Like Blog Ini...

Thursday, March 12, 2009

Rahmat semesta alam

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
(fikrahremaja@yahoo.com) 

PETANG itu aku pulang ke asramaku kepenatan. Penat menyiapkan tugasanku di kuliah tadi. Sampai di bilik, sambil merebahkan badan aku buka radio, menekan stesen radio kegemaranku. Ada diskusi sedang berlangsung. 

"Boikot barangan negara itu! Mereka telah berani menghina Nabi Muhammad SAW. Mereka telah menyatakan bahawa Nabi Muhammad telah membawa ajaran pengganas dan menindas wanita. Dan bahawa Islam itu adalah agama rekaan Nabi Muhammad..."

"...Tetapi sesungguhnya itu hanyalah cebisan kecil penghinaan mereka terhadap Nabi dan umat Islam. Mereka lebih mentertawakan kita di saat kita menyimpang jauh daripada landasan Islam dan hidup seperti budaya mereka..."

Aku termenung. Sesungguhnya aku sangat bersetuju dengan pandangan ahli panel itu. Orang-orang itu sungguh melampau! Terlalu banyak penghinaan yang dilemparkan terhadap Rasulullah baik dalam tulisan mahupun dalam karya seni mereka. Apalah salah Rasulullah kepada mereka? 

Perjuangan hak bersuara dan kebebasan media perlu diletakkan pada tempat yang betul. Mengapa perlu mengguris hati majoriti umat Islam hanya atas nama kebebasan bersuara dan kebebasan penyiaran media? 

Atau mungkin mereka punyai niat tertentu umpamanya menyebarkan propaganda anti-Islam mahupun melakukan provokasi terhadap kita umat Islam demi menjustifikasikan kebencian mereka terhadap ajaran Islam.

Sememangnya kita tidak harus berdiam diri apabila orang menghina agama Islam. Tetapi cabaran terbesar ialah apabila umat Islam sendiri tidak menghormati perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada umat baginda.

Jika kita mencintai seseorang tentu kita tidak rela jika orang tersebut dicaci atau diperlekehkan. Mencintai dan membela Nabi bukanlah sekadar lafaz yang lahir daripada mulut sahaja. Umat Islam wajib menjaga nama baik Rasulullah dengan menjadi teladan yang baik dan memelihara kesucian agama Islam itu sendiri sehingga kita membawa nama baik orang yang kita cintai.

Kini kita dapati umat Islam pada ketika ini terhina di mana-mana, sinonim dengan kemiskinan dan lemah, padahal umat Islam terdahulu terkenal kerana bersemangat waja, berakhlak mulia, menjaga kehormatan, membela orang-orang miskin, menjunjung tinggi ilmu serta menjaga kesucian diri dan harta.

Keperibadian

Sudah tiba masanya kita kembali semula kepada ajaran-ajaran dan mencontohi keperibadian Rasulullah dalam menjalani kehidupan. Kita tentu bangga apabila Michael H. Hart dalam bukunya yang terkenal menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah. Malah aku pernah membaca kenyataan Mahatma Ghandi pada 1924 di dalam akhbar Young India apabila beliau selesai membaca biografi Nabi Muhammad SAW. 

"Saya sangat kepingin untuk mengetahui kehidupan seorang insan yang telah memenangi jutaan hati manusia... Saya menjadi sangat yakin bahawa bukanlah pedang yang menyebabkan Islam mendapat tempat pada zaman hidupnya. 

"Semuanya atas sifat kesederhanaan, sifat merendah diri, keprihatinan beliau terhadap janji-janjinya, kasih sayang yang mendalam terhadap sahabat dan pengikutnya, berani dan tidak takutkan sesiapa, kepercayaan yang mutlak terhadap Tuhan serta mempunyai misi dalam cara tersendiri. 

"Ciri-ciri inilah yang membawa beliau menakluki mereka dan bukannya kerana mata pedang. Lalu apabila saya menutup jilid kedua (mengenai biografi Nabi Muhammad SAW), saya berasa sangat kecewa kerana tiada lagi cerita yang boleh saya baca mengenai tokoh agung ini..."

Aku yakin ramai remaja seperti aku tahu bahawa banyak teladan dan contoh ikutan ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW buat pedoman remaja dan belia. Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan pemudi Islam tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah SAW sebagai model ikutan sepanjang zaman.

Namun aku merasakan bahawa sebagai remaja Islam, perjalanan sirah akan lebih dihargai jika pengajarannya dihayati. Remaja akan berasa lebih akrab dengan sirah apabila mereka ditunjukkan dengan pesanan-pesanan penting yang tersirat di sebalik fakta-fakta sirah.

Di sini perlu wujudnya kesan kepada jiwa dan bukan semata-mata hafalan tarikh atau nama. Remaja yang dapat menjadikan sirah sebagai penyegar jiwanya mampu membentuk jiwa dan rohnya supaya lebih tenang, bersemangat dan kental menghadapi cabaran mendatang. 

Pada pendapatku, cara dan gaya mendidik remaja menghayati sirah harus bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah mematangkan remaja dan melatih mereka berfikir sebagai manusia yang bertanggungjawab memikul amanah yang telah Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat Islam.

Minda yang kreatif amat diperlukan demi menghasilkan produk-produk yang dapat membantu remaja mencerna dan menghayati sirah Rasulullah SAW supaya produk yang dihasilkan menepati syarak, dan disebarkan dalam cara yang teratur.

Justeru, remaja seperti aku harus dididik agar memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutamanya sebagai remaja dan kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup. 

Dengan keyakinan yang jelas terhadap kepentingan penghayatan sirah ini, ia mampu menumbuhkan kecintaan dan usaha dari dalam diri mereka sendiri untuk terus mencari dan menghayati sirah agung sepanjang hayat mereka.

Aku juga yakin kita semua tahu bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang sangat cinta dan prihatin dengan umatnya, sehingga digambarkan Allah SWT dalam surah at-Taubah: 128. 

Begitulah cintanya Rasul terhadap umatnya sehinggakan ucapan terakhir baginda adalah "umatku...umatku...". Bahkan pada khutbah akhir baginda, baginda telah meninggalkan amanat yang penting buat umat Islam, iaitu sentiasa berpegang teguh kepada dua perkara, iaitu pada al-Quran dan as-Sunah. 

Alhamdulillah, hari ini kita dapat menganuti Islam sebagai petunjuk dan pedoman yang sempurna. Tetapi alangkah ruginya umat Islam yang seramai 1.8 bilion ini sekiranya tidak mengenali keperibadian serta pengorbanan Rasulullah terhadap umat baginda dan tidak mengamalkan mengikut landas Islam dalam kehidupan mereka.

"Allahuakbar, Allahuakbar!" Azan Maghrib mula berkumandang. Aku bingkas bangun daripada pembaringanku, bangun daripada lamunanku, untuk menuju kepada Allah yang Esa. Aku ingin berdoa semoga aku dan umat Islam yang lain diberikan kekuatan untuk mengikuti ajaran Islam dan sentiasa mengamalkan sunah Nabi serta dapat mencontohi keperibadian dan akhlak Rasulullah yang yang dicintai.. 

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya': 107).

No comments: