Oleh: Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi
Muzakarah terbukti memberi kebaikan. Terutama apabila ia dilakukan secara ikhlas mencari keberkatan Yang Maha Esa.
Dalam berdakwah pula, muzakarah adalah antara instrumen penting memperkayakan lagi metod melaksanakan tugas menyebar agama Islam yang Maha Suci ini.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengadakan Program Jalinan Mesra Saudara Muslim Profesional di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Program setengah hari itu berjaya menghimpunkan 40 ahli profesional terdiri daripada pengarah urusan dan golongan muslim korporat.
Ia dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.
Program Jalinan Mesra ini diadakan untuk mengeratkan silaturahim di antara saudara Muslim profesional bersama Ahli Kehormat dan pengurusan Perkim.
Ia juga untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai Islam dan juga perkembangan isu-isu semasa di Malaysia.
Ternyata, program ini juga dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat melalui penglibatan mereka di dalam aktiviti-aktiviti dakwah, pendidikan dan kebajikan Perkim.
Dalam masa yang sama, ia bagi melahirkan saudara muslim yang berilmu pengetahuan dan memahami Islam dengan lebih mendalam.
Melalui program ini juga, ia dapat melahirkan kumpulan intelek yang boleh membantu merealisasikan matlamat, misi dan visi Perkim di dalam melahirkan masyarakat yang bertakwa.
Usaha begini sekali gus membuktikan mereka tidak terpinggir selepas memeluk Islam dan Perkim juga tidak akan kehilangan golongan seperti ini.
Pada majlis yang sama beberapa muslim profesional luar negara berkongsi pengalaman bergelar Muslim. Mereka ialah Syukri Abdullah dari Jepun dan Mariam Hans dari Jerman.
Turut diutarakan adalah cadangan-cadangan berkaitan dengan Islam dan menjadi sukarelawan membantu saudara Muslim sama ada dalam bentuk kewangan dan ilmu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Dakwah, Abdul Hanif Harun dan Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Yusof Othman.
No comments:
Post a Comment