Like Blog Ini...

Saturday, March 7, 2009

Anak wajib qada zakat ibu bapa

SOALAN:Apakah yang wajar dilakukan oleh anak-anak apabila mengetahui bapanya yang baru meninggal dunia namun tidak pernah mengeluarkan zakat harta walaupun sekali sepanjang hayatnya?

JAWAPAN:
Alhamdulillah, mujurlah si mati mempunyai anak-anak yang ada kesedaran untuk berzakat. Ini kerana, orang yang sengaja enggan menunaikan zakat sepanjang hayatnya sedangkan dia sudah mencukupi segala syaratnya, maka dia dianggap berhutang dengan Allah SWT bahkan berdosa besar, wal ‘iyazubillah.

Untuk itu, anak-anak atau waris si mati wajib mengqadakan zakat harta tersebut. Bahkan menurut kitab Mastika Hadith Jilid 3: “Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya”.

Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Dari Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, silalah berkunjung ke mana-mana kaunter zakat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai qada zakat ini. Wallahua’lam.

- Untuk maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau e-mel kepada hamizul@e-zakat.com.my

No comments: