Like Blog Ini...

Thursday, March 12, 2009

Sedarlah wahai penceroboh tanah wakaf...

Oleh DR. SOHAIMI MOHD. SALLEH

Isu pencerobohan tanah milik kerajaan tidak asing lagi diperkatakan di negara kita. Pencerobohan ini berlaku di mana sahaja, sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Malah turut sama berlaku ke atas tanah-tanah wakaf di bawah amanah Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). 

Kegiatan pencerobohan tanah-tanah wakaf ini berlaku bukan sahaja akibat kemiskinan tetapi mengambil kesempatan di atas kealpaan dan kelalaian pihak yang bertanggungjawab. 

Mereka membina rumah-rumah kediaman terutamanya bagi yang tinggal di bandar-bandar besar atau yang berhampiran. Terdapat juga kes di mana rumah-rumah yang dibina ini disewakan pula kepada orang lain sebagai satu pendapatan kepada individu terbabit. 

Kamus Dewan mendefinisikan menceroboh sebagai "berbuat atau berlaku ceroboh dengan menakluki dan melanggari sesuatu perkara dengan tujuan menganggu." Di dalam fikah Syafi'iyyah dan Hanabilah, ia ditakrifkan sebagai "penguasaan terhadap harta orang lain secara sewenang-wenang atau secara paksa tanpa hak." Perbahasan lanjut boleh didapati dalam kitab-kitab fikah di bawah topik Al-Ghasbu.

Penceroboh

Berdasarkan definisi fikah tadi, ia bersifat lebih umum yang mana tidak hanya merujuk kepada pengambilan harta tetapi juga pengambilan faedah atau manfaat sesuatu benda. 

Dalam konteks ini, ulama fikah Mazhab Hanafi tidak mensyaratkan sesuatu yang diceroboh itu perlu dipindah atau dialihkan daripada penguasaan pemiliknya. Bahkan memadai penguasaan seseorang terhadap benda atau barang itu sudah cukup ia digelar penceroboh. 

Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan batil. (al-Nisa': 25)

Larangan menceroboh harta wakaf ini dikuatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah orang lain tanpa izin pemiliknya, maka Allah akan membebaninya dengan tujuh lapis bumi." (riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Sesuatu harta yang diwakafkan, pada hakikatnya, telah diserahkan kepada Allah SWT untuk dimanfaatkan demi kemaslahatan umat Islam sesuai dengan niat pewakaf. 

Jika mengambil atau menceroboh sejengkal daripada harta individu, sudah diberikan hukuman dengan begitu berat, maka betapa besar dan dahsyat lagi hukuman kepada mereka yang telah menceroboh harta yang diwakaf kepada Allah SWT. 

Malah menghalang sesuatu hartanah wakaf itu dibangunkan atau dimanfaatkan sebagaimana tujuan asal tanah itu diwakafkan. Ini adalah satu tindakan mungkar yang jauh lebih besar daripada seorang Muslim kepada Allah SWT!

Hukum agama menggariskan, seseorang yang menceroboh dengan sengaja sesuatu harta maka mereka menanggung dosa yang amat berat. 

Sekiranya harta yang dicerobohi itu masih utuh fizikalnya, wajiblah dikembalikan dan sekiranya telah susut atau rosak, hendaklah dikenakan ganti rugi. 

Hukum ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan sekali-kali seseorang mengambil harta saudaranya, baik secara sungguh atau secara main-main. Apabila seseorang itu mengambil harta orang lain, sekalipun sebatang tongkat kecil, maka hendaklah ia kembalikan". (riwayat Ibnu Maajah, Baihaqi dan Ibnu Abbas)

Walaupun ulama berbeza pendapat tentang nilai dan cara pengiraan ganti rugi tersebut, semuanya tetap bersepakat bahawa sebarang pencerobohan yang menjejaskan manfaat sesuatu hartanah wakaf, maka hendaklah diambil ganti rugi daripada penceroboh.

Malangnya, senario yang sebaliknya berlaku pada hari ini. 

Terdapat pihak yang telah menduduki tanah wakaf, bukan sahaja tidak bekerjasama untuk mengosongkannya apabila tanah itu perlu dibangunkan, malah membuat tuntutan yang bukan-bukan pula kepada pihak MAIN sebagai pemegang amanah wakaf. 

Apabila memikirkan, status tanah yang diceroboh itu adalah tanah wakaf, insiden ini merupakan satu yang amat mengaibkan dan menjatuhkan maruah kita sebagai umat Islam. 

Apabila kita sendiri tidak menghormati agama kita, maka apa yang dihairankan jika orang lain mula mempersenda-sendakannya?

Sebenarnya, jika pihak penceroboh enggan mematuhi arahan pihak berkuasa, Seksyen 425(1) dan (1A) Kanun Tanah Negara 1965 (KTN 1965) memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang melakukan pencerobohan sebagai yang ditakrifkan oleh KTN 1965 jika disabitkan kesalahannya, boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dipenjarakan maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Senario yang amat dikesalkan ini boleh diatasi apabila pihak yang terlibat masing-masing meletakkan kembali rasa takwa terhadap hak-hak Allah SWT sebagaimana yang terkandung dalam hukum berwakaf. 

Hukum pencerobohan harta wakaf bukan hanya melibatkan hukum mahkamah dunia, malah akan dipanjangkan di hadapan mahkamah Allah Rabbul-Jalil di Mahsyar nanti.

Bagi pihak pemegang amanah dan pengurus wakaf, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) telah menyediakan Manual Pengurusan Tanah Wakaf dan Manual Pengurusan Model Perundangan Wakaf sebagai panduan dalam menghadapi dan menyelesaikan kekusutan yang timbul akibat daripada pencerobohan ke atas tanah-tanah wakaf ini.

Panduan di dalam kedua-dua manual tersebut mampu menyediakan pelan tindakan yang tepat bagi menatijahkan penyelesaiannya.

Tersasul menceroboh

Kepada pihak yang telah tersasul menceroboh tanah wakaf ini, mereka perlulah sedar tentang hak dan kehormatan tanah wakaf di sisi agama. Tanah wakaf bukanlah tanah sembarangan yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ia adalah amanah yang diserahkan kembali haknya kepada Allah SWT untuk kemanfaatan ummah. 

Pewakaf mewakafkan tanah tersebut dengan harapan yang besar bagi mendapatkan ganjaran pahala sedekah jariah. Pahala sedekah ini akan diperoleh apabila tanah itu dapat dimanfaatkan sebagaimana yang diniatkan oleh pewakaf. 

Sekiranya pencerobohan yang dilakukan itu telah menghalang pelaksanaan tujuan sesuatu pewakafan, secara tidak langsung juga telah menghalang kemajuan sosio-ekonomi ummah. Bayangkanlah betapa besar kezaliman yang telah dilakukan. 

Apa yang pasti, segala amalan penceroboh tersebut sentiasa tidak diberkati oleh Allah SWT. Bayangkanlah walaupun sudah berpuluh tahun beribadat serta memohon keberkatan Allah namun kemakbulan doa para penceroboh tidak sepenuhnya diterima oleh-Nya. 

Sebabnya, disedari atau sengaja tidak mahu sedar, mereka telah melakukan kezaliman terhadap Allah dan ummah sebenarnya.

Hakikatnya, perbuatan ini adalah amat bertentangan dengan kefahaman dan amalan generasi para Salafus-soleh. 

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan satu kisah yang patut kita renungi dan contohi. Anas r.a menceritakan ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda telah bertanya, "Wahai anak-anak kaum Najjar, beritahu kepada ku berapa harga kawasan tanah kamu ini?" Lalu jawab mereka, "Tidak! Kami tidak akan menuntut harganya melainkan daripada Allah SWT!" 

Riwayat ini menjelaskan bagaimana pemilik tanah yang telah diberikan tawaran oleh Rasulullah SAW untuk dibayar tanah mereka, telah menolak tawaran tersebut.

Malah mewakafkan pula tanah itu semata-mata kerana Allah. Ini kerana mereka tahu, pahala bersedekah jariah (wakaf) berterusan hingga Kiamat. 

Sepatutnya, semangat yang sebeginilah yang perlu menghiasi diri umat Islam hari ini, bukan sebaliknya. 

Sesetengah penceroboh, sudahlah mereka menjadi penghalang sesuatu tanah wakaf itu dibangunkan, malah cuba pula mengaut keuntungan peribadi daripadanya. 

Mereka seharusnya menginsafi keadaan ini dan perlu memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak yang bertanggungjawab agar tujuan sebenar sesuatu tanah itu diwakafkan dapat disempurnakan. 

- Dr. Sohaimi Mohd. Salleh ialah Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (Jawhar).
E-mel: drsohaimi@jawhar.jpm.my">

No comments: