Like Blog Ini...

Monday, March 30, 2009

Mahu Berhenti Merokok?

www.iluvislam.com
kawaei_tori93*
Editor: lailatulema

 
Mulakan berhenti merokok dengan YAKIN DIRI bahawa anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.

Langkah 1 BERSIHKAN 

Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja. 

Langkah 2 BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKAN 

Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan. 

Langkah 3 LAKUKAN SAHAJA 

Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara “ cold turkey “. Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap. 

Langkah 4 TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI

Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok. 

Langkah 5 BERFIKIRLAH SECARA POSITIF

Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok. 

Langkah 6 DAPATKANLAH SOKONGAN

Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda. 

Langkah 7 MELAWAN KEINGINAN MEROKOK

Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiap kali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya. 

AMALAN 4M - PETUA MENGATASI KEINGINAN MEROKOK 

MELENGAHKAN-LENGAHKAN 
Lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Seandainya rokok ada di tangan, jangan nyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda ” nanti ” setiap kali anda ingin merokok. 

MENARIK NAFAS PANJANG. 
Tariklah nafas panjang-panjang tiga kali dengan perlahan-lahan. 

MINUM AIR. 
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air yang mengandungi kafin seperti kopi atau teh, kerena minuman ini biasanya membuatkan anda lebih teringin merokok seepas minum. 

MEMBUAT SESUATU 
Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada merokok. Contohnya bersiar-siar, makan angin, membaca buku, membuat silangkata, berkebun dan bersenam. 

FAEDAH YANG DIPEROLEHI SEBAIK SAJA ANDA BERHENTI MEROKOK 

Selepas beberapa jam, sistem peredaran darah akan mulai bersih daripada bahan nikotin.Dalam tempoh 2 hari, hasil sampingan bahan nikotin akan lenyap dari badan. 
Selapas 6 jam, nadi akan lebih perlahan ke paras yang lebih normal dan tekanan darah akan menurun sedikit. Ini amat baik untuk jantung anda.
 Selepas 24 jam, karbon monoksida iaitu salah satu jenis gas beracun akan mula lenyap dari tubuh.Ini membolehkan lebih banyak oksigen diserap oleh sel-sel dalam tubuh. Paru-paru akan dapat berfungsi dengan lebih baik. 
Selepas 2 hari, deria rasa pada lidah akan bertambah baik. Anda akan dapat menikmati kelazatan makanan, lebih dibandingkan semasa anda merokok. Deria menghidu akan pulih seperti sediakala. Gigi, rambut, jari, pakaian dan nafas akan menjadi lebih bersih. 
Selepas beberapa minggu, silia dalam saluran pernafasan yang berfungsi membersihkan bahan-bahan kotoran seperti habuk, debu dan sebagainya akan kembali pulih dan paru-paru dapat berfungsi dengan lebih baik.
 Selepas 2 bulan, peredaran darah ke seluruh tubuh terutama ke bahagian periferi seperti jejari tangan dan kaki mejadi lebih efisien. 
Selepas 3 bulan, kedua-dua lelaki mahupun wanita menjadi lebih subur. 
GEJALA ” WITHDRAWAL “ ATAU GIAN 

Sekiranya anda ketagih dengan rokok tentunya tubuh anda telah terbiasa dengan nikotin yang mana ketiadaan dalam tubuh anda akan menyebabkan anda mengalami gian atau gejala “withdrawal”. Gejala fizikal yang berlaku ke atas diri anda merupakan suatu tanda positif bahawa tubuh anda kembali pulih. Gejala-gejala ini akan hilang dalam tempoh 3 hingga 14 hari. 

Batuk-batuk menandakan mekanisma pembersihan saluran pernafasan anda berfungsi seperti sediakala. 
Pening-pening sedikit menandakan tubuh anda mula menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih berbanding semasa menjadi perokok dahulu. 
Sakit kepala boleh terjadi apabila tekanan darah menurun ke paras normal. Ini berlaku selepas tiga hari berlalu. 
Rasa kebas dan sengal-sengal kadang-kadang boleh terjadi pada otot. Ini berlaku kerana peredaran darah menjadi lebih lancar. Lakukan senaman untuk melancarkan lagi sistem peredaran darah.
Gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, merasa loya atau sebu perut kadang-kadang boleh terjadi tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja. 
Gejala-gejala lain seperti gangguan tidur, gangguan konsentrasi dan perasaan resah akan juga berlaku. Gejala-gejala ini tidak berpanjangan dan boleh diatasi dengan mudah. Sekiranya tidak boleh mengatasi gejala “withdrawal” ini berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan nikotin gantian. 
 

*Artikel ini diambil daripada http://suhaimy.org/kesihatan/cara-berhenti-merokok/

No comments: