Like Blog Ini...

Saturday, March 7, 2009

Beri rasuah juga berdosa

SOALANSaya seorang pengurus projek di sebuah syarikat perumahan. Sebulan lepas saya didatangi oleh dua orang lelaki beruniform, tanpa lencana nama, menjelaskan bahawa saya tidak menjaga keselamatan pekerja, serta mengotorkan jalan raya. Saya jelaskan bahawa kompeni saya terlalu menitikberatkan keselamatan pekerja, manakala kotoran berlaku dari projek sebelah yang sedang meratakan tanah. Lelaki ini tetap berkeras menyatakan saya telah melakukan kesalahan dan boleh didenda RM25,000 atau diarahkan berhenti kerja.
Biarpun saya tidak melakukan kesalahan dan saya tetap yakin, saya menyedari kalau berkeras saya akan bermasalah. Mungkin diarahkan supaya kerja-kerja dihentikan. Ke mana hendak dibawa dengan 100 lebih pekerja saya, sewa kren yang mesti dibayar, juga bunga bank yang mesti dilangsaikan.
Saya cakap perlahan-lahan dan terpaksa runding baik-baik, akhirnya saya setuju sebanyak RM300. Tetapi tidak diterima, saya tambah RM100 lagi, akhirnya dia meminta sebanyak RM600, kerana mereka datang berenam katanya.
Yang saya nampak hanya dua orang sahaja, yang ada di hadapan mata. Mungkin yang empat orang lagi ada buat bisnes di lain tempat atau berada di semak-semak juga memerhatikan saya di celah-celah zink yang melindungi kawasan projek kami.
Tahun lepas orang yang macam ini pun ada datang dan saya “terpaksa” beri, untuk mengelakkan timbul masalah yang lebih besar. Susah! Bukan politik sahaja melibatkan rasuah pemaju pun kena bayar juga. Kalau tidak lagi besar rugi. Malaysia tanah air kesayanganku.
- Mangsa rasuah, Kuala Lumpur.

Jawapan:
Saya sekarang sedang berhadapan dengan seorang manusia yang rasa kecewa kerana sering didatangi oleh pengugut rasuah. Iaitu meminta habuan percuma, dengan cara mengancam atas tiket tugas, jawatan yang disandang dan kuasa yang diamanahkan.

Insan yang kecewa itu ialah saudara, seorang pengurus projek yang di bawah seliaannya terdapat lebih daripada 100 orang pekerja orang luar, yang diselia oleh seorang Cina.
Dalam kemelut seumpama ini saudara akhirnya menyindir, memerhatikan seolah-olah politik Malaysia, juga urusan pembangunan itu disaluti dengan rasuah. “Malaysia negara yang dicintai, disayangi, buminya dipijak, langitnya dijunjung, sayangnya dibangunkan dengan gelombang dosa dan roda rasuah.

Bagi mereka yang berupaya berfikir, bermuhasabah diri dan berwawasan akan dapat dirasai pedasnya sindiran saudara, lebih-lebih lagi mereka yang terdiri daripada pentadbir-pentadbir, ahli-ahli politik dan yang seumpamanya yang terus menerus menyusuri perkembangan dan pergolakan yang berlaku di tanah air.

Fenomena seumpama ini tidak terlintas dalam pemikiran mereka-mereka yang terus menerus hanyut yang terdiri daripada peminat dadah, yang terlibat dengan HIV, merompak, merogol, menyamun juga mereka yang terlibat dengan kegiatan hiburan yang keterlaluan, termasuk mereka yang giat menangkap hantu, seperti yang digambar-gemburkan di Johor baru-baru ini.
Dalam rasa kecewa seumpama itu, saudara menurunkan satu ungkapan yang benar-benar menusuk hati saya:

yang rasuah merasuah,
yang merempit terus merempit
along sandaran rakyat tersempit
yang merompak terus merompak
yang memukau terus memukau,
yang dadah menjadi tunggul lapuk mati
yang melacur terus melacur
termasuk yang diberi visa on arrival
yang menyeludup terus menyeludup
“Malaysia tanah air kesayanganku.”

Ungkapan di atas, kalau difikir-fikir secara ikhlas memang ada hakikatnya. Dalam masa yang sama ia bersifat keterlaluan. Keadaan ini berlaku kerana manusia tidak berupaya mengenal diri serta terlalu mementingkan diri sendiri.

Saudara juga termasuk dalam golongan orang yang terlalu mementingkan diri sendiri dan kompeni tempat bekerja.

Saudara terlalu gusar berhadapan dengan penguatkuasa yang menyalahgunakan kuasa. Takut diarahkan berhenti, yang boleh menyebabkan lebih 100 orang pekerja tersadai, projek lambat siap. Dalam masa yang sama saudara juga takut kena saman. Apa ada pada duit RM600 berbanding dengan saman RM25 ribu seperti yang dijelaskan.

Kakitangan seperti ini pun datang bukan setiap hari, mungkin setahun empat kali tidak termasuk samseng yang mengugut meminta wang perlindungan. Berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lepas, berunding slow talk dengan berdiplomasi adalah lebih baik. Segala-galanya berjalan dengan lancar.

Saya percaya yang saudara tidak mengabaikan keselamatan pekerja dan tidak mengotori jalan raya. walaupun sekiranya saudara tidak mencari jalan keluar dengan menyogok, kakitangan ini boleh menyusah-nyusahkan saudara.

Dalam urusan seperti ini, jalan mudah ialah memberi sogokan, Namun kita perlu ingat saudara sebenarnya di antara mereka yang menggalakkan rasuah terus menerus berlaku. Kalaulah semua seperti saudara, bertindak semata-mata untuk melepaskan diri, saya yakin kepada “Malaysia tanah air kesayanganku tadi

Saudara lebih mementingkan keuntungan kompeni tempat bekerja, mengabaikan larangan Allah, larangan negara dan bertentangan dengan hasrat nuraini seseorang yang benar-benar kasih kepada “Malaysia tanah air kesayanganku” tadi.

