Like Blog Ini...

Thursday, March 12, 2009

Cukupkah sumbangan kita pada agama?

Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah 

Pada tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun, kita meraikan hari kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, insan yang membawa rahmat pada sekelian alam. 

Baginda yang diangkat menjadi rasul pada usia 40 tahun mempunyai budi pekerti yang mulia lagi terpuji sehingga diberikan gelaran al-amin oleh penduduk Quraisy Mekah sebelum baginda menjadi nabi.

Allah menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu sebagai contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21).

Semalam, sekali lagi kita menyambut Maulidur Rasul. Persoalannya, adakah ia sekadar upacara atau ceremonial atau ia benar-benar dihayati oleh umat Islam di negara kita.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HARUN OSMAN menemu bual pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah bagi mengupas isu ini.


SABAN tahun kita menyambut Maulidur Rasul namun tidak semua kita mengambil iktibar daripada sirah Nabi SAW. Kenapa berlaku demikian?

ABDUL HALIM: Dalam fenomena zaman ini, semua pembelajaran tidak kira dalam bidang apa pun, hanya menjadi cara untuk dapat kredit dalam ujian. Atau lulus dalam peperiksaan tertentu untuk dapat pencapaian hidup yang selayaknya.

Oleh itu, tujuan sebenar pendidikan sudah lari. Sepatutnya pendidikan itu tujuan utamanya membentuk keperibadian tetapi yang berlaku ialah nak mencapai satu daripada aspek pendidikan iaitu menguasai sejumlah ilmu.

Ibnu Khaldun berkata, tujuan pendidikan Islam ialah mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Namun, kini yang dipentingkan cuma kebahagiaan di dunia. Ini hanyalah satu aspek sahaja iaitu material sedangkan cukupnya material itu tidak menjamin kesejahteraan manusia jika tidak diiringi dengan aspek spiritual.

Sejarah kebanyakannya hanya untuk menguasai atau lulus dalam peperiksaan. Walhal, mempelajari sejarah itu tujuannya supaya kita mencontohi perkara yang baik dan menjauhi yang buruk. 

Dalam sirah Rasulullah SAW misalnya, semuanya adalah baik dan patut kita contohi.

Kedatangan baginda adalah membawa rahmat kepada sekelian alam. Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Allah mengutus Nabi Muhamad SAW sebagai Rasul Allah bertujuan membawa rahmat kepada sekelian alam. (al-Anbiya': 107) 

Rasulullah itu adalah contoh teladan terbaik dalam semua segi. Namun, yang banyak dicontohi hanyalah bab poligami. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

ABDUL HALIM: Sememangnya akhlak Rasulullah SAW adalah yang sangat mulia. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia. (al-Qalam: 4)

Malangnya, umat Islam sekarang mahu mengambil dari Islam itu benda-benda yang enak-enak sahaja. Terutamanya dalam hidup di dunia yang sementara ini. 

Menyebabkan umat Islam melupakan untuk melakukan sesuatu yang akan membawa kebaikan dunia dan akhirat. 

Contohnya, kesabaran Nabi SAW dalam berdakwah. Pada masa kini, dakwah pun menjadi perkara yang profesional dan kadang-kadang komersial. Rentetan itu, berlaku sesetengah pendakwah memilih-milih tempat- yang 'basah' dan yang 'kering'. Sedangkan dakwah itu kerja semua orang.

Sebenarnya, bagi orang yang faham, apabila diundang berdakwah sepatutnya mereka pergi walau ke ceruk mana sekalipun. Sebabnya, kalau dibandingkan dakwah pada zaman Nabi dengan sekarang, amat jauh bezanya.

Dakwah zaman sekarang lebih enak. Nabi SAW dulu dilempar batu, diugut bunuh dan ada cubaan membinasakan baginda tetapi kita sekarang apabila datang berdakwah diberi sambutan, makan dan kadang-kadang diberi hadiah ongkos.

Memang benar, keperluan zaman sekarang berbeza dari dulu. Tetapi gerakan dakwah hendaklah digiatkan dan sebaik-baiknya tumpukan lokasi dakwah di tempat-tempat yang lebih mencabar.

Dalam berdakwah, Nabi SAW memberi tumpuan kepada keluarga dahulu sebelum masyarakat. Hari ini, ada di antara kita utamakan orang lain daripada kaum keluarga. Adakah tindakan ini tepat?

ABDUL HALIM: Bagi setiap Muslim, ditentukan oleh Allah supaya berusaha menyelamatkan diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu. Ini termasuklah dalam berdakwah.

Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka...(at-Tahrim: 6)

Bagaimanapun, adalah menjadi kewajipan bagi orang yang alim untuk berdakwah kepada masyarakat. Ini adalah fardu kifayah. Ia sesuai dengan kebolehan dan kemampuan mereka untuk memenuhi keperluan dakwah kepada keluarga dan masyarakat.

Adapun bagi orang biasa, mereka perlu utamakan keluarga kemudian barulah kepada lingkungan masyarakat. Ini sesuai dengan kemampuan mereka.

Namun, keluar ke tempat yang jauh untuk berdakwah itu sebenarnya bukan tuntutan ke atas diri mereka. Cuma hal yang demikian dianggap sebagai suatu pencarian untuk dapat pengalaman dakwah. Terutama dalam diri untuk diterapkan kepada keluarga dan masyarakat sekeliling.

Islam benarkan umatnya berperang untuk mempertahankan diri. Namun, keadaan sekarang kita bukan sahaja tidak mampu berperang namun untuk 'perang' memboikot barang Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) pun kita tidak sekata. Apa puncanya?

ABDUL HALIM: Dalam hal perang, perlu diingatkan umat Islam perlu menyelamatkan agama daripada penindasan orang bukan Islam. Tetapi dalam keadaan umat Islam itu lemah, ulama mengatakan adalah haram bagi orang Islam memulakan perang terhadap kuasa-kuasa kafir.

Namun, apabila mereka ditindas dan diperangi, maka wajib mereka mempertahankan diri dengan cara yang termampu bagi menyelamatkan akidah dan bangsa.

Satu cara yang dicadangkan kini untuk perangi musuh Islam ialah memboikot barang keluaran Israel dan AS. Dengan jumlah umat Islam sekitar 1.6 bilion kalau bersatu memulaukan, pasti mereka akan hadapi masalah dari sudut ekonomi. Apabila ini berlaku, sudah pasti diikuti masalah lain sama ada pertahanan atau politik.

Contohnya, kejatuhan Soviet Union adalah disebabkan kemelesetan ekonomi. 

Oleh itu, patutlah umat Islam berusaha dan gunakan produk mereka selain cari alternatif guna produk lain. Namun, dalam keadaan umat Islam sekarang yang imannya lemah, semangat jihad pun kurang, malah bagi sesetengah kita tidak ada pun semangat jihad.

Mereka rasa tidak mampu untuk tinggalkan produk-produk yang dipasarkan oleh musuh Islam. Barangkali ramai juga di antara kita yang keberatan untuk tukar makan ayam goreng yang biasa dimakan dengan ayam goreng tempatan. Walaupun kadang-kadang yang tempatan itu lebih enak dan terjamin kesihatan.

Ini boleh masuk bab lain seperti telefon bimbit, pakaian, buah-buahan dan sebagainya.

Kalau inilah semangat umat Islam, barangkali kita tidak akan jadi faktor penentu dalam dunia sekarang. Nampaknya, apa yang digambarkan oleh hadis Nabi SAW itu semakin jelas.

Sabda Nabi antara lainnya bermaksud, di suatu ketika umat Islam akan jadi lemah laksana buih sahaja. Bukan mereka yang menentukan arus tetapi terapung-apung di pinggir arus. 

Semua itu bukan kerana populasi kita sikit tetapi mereka dihidapi penyakit al-wahnu iaitu kasihkan dunia dan takutkan mati.

Masalah umat Islam adalah memilih antara hendak dengan tidak. Contohnya, tidak makan ayam goreng import tadi adakah ia menganggu hidup, menjejaskan nyawa dan kesihatan kita. Sudah pasti jawapannya tidak. Cuma, nafsu kita yang terganggu kerana sudah terbiasa menikmati makanan tersebut.

Bagaimanapun, dalam Islam yang penting ialah apa yang dapat kita sumbangkan untuk agama. Bukannya hasil yang diperolehi kerana itu adalah urusan Allah.

Dalam surah al-Azhab ayat 40, disebutkan bahawa Nabi SAW adalah rasul terakhir. Namun, ada sahaja yang mengaku menjadi nabi. Soalnya, kenapa masih ada umat Islam yang terpedaya?

ABDUL HALIM: Memang asas dalam Islam telah menyatakan bahawa Nabi Muhammad itu adalah penutup bagi rasul. Demikian juga hadis-hadis baginda SAW. Sebabnya, sudah diramal akan timbul orang yang mengaku jadi nabi.

Barangkali orang itu akan perolehi kemegahan, kemewahan dan berbangga mempunyai pengikut yang banyak. Ini termasuklah benda lain yang boleh bagi nikmat dalam hidup. 

Dari sudut pengikut, sebenarnya apabila ada seorang pelopor sama ada yang menaja kebaikan atau keburukan, pasti pemimpin berkenaan ada pengikut. Apa lagi kalau disertai dengan kemewahan dan kenikmatan yang boleh menyuburkan nafsu syahwat. 

Hal ini bukan baru. Pada zaman khalifah Abu Bakar pun sudah wujud orang yang mengaku nabi iaitu Musailamatul Kazab.

1 comment:

nama2bunga said...

al-Fatihah..Prof. Halim telah kembali ke rahmatullah pada subuh 17 Ogos 2009 di rumahnya, Kg. Melayu Sri Kundang, Sungai Buloh..