Oleh JAMALLUDDIN HASHIM
MENYAMBUNG bicara minggu lepas, permasalahan berkaitan tawaf tidak kurang pentingnya supaya setiap jemaah dapat melakukan tawaf dengan sempurna.
Inilah sebahagian besar permasalahan berkaitan dengan tawaf yang yang perlu diketahui oleh bakal haji. Antaranya;
1. Melakukan tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad atau qiran adalah sunat. Mereka diharuskan melakukan tawaf qudum selama mana mereka masih belum lagi berwukuf. Selepas melakukan tawaf qudum, diharuskan bagi mereka melakukan saie haji. Jika tawaf qudum tidak dilakukan sehingga mereka berwukuf, maka saie haji tersebut wajib dilakukan selepas mereka melakukan tawaf haji (ifadah).
2. Sah tawaf bagi jemaah yang uzur dengan menaiki kereta sorong dengan mengikuti syarat-syarat tawaf. Begitu juga sah tawaf bagi yang menyorong kereta sorong tersebut dalam masa yang sama. Tetapi tidak sah tawaf bagi jemaah yang bertawaf serentak dengan anak kecil yang didukungnya. Maka dia hendaklah melakukan tawaf secara berasingan seperti meniatkan tawaf untuk anaknya terlebih dahulu. Lalu dilakukan tawaf untuk anaknya dengan didukung. Kemudian dia melakukan tawaf untuk dirinya sendiri.
3. Terdapat jemaah uzur yang mengerjakan haji dalam keadaan gangguan fikiran. Kadang-kadang sedar dan dalam masa yang lain tidak sedar pula. Maka hukum tawaf bagi jemaah ini dikira sah jika ia dilakukan dalam keadaan sedar.
4. Dalam keadaan yang lain pula, terdapat jemaah yang tawaf secara bersorong tertidur semasa tawaf. Berhubung dengan wuduk jemaah ini, ia dikira tidak batal jika ia tidur dalam keadaan tetap papan punggung. Bagi bilangan tawaf pula, orang yang menyorong disyor memaklumkan kepada jemaah yang disorongnya itu setiap kali sampai ke kawasan penamat tawaf. Ini untuk memastikan dia meyakini tawafnya cukup tujuh pusingan walaupun semasa dalam perjalanan menuju ke tempat tamat pusingan tawaf dia dalam keadaan tertidur.
5. Bagi jemaah yang berulang alik antara penginapannya dengan Masjid Haram Mekah, mereka mempunyai pilihan, sama ada melakukan solat tahiyyatul masjid atau tawaf tahiyyatul bait ketika masuk ke dalamnya. Jika dia melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka afdalnya dia berbuat demikian.
Sekiranya dia melakukan solat sunat tawaf selepas itu, dia turut mendapat pahala sunat solat tahiyyatul masjid. Jika dia tidak mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka lakukanlah solat sunat tahiyyatul masjid.
6. Kadang-kadang ketika melakukan tawaf, muazzin menyeru untuk ditunaikan solat jenazah. Maka dalam masalah ini, adalah afdal jemaah meneruskan tawaf jika tawafnya itu tawaf wajib. Jika tawafnya itu tawaf sunat, adalah afdal dia turut sama menunaikan solat jenazah.
7. Dalam keadaan tertentu, terdapat jemaah wanita yang melaksanakan tawaf sunat. Belum cukup tujuh pusingan, beliau kedatangan haid dan tidak sempat melengkapkan tujuh pusingan kerana pulang ke Malaysia. Bagi kes ini, jemaah tersebut tidak perlu melengkapkan pusingan tawaf dan boleh pulang ke tanah air tanpa terikat dengan apa-apa hukum kerana ia adalah tawaf sunat. Ini juga terpakai bagi jemaah haji lelaki yang mengerjakan tawaf sunat dan tidak sempat menyempurnakan pusingan kerana terpaksa pulang ke Malaysia.
8. Kini, terdapat program ziarah ke bandar Jeddah termasuk Masjid Terapung di tepi Laut Merah. Bagi jemaah yang mahu mengikuti program ziarah ini, diwajibkan ke atas mereka melakukan tawaf wada' sebelum memulakan program ziarah ini kerana jarak perjalanan adalah lebih daripada dua marhalah iaitu 104 kilometer.
9. Sebelum jemaah keluar dari Tanah Haram Mekah selepas selesai kerja-kerja haji, wajib mereka melakukan tawaf wada' melainkan bagi orang-orang yang dikecualikan seperti wanita yang sedang berhaid. Tawaf wada' ini dilakukan setelah semua urusan sudah diselesaikan.
Waktu melakukan tawaf wada' adalah seperti berikut :
*Hari Jumaat (bagi bas yang akan bertolak antara pukul 2 hingga 3 petang)
Uruf selepas tawaf wada' ialah 4-5 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Mekah pada pukul 2 atau 3 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wada' pada pukul 10 pagi.
*Hari Sabtu hingga Khamis dan Jumaat (bagi bas yang bertolak selain waktu di atas)
Uruf selepas tawaf wadak ialah 2-3 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Mekah pada pukul 6 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wadak pukul 3 petang.
Sejurus melakukan tawaf wadak, jemaah terus meninggalkan Mekah kecuali jika ada hajat-hajat yang tertentu. Antara hajat-hajat yang boleh dilakukan selepas tawaf wada' adalah seperti berikut :
a- Sejurus selepas tawaf wada' :
i- Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya.
ii- Berdoa di Multazam.
iii- Minum air zamzam dan berdoa.
iv- Mengucup Hajarul Aswad jika berkesempatan dan suasana mengizinkan.
v- Menunaikan solat jika bilal telah melaungkan iqamat, atau bilal sedang melaungkan azan sedangkan ia telah berusaha untuk keluar setelah melaksanakan tawaf wada' tetapi tidak sempat keluar dari Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya yang bersambung saf kerana kesesakan yang amat ketara lalu iqamat dilaungkan.
b- Selepas tawaf (di maktab/penginapan)
i- Makan dan minum sekadar keperluan dalam bilik penginapan di hotel (maktab).
ii- Qada hajat dalam tandas bilik penginapan.
iii- Mengambil beg atau barang yang diletakkan/ditinggalkan dalam bilik penginapan
iv- Mencari isteri, saudara, waris, rakan yang hilang
v- Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
vi- Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik/maktab (bagi kes kecemasan dan hajat)
vii- Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan, sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan atau minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
viii- Menunggu kenderaan yang lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya.
Bagi wanita yang datang haid, sunat baginya meninggalkan kota Mekah pergi ke hadapan pintu Masjidil Haram, memandang Kaabah dan melambai-lambai tangan dengan perasaan yang sayu.
No comments:
Post a Comment