Bagi dua orang kakitangan yang datang, mendapat RM600 itu dan dibahagikan kepada enam orang, seorang dapat RM100 dan RM400 untuk kawan yang mungkin berada disemak-semak.
Besar kemungkinan temannya yang didakwa empat orang itu bohong atau rekaan semata-mata bukan mustahil. Logiknya kalau kakitangan ini boleh mengugut untuk mendapatkan rasuah, adakah mustahil baginya untuk menipu saudara.

Cuba saudara gambarkan macam mana saudara menyeluk poket sebelah kanan mengeluarkan wang sebanyak RM600 kemudian saudara lipat sekecil boleh dan menghulurkan ke tangan kanan lelaki kakitangan kerajaan tadi, yang telah bersumpah akan bertugas dengan jujur lagi amanah.

Tangan kanannya menerima wang yang dihulurkan, terasa tebal dan nafsunya tersenyum ghairah, biarpun otaknya merasa serba salah. Amalannya bertentangan dengan prinsip tugas yang diamanahkan. Bertentangan dengan ajaran agama yang dianuti.

Setelah menerima segala-galanya berubah sekelip mata. Dari nada bahasa yang mengancam, dihambur dari mulut seorang penguatkuasa, bertukar kepada cerita tentang projek yang begitu cepat dilaksanakan. Lalu bertanya berapa harga seunit rumah yang sedang dibina. Katanya-katanya persis dari seorang pembeli yang berkarisma, biarpun dia sendiri menyedari apa yang dikatakan itu semata-mata helah untuk meluluskan diri setelah habuan terlaksana.
Biar dalam keadaan apa sekalipun, saudara tetap melayaninya kerana saudara tahu orang yang seumpamanya tetap mempunyai kuasa, yang bukan mustahil untuk datang di waktu lain.
Segala-galanya kelihatan berjalan dengan baik, kerana kedua-dua pihak mempunyai kepentingan iaitu yang mentadbir mempunyai kuasa dan saudara yang membangun “Malaysia tanah air kesayanganku.”

Kalau saudara dapat gambarkan, apa yang terlintas dalam pemikiran saudara kalau drama atau sandiwara antara peminta rasuah dengan pemberi rasuah itu dirakamkan dan ditayangkan di televisyen yang ditonton oleh semua orang, oleh anak-anak, isteri dan bos di pejabat. Kalau tayangan seperti ini boleh dirakam oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) atau sesiapa yang meminatinya, adakah mustahil bagi Allah untuk menayangkan apa yang berlaku tempat saudara bekerja itu di padang Mahsyar iaitu di hari Kiamat kelak.

Segala-galanya boleh dinafikan ketika berada di dunia, namun di akhirat kelak, tangan yang menerima rasuah juga memberi rasuah itu akan berkata-kata, yang satu kata dia yang memberi rasuah, yang lagi satu kata dia yang menerima rasuah.

Terlalu menakutkan ancaman atau amaran Allah terhadap mereka yang melakukan rasuah, tidak kira apa jenis rasuahnya. Rasuah untuk menjadi ketua bahagian, ketua cawangan atau apa-apa jawatan yang lebih tinggi. Rasuah yang melibatkan projek perumahan seperti yang berlaku kepada saudara, termasuk rasuah di hutan yang melibatkan balak atau di tepi jalan raya yang melibatkan lesen memandu.

Rasuah termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan. Allah melaknat mereka yang memberi dan menerima rasuah iaitu saudara dan dua orang penguatkuasa itu yang membolehkan amalan rasuah berlaku.

Penerima rasuah tempatnya di neraka. Rasulullah menggambarkan bahawa seringan-ringan seksaan terhadap ahli neraka itu ialah sekiranya batu kecil neraka itu diletakkan di bawah telapak kaki, nescaya otak orang berkenaan akan menggelegak. Amaran itu tidak ditakuti, mungkin orang yang terlibat, termasuk penguatkuasa tadi tidak mempunyai ilmu berkaitan dengan seksaan neraka.

Keduanya, itulah jalan mudah untuk hidup bermewah-mewah. Orang seperti ini lupa bahawa orang yang menyuapkan bahan haram dalam mulutnya, maka api neraka itu adalah lebih sesuai untuknya.

Seorang Islam yang menerima rasuah, yang waras fikirannya dan tahu hukum pastinya tahu dan menyedari keburukan rasuah. Namun, apabila nafsu haloba itu menguasai otak dan tindak-tanduk, hukum-hakam dan pertimbangan akal itu menjadi daif. Perasuah dilaknat Allah. Bererti hidupnya tidak diredai Allah.

Seorang Islam yang menggunakan wang rasuah atau wang haram, apabila sembahyang atau menunaikan haji termasuk umrah, biarpun ibadahnya itu sah, iaitu apabila semua rukun dan syarat dilaksanakan, Allah tidak akan menerima sembahyang atau haji tersebut, kerana itu orang yang seumpama ini biarpun melakukan sembahyang dan haji, ia tetap melakukan dosa dan kemungkaran.

Sekiranya wang yang dikeluarkan itu bercampur-aduk dengan wang halal, maka terdapat padanya syubhah. Manusia tidak berupaya memisah atau mengasingkan antara pendapatan halal dengan pendapatan haram. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Sebaik-baik manusia itu ialah mereka yang mempunyai sifat-sifat warak, zuhud dan takwa. Untuk memperolehi sifat-sifat ini setiap orang mesti menjauhi makanan haram termasuk rezeki yang ada padanya syubhah.

No comments: