SOALAN:Saya selalu mendengar ungkapan yang disandar kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Kefakiran boleh membawa seseorang kepada kekufuran”.
Apa yang dimaksudkan dalam hadis ini? Adakah benar orang yang fakir itu hampir kepada kekufuran? Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Memang benar terhadap hadis Rasulullah SAW yang membawa maksud yang demikian. Hadis Rasulullah dari hadis Hajjaj bin Farafisah dari Yazid al-Ruqashy dari Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir mengundang kekufuran”. (Hadis di atas ada disebut di dalam kitab-kitab berikut: Hilyah al-Awliya’ oleh Abu Nu’aim - Jil:3, m/s: 53, Shu’ab al-Iman, hadis nombor: 6612 oleh al-Bayhaqy, Al-‘Ilal al-Mutanahiyah, hadis nombor: 1346 oleh Ibnu al-Jawzy, Faydh al-Qadir, hadis nombor: 9233 oleh al-Manawy, Tuhfat al-Ahwazy: Jil:7, m/s: 17 oleh al-Mubarakfury (India), hai’f al-Jami’, hadis nombor 4148 oleh al-Albany, Al-‘Ilal al-Mutanahiyah, hadis nombor: 1346 oleh Ibnu al-Jawzy, Faydh al-Qadir, hadis nombor:9233 oleh al-Manawy).
Menurut Ali al-Qary dalam al-Mirqaat: Hadis itu adalah hadis yang sangat lemah. Bagaimanapun kesahihannya bolehlah dikaitkan dengan sifat hati yang miskin yang membawa kepada kebimbangan dan kerisauan (anxiety) yang mana ia seterusnya boleh membawa kepada sifat tidak reda pada takdir Allah dan protes atas (cara) pembahagian rezeki.
Dalam masa yang sama jika kita teliti kepada hadis lain selain hadis di atas, banyak lagi hadis yang membawa makna atau maksud yang hampir sama.
Contohnya hadis yang menyebut bagaimana Rasulullah mengajar seorang sahabat yang bernama Abu Umamah. Riwayatnya di dalam sunan Abu Daud Dari Abu Sai’d al-Khudry: Pada suatu hari, Rasulullah telah memasuki masjid (baginda) dan mendapati seorang lelaki Ansar yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku tak ada nampak pun engkau duduk-duduk di masjid semasa waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Kerisauan dan hutang-hutang memaksaku demikian, Ya Rasulullah.” Rasulullah: “Adakah engkau mahu jika aku ingin mengajarmu kata-kata yang apabila engkau menyebutnya Allah akan membawa pergi kerisauanmu dan melunaskan hutangmu?” Abu Umamah: “Sudah tentu, Ya Rasulullah!” Rasulullah: “Ucapkanlah ketika pagi dan petang: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada kerisauan, kesedihan, rasa lemah-lemah (badan) dan sifat malas, juga daripada sifat penakut dan kedekut, serta dari belenggu hutang dan penganiayaan (perlakuan keras/kasar) manusia terhadapku.” Abu Umamah: Justeru aku telah mengamalkannya, maka Allah telah menghilangkan kerisauanku dan terlunas semua hutang-hutangku.
Merosakkan keyakinan
Dalam riwayat yang lain yang menyebut al-faqr (kefakiran) dengan status yang lebih sahih dan sanad yang kuat ialah hadis doa Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari kefakiran, kekurangan, kehinaan dan dari menzalimi orang lain atau dizalimi oleh orang lain”. (Musnad Ahmad, hadis nombor: 8053; Adab al-Mufrad, al-Bukhary, hadis nombor: 678; Sunan Abu Daud, hadis nombor: 1539, Sunan al-Nasa’iy, hadis nombor: 5460; Sunan Ibnu Majah, hadis nombor: 3842; Ibnu Hibban, hadis nombor 1030; Mustadrak, al-Hakim, hadis nombor: 1983; al-Sunan al-Kubra, al-Baihaqy, hadis nombor: 12929 - isnadnya sahih dan Al-Albany juga mengkategorikannya sebagai hadis sahih dalam Sahih al-Jami’, hadis nombor: 1287).
Persoalannya di sini, adakah benar kefakiran boleh menghumban atau membawa seseorang kepada kefakiran?
Ya, memang ada benarnya kerana maksud kekufuran dalam hadis ini ialah akan berlakunya pertikaian di kalangan manusia yang akan merasakan tidak berpuas hati apabila ada di kalangan mereka yang senang dan ada pula yang susah.
Pertikaian ini boleh merosakkan keyakinan terhadap Allah yang menentu dan menyukat setiap pemberiannya kepada manusia.
Perlu diingat bahawa wujudnya pelbagai peringkat manusia adalah bukti bahawa manusia ini ditadbir dan diatur. Apa yang pasti ialah mereka yang senang perlu menjawab kepada Allah dari mana dia peroleh wang ringgit dan segala kekayaan, kemana pula dibelanjakan.
Mereka yang miskin juga pasti akan dihitung, kenapa tidak berusaha dengan lebih gigih untuk membaiki kualiti hidup, sedang rezeki Allah sentiasa terbentang luas, sedang usaha yang gigih dapat mengubah masa depan dengan Islam tidak meredai penganutnya terus kekal di dalam kemiskinan kefakiran. Ini kerana lama kelamaan ia akan membawa imej yang kurang mengenai Islam dan umatnya.
Segala khazanah dan kekayaan alam Allah SWT jadikan untuk orang Islam, supaya menjadikan kehidupan lebih bermakna di samping mensyukuri nikmat yang tidak terhingga. Malangnya khazanah bumi sudah telah dan sedang menjadi milik orang yang tidak beriman.
Puncanya, umat Islam lebih menumpukan perhatian kepada persoalan fardu ain dan kurang berminat dan persoalan fardu kifayah. Bila dibandingkan antara fardu kifayah dengan fardu ain, mana yang banyak, jawapan fardu kifayah.
Ini kerana fardu ain biasanya lebih kepada hubungan hamba kepada Allah, manakala fardu kifayah lebih lebih kepada keperluan masyarakat, agama dan negara.
Sebenarnya kita mampu keluar dari kepapaan dan kefakiran dengan syarat usaha gigih yang berterusan serta tawakal yang berpanjangan kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment