Like Blog Ini...

Monday, March 30, 2009

Tingkatkan kualiti umat Islam

OLEH SITI AINIZA KAMSARI

ISLam dikatakan semakin berkembang di Eropah terutama selepas insiden serangan Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 11 September 2001. 



Bukan mudah untuk kita membicarakan mengenai perkembangan Islam di benua Eropah. Ini kerana mereka yang menganggotai Kesatuan Eropah (EU) yang ditubuhkan sejak tahun 1957, sudah mencakupi 27 negara setakat ini. 

Jadi untuk membicarakan perkembangan Islam di benua itu bermakna kita perlu menyelusuri perkembangan Islam di hampir setiap 27 negara itu. Adakah masih diselimuti segala macam diskriminasi, eksploitasi, prejudis sebagai harga yang mesti dibayar kerana menjadi golongan atau komuniti yang minoriti di setiap negara tersebut?

Tidak lebih ada yang mengatakan jika terdapat perkembangan yang progresif sama ada dari kuantiti dan taraf kehidupan, Islam di benua Eropah merupakan agama yang dianuti hanya oleh kaum-kaum pendatang terutama dari Turki, Asia Barat, Afrika Utara dan sehinggalah dari Asia Tenggara. 

Jadi, tidak ada signifikannya perkembangan Islam berbanding jika Islam itu semakin tersebar luas di kalangan penduduk pribumi atau etnik Eropah, terdiri daripada kalangan warga kulit putih dan mereka telah mempunyai pegangan agama sebelum ini, terutamanya Kristian dan Yahudi.

Namun tidak kurang yang menyifatkan bahawa Islam kini mulai menguasai Eropah tetapi kenyataan tersebut dibuat dengan begitu prejudis, berat sebelah dan sekali lagi, fitna atau fitnah! Sebagaimana filem pendek Fitna oleh Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang menimbulkan kemarahan umat Islam, tahun lalu.

Ada pihak yang cuba mengajar bahawa Islam secara tradisi menetapkan dua kategori negara yang didiami oleh umat itu. 

Pertama, Darul Islam, iaitu yang diperintah oleh pemerintah dan pemerintahan secara Islam. Kedua, Darul Harb atau Negara Perang yang memerlukan setiap umat Islam yang mendiami negara yang diperintah oleh bukan Islam atau kafir ini mesti melancarkan jihad! Iaitu perangi semua yang bukan Islam sehinggalah seluruh dunia memeluk Islam bagi membolehkan kerajaan Islam dapat dijalankan. 

Adakah itu situasi yang berlaku di Eropah masa kini, ketika dikatakan mereka yang ke masjid untuk solat Jumaat jauh melimpah ruah berbanding umat Kristian yang mengunjungi gereja setiap pagi Ahad? Ini belum lagi dikira dengan populasi yang semakin ramai terdiri daripada para pendatang Islam di kebanyakan negara Eropah itu. 

Felo Kanan Penyelidik Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia, Dr. Christoph Marcinkowski tidak menafikan pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap umat Islam dan Islam di Eropah.

Namun dalam banyak keadaan umat Islam itu sendiri perlu melakukan perubahan untuk membolehkan Islam diterima di benua itu.

Katanya, dalam kes di Jerman, sebahagian daripada masyarakat berbilang bangsa yang mendiami negara itu adalah umat Islam. 

Namun didapati sebahagian besar mereka masih mengamalkan cara hidup yang tertutup dan terpisah dari orang lain.

"Ini terutamanya apabila mereka sehingga kini tidak fasih berbahasa Jerman walaupun sudah sekian lama menetap di negara itu. Di samping masih tebal mengamal dan mempertahankan budaya asal mereka yang lebih lebih merupakan budaya bangsa berbanding budaya yang bercorak atau bersendikan Islam.

"Ini menyebabkan kita mendengar masih berlakunya kejadian tragis pembunuhan terhormat (honour killing), iaitu sanggup membunuh ahli keluarga sendiri terutama kalangan saudara perempuan semata-mata kononnya untuk mempertahankan maruah keluarga dan agama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan awam bertajuk Islam Dalam Kontemporari Eropah: Cabaran Trend Masa Kini dan Masa Hadapan di IAIS, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. 

Walaupun para pendatang ini mahu mengekalkan adat dan budaya mereka namun mereka mesti berubah dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. 

Ini bagi membolehkan pendatang dan penduduk tempatan mengenali satu sama lain dengan baik dan dapat hidup bersama. 

"Saya setuju sebagaimana yang diungkap oleh intelek Islam terkemuka, Tariq Said Ramadan yang percaya bahawa Islam di Eropah telah menciptakan satu fenomena baru, iaitu European Islam yang penekanan akan diberi terhadap sumbangan mereka kepada keperluan masyarakat Eropah.

"Jadi pendatang Islam ini perlu membariskan diri mereka umpama kedai-kedai yang bukan sahaja menjadi tarikan untuk orang ramai masuk dan singgah tetapi mereka memperolehi pelbagai 'produk' Islam yang menarik yang boleh ditawarkan oleh pendatang Islam itu tadi," jelasnya.

Marcinkowski tidak menafikan kebanyakan pendatang Islam itu berhijrah untuk tujuan peningkatan ekonomi keluarga dan mereka menyimpan hasrat untuk pulang ke negara asal masing-masing. Ini menyebabkan mereka mahu mengekalkan status kerakyatan mereka.

"Namun mereka mesti hidup dalam realiti untuk sama-sama memberi sumbangan terhadap negara baru yang mereka diami. Jika sekurang-kurangnya dengan menukarkan pasport akan memberi banyak kelebihan kepada mereka, adalah penting kepada warga Islam di Eropah bagi menjayakan integrasi antarabangsa," katanya. 

Marcinkowski dilahirkan di Berlin pada 1964 dari keluarga yang kuat menganut Kristian iaitu aliran German-Polish Catholic. Seorang ahli akademik terkemuka yang banyak mengupas dan mendalami dunia Islam sehingga membolehkan beliau mendapat pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa. 

Antaranya, anugerah Fellowship untuk Pengajian Iran oleh Universiti Columbia, Pengajian Antarabangsa Fakulti S. Rajaratnam (RSIS) dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura (NTU), dari Institut Penyelidikan Asia (ARI) dari Universiti National Singapura (NUS).

Dr. Marcinkowski turut mengukir kejayaan yang cukup bermakna apabila dianugerah Best Research on Iranian Culture Award Untuk Tahun 1379/2000 (Hadiah Pertama untuk Kategori Antarabangsa) setelah menghasilkan disertasi Doktor Falsafah (Ph.D) bertajuk Mirza Rafi'a's Dastur al-Muluk.

Beliau juga seorang yang banyak menulis buku, iaitu sembilan buah dan lebih dari 100 rencana pelbagai topik terutama yang menyentuh Islam, politik, sejarah kebudayaan dan isu-isu kontemporari serta strategik. 

Ia meliputi falsafah Islam, pengajian Iran, krisis kontemporari krisis Iraq, sejarah Imam dan 12 Imam Syiah, kebudayaan dan bahasa Parsi dan sejarah Asia Tenggara. 

Sebenarnya, Malaysia bukan asing bagi Dr. Marcinkowski kerana sejak 1995 beliau menjadikan negara ini rumah kedua dengan mengikuti pengajian dan tenaga akademik di beberapa pusat pengajian tinggi terkemuka negara. 

Beliau adalah anak didik cendekiawan terkemuka negara, Allahyarham Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika mengikuti pengajian Ph.D di Institut Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac). Kemudian menjadi tenaga pengajar utama di Istac sehingga 2005, sebelum kembali semula ke tempat asalnya, Berlin dan menjadi pensyarah dan penulis bebas di sana. Beliau juga adalah Pensyarah Pelawat dan Penasihat kepada Muzium Kesenian Islam Malaysia .

Selain bahasa Jerman, Dr. Marcinkowski juga fasih berbahasa Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol dan Parsi. Beliau berpengetahuan luas dalam Klasik Arab, Turki Ottoman dan Moden, Latin, Klasik Greek, Poland, Bahasa Indonesia, Bahasa Melayu dan Thai.

Antara pengalaman lucu yang diselitkan semasa menyampaikan syarahan ini, Dr Marcinkowski menceritakan mengenai pergaduhan kecil dengan polis-polis Arab yang mengawal keselamatan para jemaah yang melakukan ibadat terutama tawaf di Kaabah. 

"Mereka bertanya saya apa tujuan saya berada di sisi Kaabah apabila melihatkan saya yang tidak ubahnya seperti warga kulit putih lain yang lazimnya beragama Kristian atau Yahudi.

"Saya agak marah, tentu sekali saya berada di sana untuk melakukan tawaf, rukun haji sebagaimana para jemaah yang lain," katanya. 

Menurut beliau, atas sikap terbuka pemerintah dan pentadbir di kebanyakan negara Eropah telah menyediakan pelbagai kemudahan dan polisi bagi membolehkan minoriti Islam menjalani kehidupan dengan baik.

Katanya, pengaruh-pengaruh politik yang dibawa dari negara-negara asal pendatang turut menyebabkan wujud suasana tidak tenteram dan berpuak-puak di negara yang mereka diami kini.

Secara keseluruhannya, Islam mewarnai lagi kepelbagaian di Eropah, benua yang tidak kurang menjadi lubuk sentimen Islamfobia. Ia dihangatkan dengan rentetan cubaan serangan yang dituduh sebahagian siri-siri keganasan yang didalangi oleh ekstremis Islam. 

Seperti yang diharapkan oleh pengerusi majlis merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IAIS Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali, umat Islam perlu bersikap terbuka dan bersedia melakukan pelbagai perubahan yang lebih positif bagi diterima oleh masyarakat antarabangsa. 

Katanya, sikap itu bukan pula bermakna umat Islam menerima bulat-bulat budaya Barat.

"Namun kesediaan itu adalah untuk hidup bersama dan memberi sumbangan terhadap negara baru yang didiami di samping menampilkan kehidupan yang mampu menarik dan memberi perspektif yang lebih positif mengenai Islam," katanya.

No comments: