adalah frasa earliest sources dalam judul itu. Walaupun ingin kembali kepada ajaran Katholik tetapi saya sedar ada pelbagai perdebatan secara teologi mengenai kesalahan-kesalahan yang ada dalam Injil.

"Lalu saya cuba membaca buku Dr. Martin Lings itu bagi mendapatkan sesuatu yang baru," katanya.

Namun kerana menemui banyak perkataan Arab terutamanya kalimah al-Quran yang banyak diulang dalam buku itu menyebabkan Davis mengembalikan buku itu ke raknya.

"Saya cuba membaca tetapi kerana kesukaran memahami perkataan dalam bahasa Arab maka saya rasa benarlah tanggapan saya sebelum ini bahawa Islam adalah agama untuk orang Arab sahaja," katanya.

Namun buku Dr. Ling itu bagaikan sebuah bayang yang memburu. Langkah kaki Davis dirasakan sangat berat sehinggalah dia kembali semula ke rak buku mengenai Islam. Matanya tertancap kepada sebuah buku yang tertulis tajuknya The Quran.

Ia terus mengingatkan Davis mengenai perkataan al-Quran yang kerap beliau temui dalam buku Dr. Ling sebentar tadi.

Lalu buku yang sebenarnya senaskhah terjemahan al-Quran itu dibuka dan diselak dengan penuh minat.

Kebetulan yang diselak itu adalah surah Maryam. Davis terus tertarik untuk membaca isi kandungan surah itu yang menceritakan kelahiran Nabi Isa a.s.

"Sebaik sahaja saya membaca ayat-ayat dari surah tersebut, terus dirasakan tubuh saya panas dan dingin, silih berganti.

"Malah saya tahu saya bagaikan menggigil kerana tidak menyangka Islam juga meyakini keajaiban dalam kelahiran Jesus yang diyakini dalam agama Kristian.

"Namun Islam tidak meyakini Jesus sebagai anak dari Tuhan seperti keyakinan umat Kristian," katanya.

Tidak diketahui apa sebabnya, Davis kemudiannya teresak-esak di kedai buku itu saat membaca terjemahan al-Quran.

"Akhirnya saya membeli naskhah terjemahan itu supaya dapat membaca dengan lebih banyak apa yang diyakini oleh kaum Muslimin.

"Dalam situasi perasaan yang sedang emosi itu, saya benar-benar sudah lupa untuk membeli Alkitab (Injil) dan meninggalkan toko buku itu," ujarnya.

No comments: