Like Blog Ini...

Sunday, March 6, 2011

Jom buat brownies!

BROWNIES adalah bar cookie dalam kategori biskut namun ia lebih dikenali sebagai sejenis pencuci mulut yang berasal dari Amerika Syarikat dan sangat popular di negara itu.

Brownies mempunyai permukaan yang rapuh dan merekah selepas dibakar akibat pengkaramelan gula. Kelainan brownies adalah pada teksturnya dan ia tidak sama seperti kita makan kek. Digelar dengan nama bar cookie kerana ia dibakar dalam acuan berbentuk empat segi.

Teksturnya padat di mana ia mempunyai kedua-kedua tekstur di antara biskut dan kek yang tidak terlalu rapuh dan tidak terlalu lembut. Tekstur fudgy (tekstur gula-gula lembut) dan cakey (tekstur seperti kek) pada brownies ini menjadikan ia berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Kini terdapat pelbagai jenis brownies iaitu daripada yang berkacang, tanpa kacang atau yang berkeju. Bahan asas penting bagi membuat brownies adalah coklat dan serbuk koko.

Brownies yang sedap menggunakan coklat dan koko yang bermutu tinggi. Walaupun harganya sedikit mahal namun anda pasti berpuas hati dengan hasil brownies yang disediakan nanti.

Coklat yang bermutu tinggi diperbuat daripada lemak koko dan selalunya ia mudah cair pada suhu badan dan berkilat apabila membeku selepas dicairkan serta mudah dipatahkan.

Brownies memang mudah disediakan. Anda hanya perlu mencairkan coklat dalam mangkuk pembancuh dan kemudian bahan-bahan lain hanya perlu ditambah satu persatu dan dikacau sehingga sebati sebelum dibakar.

Namun proses membakar brownies adalah langkah penyediaan yang paling penting dan perlu diberi perhatian. Brownies tidak boleh dibakar terlalu lama kerana teksturnya akan menjadi kering dan tidak enak untuk dimakan.

Jadikan masa yang diberi sebagai panduan tetapi anda perlu menguji tahap kemasakan brownies beberapa minit sebelum ia betul-betul masak dengan mencucuk lidi pencucuk kek di tengah brownies.

Sekiranya ada sedikit cebisan brownies yang terlekat pada lidi tersebut maka itu tandanya brownies sudah masak dan boleh dibawa keluar.

Brownies yang telah masak selalunya akan dipotong empat segi. Ia boleh dimakan dengan pelbagai cara. Kopi dan teh adalah minuman yang sering dinikmati bersama brownies.

Sesetengah orang suka menikmati brownies yang disapu dengan krim putar atau krim coklat.

Brownies ala mode iaitu brownies yang dimakan dengan aiskrim vanila tetap menjadi pilihan saya apabila saya menikmati brownies. Tidak terkira keenakannya. Jadi cubalah resipi brownies pada minggu ini.

No comments: