Susunan ZUARIDA MOHYIN
SEKADAR mahu dikenali sebagai Svetlana di laman web Islam Online.net. Bergelar Muslim kata Svetlana adalah takdir atau ketentuan daripada Allah SWT. Mengucap dua kalimah syahadah pada 30 Julai 2006 dianggap sebagai kembali kepada fitrah.
Svetlana dibaptiskan sebagai seorang yang beragama Kristian Ortodok sebaik dilahirkan ke dunia ini. Pun begitu, beliau jarang ke gereja, apatah lagi mempraktikkan agama tersebut.
Seingat Svetlana yang berasal dari Romania, Tenggara Eropah, semasa kecil lagi, agama adalah sesuatu yang dilarang keras dianuti memandangkan negara itu di bawah pemerintahan atau undang-undang Komunis.
Selepas kejatuhan Komunis pada usia beliau 11 tahun, ramai rakyat Romania telah kembali kepada agama masing-masing.
Namun, ia tidak berlaku kepada kedua-dua ibu bapanya, yang langsung tidak mengambil pusing atau mengabaikannya. Malah negara Romania masih mengekalkan pendirian mereka yang sekular.
Malah sepanjang ingatannya, ibunya hanya akan ke gereja untuk menghadiri majlis perkahwinan, kematian ataupun majlis pembaptisan bayi yang baru dilahirkan. Ada ketikanya ibu membawanya ke gereja untuk menghidupkan lilin sebagai tanda memperingati mereka yang hidup dan yang telah meninggal dunia.
Bau asap
Hakikatnya, akui Svetlana, dari dahulu lagi beliau memang tidak suka dengan bau asap daripada lilin yang terbakar apa lagi, suasana di dalam gereja mereka.
Ia adalah sebuah gereja tipikal (biasa) Kristian Ortodok Di mana ia tidak mempunyai bangku-bangku duduk. Malah sewaktu khutbah di sampaikan, para pengikut akan berdiri sehingga berada berhampiran dengan meja altar.
Yang paling memeritkan, bila khutbah tersebut mengambil masa yang panjang, menyebabkan kaki beliau terasa sakit dan lenguh yang amat sangat. Kesakitan tersebut menyebabkan tumpuan kepada khutbah yang disampaikan, hilang begitu sahaja.
"Kebenarannya, saya tidak selesa dengan suasana tersebut serta khutbah yang disampaikan langsung tidak menarik. Sebabnya si paderi seolah-olah bercakap sendirian, langsung tidak ada komunikasi dua hala di antara dia dan hadirin.
"Ditambah pula golongan berusia yang lebih suka bersembang sesama mereka serta sibuk bergosip di belakang.
"Suasana terlalu padat turut menyesakkan nafas. Di manakah nilai-nilai ketuhanan yang seharusnya wujud, lebih-lebih lagi apabila kita berada di bangunan suci sebegitu?
"Jiwa saya rasa kosong malah saya tidak mampu menjiwai suasana penuh keagamaan di dalam agama Kristian ini," keluh Svetlana.
Pun begitu, Svetlana mempunyai dua orang teman karib yang beragama Islam. Namun mereka juga tidak mempraktikkan ajaran Islam secara keseluruhan.
Beliau pernah menghadiri beberapa majlis perkahwinan masyarakat Islam di tempatnya. Malah pernah menjadi saksi kepada pengantin perempuan. Ia memang satu pengalaman yang menarik bagi Svetlana.
Kemudian sewaktu mengikuti pengajian di sebuah universiti di United Kingdom, cerita Svetlana, dia mempunyai teman sekelas yang datang dari seluruh dunia dan ada di antaranya itu beragama Islam.
Kebetulan, dia berminat berkawan dengan seorang Muslim dari Maghribi dan dua orang dari Indonesia.
Svetlana rapat dengan mereka bertiga kerana sifat mereka yang tenang, ceria, merendah diri, selesa didekati serta paling utama, mereka ini tidak minum arak berbanding teman-teman sekelas yang lain. Ini kerana beliau sendiri tidak menggemarinya serta boleh dikira berapa kali dia meminumnya.
"Pada bulan-bulan akhir sebelum menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana, saya dipertemukan secara tidak sengaja dengan seorang lelaki Muslim, yang kemudiannya menjadi teman hidup.
"Tentu bila mendengar pengakuan sedemikian saya, pasti mendakwa saya memeluk Islam kerana hendak berkahwin dengan pemuda Islam.
"Sebaliknya, saya percaya inilah cara bagaimana Allah mempertemukan saya dengan agama-Nya iaitu melalui seorang lelaki Muslim yang membimbing saya ke jalan kebenaran.
"Yang pastinya, sepanjang perkenalan kami, dia (suami) tidak pernah menyentuh berkaitan Islam, apatah lagi menyuruh saya untuk memeluk agama Islam.
"Saya pernah mengajukan soalan mengapa dia langsung tidak pernah mengemukakan tajuk-tajuk tentang Islam? Ringkas jawapannya? Pilihan agama itu mestilah lahir dari hati nurani bukannya dipaksa oleh orang lain," kata Svetlana lagi.
Svetlana masih ingat pada saat beliau hilang keyakinan kepada agama Kristian, lebih-lebih lagi menerusi cabang Ortodok, beliau tetap yakin dan percaya bahawa Allah itu ada atau wujud.
Tertarik
Beliau mula tertarik dengan Islam, apabila mendapati bahawa ajaran Islam membawa umatnya ke satu tujuan yang menjawab persoalan mengapa manusia atau makhluk di bumi ini diciptakan, bahawa hidup dan mati itu adalah kerana Allah malah ia benar-benar sampai ke dalam hati nurani beliau.
Hakikatnya, ajaran Islam itulah yang selama ini beliau cari bagi mengisi kekosongan dalaman dirinya.
Sejak berpindah ke Qatar, Svetlana pergi ke pusat Islam di situ yang memiliki bangunan dengan minaret yang indah serta terletak di tepi pantai.
Acap kali melihat bangunan itu, beliau sudah dapat merasai ketenangan. Itu tidak dapat digambarkan apabila berada di dalamnya.
Tanggapan awalnya, ia sekadar sebuah masjid, tetapi sebenarnya ia adalah benar-benar sebuah Pusat Islam di mana terdapatnya sebuah mahkamah syariah.
Sejak itu, Svetlana menanam keinginan untuk mengucap dua kalimah syahadah di dalam bangunan indah tersebut.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar permintaan hamba-Nya. Pada pagi 30 Julai, tanpa dirancang, Svetlana memandu keretanya menuju Pusat Islam itu dan mengambil keputusan melakukan syahadah.
Suaminya pada masa itu langsung tidak diberitahu. Selepas pengislaman, barulah diumumkan sebaik mempelawanya keluar makan untuk meraikan berita gembira itu. Dia (suami) terkedu seribu bahasa.
"Saya dapat lihat riak wajah terkejut seluruh ahli keluarga mentua. Kegembiraan itu diiringi dengan air mata gembira.
"Di pihak ibu bapa kandung saya pula, saya yakin mereka akan turut berkongsi berita gembira ini bila saya pulang ke kampung halaman kelak.
"Saya berharap dan berdoa lebih ramai orang di negara saya tidak lagi terpengaruh dengan sikap tidak adil media-media barat yang memburukkan imej Islam dengan memberi gambaran negatif berkaitan agama yang syumul ini.
"Cubalah hayati maksud sebenar yang disampaikan dalam Kalam Suci, al-Quran, bukan sekadar membacanya sahaja.
"Sesungguhnya, Allah itu Maha Berkuasa untuk memberhentikan segala peperangan, tindakan memburukkan Islam dam akhirnya membawa keamanan di dunia ini," harap Svetlana semoga semua makhluk menerima hidayah-Nya.
No comments:
Post a Comment