Kepentingan pemimpin telah ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi...”. (al-Baqarah: 30)
Manusia dilantik sebagai khalifah atau pemimpin untuk melaksanakan tiga misi. Pertama, mengabdikan diri kepada Allah. Kedua, mentadbir dan menjalin hubungan sesama manusia. Ketiga, mentadbir semua makhluk di muka bumi termasuk sumber galian dan sumber air.
Justeru, antara sifat terpuji yang perlu ada pada pemimpin yang terpuji ialah amanah. Ia adalah satu unsur kesempurnaan peribadi dan sifat golongan beriman. Tanpanya akan berlakulah penindasan, kezaliman dan segala bentuk penganiayaan.
Dalam al-Quran ada menyatakan sifat ini. Allah berfirman, maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya... (an-Nisa’: 58)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto AHMAD YUSRI KHALID menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Darul Fuqaha, Mohd. Khairuddin Aman Razali bagi mengupas isu ini.
MEGA: Apakah kedudukan pemimpin dalam Islam?
MOHD. KHAIRUDDIN: Secara amnya, manusia yang hidup memerlukan kepada ketua. Ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam ayat ke-30 surah al-Baqarah di atas.
Khalifah dalam ayat itu antara lain bermaksud pengganti kepada Allah untuk memakmurkan bumi ini. Konsep ketua ini adalah bagi menguruskan bumi.
Jadi, perkara pokok yang perlu ada pada pemimpin ialah amanah. Di peringkat mikro, setiap suami adalah pemimpin keluarganya, isteri atau ibu itu pemimpin bagi anak-anaknya. Di peringkat makro pula, setiap pemimpin atau Perdana Menteri itu adalah pemimpin bagi negara dan rakyatnya.
Nabi SAW sering mengingatkan umatnya mengenai keutamaan sifat ini melalui hadis diriwayatkan Imam Ahmad, al-Bazzar dan Tabrani, maksudnya: “Tiada iman bagi orang yang tiada amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak (dipercayai) janjinya”.
Jelas, amanah merangkumi banyak aspek kehidupan, bermula pada sudut keperibadian diri sendiri hingga urusan yang membabitkan kepemimpinan dan kenegaraan. Oleh itu, sudah tentu ia suatu sifat yang cukup berat untuk diamalkan.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan disoal pada hari akhirat ke atas apa yang kamu pimpin...(riwayat Muslim)
Jadi, sepatutnya, tidak timbul persoalan berebut-rebut hendak jadi pemimpin sebabnya seolah-olah kita dikejar untuk kena soal kelak.
Hari ini kepimpinan sinonim dengan pulangan yang lumayan. Mungkin sebab itu ramai yang berebut-rebut menawarkan diri merebut jawatan. Apa pandangan Islam dalam perkara ini?
MOHD. KHAIRUDDIN: Memang di dalam Islam, jawatan itu ada pulangan. Sebabnya, apabila individu itu menghabiskan masa dan tenaga untuk umat maka dia berhak menerima gaji.
Gaji itu pula hendaklah setimpal supaya ia mencukupi untuk makan dan pakai. Tidak meminta-minta kepada orang lain atau asakan nafsu sehingga barangkali terlibat dalam rasuah.
Bagaimanapun, persoalan besar di sini adakah pulangan atau amanah yang jadi matlamat?
Dalam Islam, kita dilarang meminta jadi pemimpin. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW apabila didatangi oleh Abu Musa. Dia berkata kepada Rasulullah, tolong ambil kami jadi ketua. Nabi bersabda: “Demi Allah, kami tidak akan lantik pekerjaan ini kepada seorang yang meminta jawatan atau orang yang nampak rakus mahukan jawatan”.
Dalam kes lain, Abu Zar bertanya kepada Nabi SAW lantiklah saya jadi Gabenor. Baginda bersabda: “Kamu ini lemah”.
Ini menggambarkan dalam dunia sekarang, ramai yang tidak ada kemampuan tetapi minta mahu jadi pemimpin. Ini antara sebab berlakunya politik wang. Mereka gunakan wang untuk beli undi.
Maksud lemah yang disebut oleh Baginda SAW itu apabila seseorang meminta dipilih atau dilantik sebagai pemimpin atau rakus.
Rakus itu bahaya kerana biasanya orang yang meminta-minta jawatan itu sebab hendakkan pulangan. Pada hari kiamat kelak, sikap ini akan membawa kita kepada kehinaan.
Jadi, tak bolehlah kita memukul canang supaya dicalonkan untuk sesuatu jawatan?
MOHD. KHAIRUDDIN: Memang betul. Sebab itu kata Nabi SAW, siapa yang meminta jawatan, kita hendaklah tolak mereka awal-awal.
Hikmah tidak minta jawatan antaranya kerana orang yang minta jawatan tidak akan mendapat bantuan orang lain. Sebabnya, dia hendak sangat jawatan itu. Jadi, orang akan serah bulat-bulat kepada dia seorang untuk melakukan tugas.
Walhal, jika kita diberi sesuatu jawatan tanpa meminta-minta, kita akan diberi bantuan. Rakan-rakan akan kata, “Tak apa, kamu tak nak jawatan tetapi kami akan bantu”.
Rasulullah ada bersabda yang antara lain maksudnya: Tanda-tanda akhir zaman ialah jika umatku melakukan 15 pekara maka layaklah Allah turunkan bala. Satu daripadanya ialah apabila amanah menjadi tempat untuk dapat habuan, maka di kala itu bala akan turun.
Apabila berebut jawatan, ekonomi akan merudum, politik pun tidak stabil. Maka, Allah jadikan orang lain menguasai kita.
Apa pula tugas masyarakat dalam memilih pemimpin?
MOHD. KHAIRUDDIN: Masyarakat perlu membuat pilihan berdasarkan neraca keimanan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kepimpinan umat seperti pemilihan jawatan tertinggi UMNO. Kita perlu tegas.
Mereka yang ada ciri-ciri seperti di atas tadi hendaklah dibuang. Sebaliknya, kita perlu pilih calon yang bersifat tawaduk iaitu orang yang tidak mahu tonjolkan diri.
Antara yang penting dalam memilih pemimpin adalah aspek solehnya calon berkenaan. Apabila soleh maka dia akan menjaga amanah sebagai pemimpin.
Maka kita tidak perlu bimbang tentang berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau pun rasuah.
Orang itu juga mestilah yang kuat dari segi jasmani dan akal iaitu mempunyai ilmu. Dia juga mesti orang yang takut kepada hisab (perhitungan Allah) dan membuat baiah yakni menjadi wakil orang bawahan untuk pastikan segala kehendak Allah terlaksana di muka bumi.
Mungkin timbul persoalan, bagaimana hendak memilih pemimpin yang amanah jika golongan pemilihnya ramai yang korup. Tetapi kaedah Islam menetapkan bahawa Allah tidak akan menghimpunkan umatnya dalam kesesatan. Maknanya, akan ada dalam masyarakat golongan yang nakal dan yang baik.
Jika benar-benar tawaduk, insya-Allah akan dibuka hati orang untuk mengundi atau pilih calon-calon yang soleh tadi.
Islam tidak halang kita mencipta sistem pemilihan seperti demokrasi tetapi kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada itu. Dalam Islam kita ada satu lagi sistem yang disebut syura. Islam tidak ajar bahawa majoriti jadi penentu sebagaimana di Barat.
Kita wajib memilih pemimpin di kalangan orang yang layak sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya...(An-Nisa’: 58).
Apakah pula ciri-ciri yang perlu ada supaya Malaysia menjadi negara yang baik, dan Pemelihara yang Pengampun sebagai mana dalam ayat 15 surah Saba’?
MOHD. KHAIRUDDIN: Allah beri syarat negara yang berkat itu mesti wujud keadilan sosial dan ekonomi. Ini dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: Dan jika penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka sudah usahakan. (al-A’raf: 96)
Namun, Allah juga memberi amaran yang bermaksud: Maka mereka berpaling ingkar, lalu kami turunkan banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) dengan dua kumpulan kebun yang berisi pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah serta sedikit pohon bidara. Demikianlah kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka...(Saba’: 16-17)
Kalau kita merujuk kepada pemilihan UMNO, boleh kita katakan rosak UMNO rosaklah negara. Sebab, ia adalah parti pemerintah masa kini.
Maksiat yang berlaku contohnya amalan politik wang akan merosakkan negara. Pemimpin yang kufur dengan nikmat Allah menjadi penyebab kepada kelaparan dan ketakutan di kalangan rakyat.
Pada masa yang sama, kita perlu menyegerakan penubuhan kerajaan perpaduan untuk menyelamatkan umat Islam dan Melayu. Demokrasi acuan Barat membentuk parti untuk jadi pemimpin negara. Jika ini diamalkan ia jadi pertembungan yang tidak berkesudahan. Sebabnya sistem kepartian jadi penyebab kepada pecah belah.
Sentimen lama dalam politik perlu dibuang. Kita wajib menyahut seruan perpaduan sebagai mana yang sedang diusahakan oleh kalangan pemimpin UMNO dan Pas. Jika ini direalisasikan, golongan pendakwah pun lebih bebas mengkritik sebab tidak akan dilihat bias kepada mana-mana parti.
No comments:
Post a Comment