Like Blog Ini...

Wednesday, March 9, 2011

Kepentingan ujian saringan kesihatan

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

SEJAUH mana anda menyedari kepentingan ujian saringan dan menjalani pemeriksaan itu? Kebanyakan orang kurang sedar malah ada segelintir tidak tahu langsung apakah itu ujian saringan dan keperluannya dalam memelihara kesihatan.

Ujian saringan adalah kajian atau penilaian untuk mengesan simptom awal penyakit kronik bagi memudahkan pencegahan dan rawatan.

Pakar Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) , Dr. Nani Deraman berkata, ujian saringan terbahagi kepada banyak jenis dan satu daripadanya yang sering digalak serta diberi penekanan untuk dijalankan adalah Ujian Saringan Kardiovaskular .

Katanya, dengan Ujian Saringan Kardiovaskular, doktor akan melakukan tiga ujian iaitu tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan paras kolesterol dalam darah untuk mengesan penyakit-penyakit kronik berkaitan jantung.

"Pemeriksaan tekanan darah dilakukan untuk mengesan penyakit darah tinggi atau darah rendah, kandungan gula dalam darah bagi kencing manis dan paras kolesterol dalam darah untuk memastikan tahap kolesterol seseorang.

"Doktor akan mengambil satu sampel darah dari badan seseorang untuk ketiga-tiga ujian ini dan ia akan dihantar ke makmal bagi memperoleh keputusan tepat.

"Jika seseorang mempunyai penyakit atau berisiko mendapat penyakit kronik, doktor akan merawatnya melalui ubat, memantau dan memberikan cara terbaik mengatasi serta mengawalnya supaya ia tidak menjadi serius," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Nani memberitahu, bagaimanapun, masyarakat dilihat kurang menjalankan ujian saringan atas beberapa faktor antaranya tidak mempunyai kesedaran mendalam mengenai kepentingan pemeriksaan itu dan kesibukan masa.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melakukan ujian saringan kerana ia amat penting dalam menunjukkan keadaan kesihatan semasa mereka dan mampu mengurang atau mengelakkan risiko dijangkiti penyakit kronik berkaitan kardiovaskular.

Beliau berkata, penyakit darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol tinggi adalah faktor utama menyumbang kepada penyakit jantung yang menjadi penyakit pembunuh nombor satu di negara ini.

Menurutnya, secara normal, seseorang digalak menjalankan ujian saringan sekali setiap tahun bermula usia 40 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun, individu yang mempunyai sejarah keluarga berpenyakit kronik dinasihatkan berjumpa doktor pada usia lebih muda untuk mengetahui secara lanjut mengenai ujian saringan ini, ujian saringan lain dan tempoh bersesuaian menjalankan pemeriksaan berkenaan.

"Seseorang boleh menjalankan ujian saringan di mana-mana klinik kerajaan dan hospital, klinik serta makmal swasta yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

"Mereka perlu berpuasa selama lapan jam sebelum boleh menjalani ujian saringan.

"Tempoh ujian saringan hanya beberapa minit namun keputusan tepatnya akan diperoleh dalam jangkamasa kira-kira seminggu jika dijalankan di hospital, klinik dan makmal swasta serta sebulan di klinik kerajaan," ujarnya.

No comments: