Like Blog Ini...

Saturday, March 7, 2009

Jadi mufti berkat doa bapa

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu."Demikian antara ungkapan yang boleh disimpulkan apabila membicarakan berkaitan tokoh ilmuwan Islam negara iaitu Datuk Seri Harussani Zakaria, 70.

Anak kelahiran Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430 ini pada asalnya hanya bercita-cita menjadi seorang kerani.

Bagaimanapun, suatu ketika dahulu ketika bersembang sambil makan malam di bawah lampu minyak tanah antara tiga beranak iaitu pasangan Zakaria Othman dan Zainab Jalaluddin bersama anak tunggal lelaki mereka, Harussani mengubah catatan hidup beliau.
"Pada masa itu, emak bertanya, Mat nak kerja apa esok (bila dewasa nanti). Saya jawab kerani kot. Tetapi ayah kata, dak.. dia nak jadi mufti.

"Barangkali berkat doa itu, alhamdulillah dikabulkan Allah dan saya kini menjadi mufti," katanya tersenyum mengimbas kembali kisah lampau kira-kira 60 tahun lalu.
Namun, ajal maut itu di tangan tuhan. Bapa dan ibu Harussani dipanggil mengadap Ilahi sebelum beliau dilantik sebagai Mufti Perak pada 1985. Bapanya meninggal pada 1981 dan bonda tercinta pula menyusul dua tahun kemudian.

Mengenang kembali bapanya yang bertugas sebagai imam dan guru agama, Harussani menyatakan Zakaria sangat tegas dalam mendidik anak-anak mengenai hal ehwal agama.
"Saya masih ingat, semasa saya di sekolah Inggeris, saya balik lewat waktu Maghrib. Bapa kurung saya dalam reban ayam.

"Katanya berkias, ayam pun pandai balik reban," jelas Harussani yang ketika itu berusia 16 tahun.

Ketegasan itulah yang terpancar pada Harussani. Barangkali inilah yang disebut oleh pepatah Melayu, "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi."
Seperti yang kita sedia maklum, beliau adalah antara Mufti yang sentiasa keras dan lantang mengeluarkan hujah dalam bab berkaitan Islam. Ini menyebabkan beliau sentiasa 'panas' dan tidak lekang daripada kontroversi.

Malah, dalam isu terbaru berkaitan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian, Harussani dengan tegas berkata: "Mengapa hendak bertolak-ansur sangat dalam hal ini? Kalau ikut enakmen Jabatan Agama Islam Negeri pun memang tidak dibenarkan."

Di sebalik ketegasannya itu, Harussani juga bersifat penyayang dan periang. Ini dapat dilihat apabila beliau 'mengusik' cucunya yang datang ke rumah bersarapan tanpa mengucap salam.
"Belum bagi salam dah nak makan?," katanya. Teguran itu menyebabkan cucunya mengucap salam serta mencium datuknya sambil tersenyum mencapai bungkusan nasi lemak.
Harussani berkata, walaupun allahyarham bapanya sangat tegas tetapi beliau tidak pernah memaksanya memasuki sekolah agama.

Pendidikan awal beliau ialah di Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar. Disebabkan kepintarannya, beliau kemudiannya melompat kelas ke tingkatan satu di Anglo Chinese School.

Aktif bola sepak
Semasa di sekolah aliran Inggeris ini, beliau aktif dalam sukan terutama bola sepak. Posisi kegemarannya ialah sayap kiri. Di sekolah ini juga, beliau mengasah bakatnya dalam dunia perbahasan terutama dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, beliau meminati kesusasteraan Inggeris, sains dan matematik. Ini menyebabkan guru-guru Cina dan India berusaha memujuknya kekal di sekolah tersebut apabila memutuskan untuk bertukar aliran.

Semasa di tingkatan tiga, Harussani membuat keputusan belajar di sekolah agama lalu memohon memasuki Sekolah Idrisiah di Kuala Kangsar mulai tahun 1956 hingga 1959.

Menyedari ketinggalan dalam pengajian agama, beliau terpaksa melupakan aktiviti sukan. Sebaliknya memberi tumpuan kepada pembelajaran di dalam kelas.

"Saya dah 'tua' bila masuk sekolah agama. Jadi, cara untuk catch up dengan rakan yang lain ialah dengan menghafal semua mata pelajaran," jelas bekas Ketua Penuntut Idrisiah ini.
Sepanjang menuntut di Idrisiah, Harussani juga tidak dapat melupakan peristiwa bagaimana beliau 'tertipu' dengan ajakan kawan-kawan.

"Masa itu banjir besar. Kawan-kawan pun kata jom menyeberang Sungai Perak. Jadi saya pun terjun. Rupa-rupanya saya seorang yang terjun.

"Yang lain semua dok perhatikan saya. Nak berpatah balik tak boleh sebab air deras. Apabila tiba di tengah tiba-tiba nampak macam ombak besar. Saya ingatkan buaya. Saya pun menggeletar, ingatkan dah mati.

"Rupa-rupanya ada pulau di situ dan saya dapat bergayut pada batang-batang kayu. Akhirnya berjaya menyeberang balik.

"Lepas tu depa (mereka) sorakkan saya. Insiden itu menyebabkan sampai sekarang saya takut pada air. Kalau tak ada orang di pantai, saya tak akan turun mandi," katanya.
Harussani kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya di Kelang, Selangor pada tahun 1960 hingga 1964.

Di sini, bakat kepimpinannya makin terserlah. Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Pelajar Islam dan Pengerusi Dakwah Persatuan Penuntut Islam Semalaysia.
Semasa menjadi Pengerusi Sesi Pendidikan, boleh dikatakan setiap minggu Harussani menganjurkan seminar. Ia bertujuan mengupas semula apa yang diajar oleh guru agar mudah difahami oleh para pelajar.

"Tabiat saya semasa belajar ialah suka menyoal. Sebab utama ialah nak memantapkan penguasaan bahasa Arab. Jadi apabila ada diskusi kumpulan, kita dapat banyak pendapat daripada pelbagai orang.

"Pada akhirnya, barulah saya simpulkan hasil perbincangan tersebut," tambah beliau.
Harussani memulakan kerjaya sebagai penjawat awam di Cawangan Khas Kementerian Dalam Negeri mulai tahun 1964 hingga 1967.

Semasa bertugas di situ, beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam ijazah undang-undang di Universiti London. Malangnya disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, beliau tidak mendapat biasiswa. Sekali gus terpaksa melupakan hasrat tersebut.
"Dulu masa mula kerja, gaji saya RM330 sebulan. Yang buat saya geram sungguh apabila bertanyakan gaji kawan-kawan yang jadi peguam.

"Kata mereka, oh.. very little about RM1,000 a month. Saya kata, sombong betul dia ni.
"Tetapi sekarang, alhamdulillah. Saya pun tidak sangka pegang jawatan sekarang. Gajinya alhamdulillah setaraf exco kerajaan negeri," kata beliau.

Resipi mendidik anak
Ditanya resipi mendidik anak, Harussani berkata, setiap ibu bapa perlu memberi pendidikan yang seimbang kerana anak-anak adalah amanah Allah.
"Kita mesti membangunkan jasmani dan rohani. Jasmani dibangunkan melalui makanan yang halal dan baik. Rohani pula diberikan pelajaran agama untuk mereka hidup di dunia ini," jelasnya.

Beliau menekankan pentingnya melatih anak solat berjemaah dan jika ada kesempatan memberi tazkirah tentang perhubungan silaturrahim sesama insan. Jangan sombong kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Harussani turut memberi pendidikan sekolah agama kepada semua lima anaknya. Bagaimanapun, empat daripada mereka berjaya dalam bidang masing-masing termasuk yang bertugas sebagai doktor pakar, pegawai tadbir dan diplomatik, jurutera dan terlibat dalam kerja elektrikal.

Menurut Harussani, anak bongsunya mengikut jejak beliau dan menuntut di Universiti Al-Azhar tetapi meninggal dalam kemalangan jalan raya di sana.
"Allahyarham cukup warak dan lebih tegas daripada saya. Barangkali sebab itu Allah ambil dia terlebih dahulu.

"Malah, dia pernah berkata, dalam keadaan saya begini pun masih kurang tegas. Tetapi saya percaya kepada hikmah.
"Sebabnya, kadang-kadang yang lembut itu pada pendengaran kita sahaja tetapi kepada orang yang terkena mereka terasa sakit," tambah beliau.

Kini, dalam usia 70 tahun, Harussani masih gagah menjalankan tugas dakwah. Malah, tugasnya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks dan Perlesenan al-Quran serta Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-bahan Terbitan Islam Malaysia menjadikan beliau dan Kuala Lumpur begitu 'dekat.'

Ini tidak termasuk kepakaran beliau yang sentiasa menjadi rujukan bukan sahaja dalam bab fikah tetapi juga hal-hal muamalat dan munakahat.

Pernah diludah
"Prinsip saya ialah bekerja bersungguh-sungguh. Memang cabarannya berat. Masa jadi Kadi di Pulau Pinang dulu, orang pernah meludah pada saya. Akhirnya orang itu datang minta maaf.
"Tetapi alhamdulillah, saya cukup puas hati dengan tugas saya di Pejabat Agama Pulau Pinang sehingga masyarakat menghormati jabatan.

"Malah, kebanyakan kes saya dijadikan rujukan di universiti," katanya lagi.
Keikhlasan beliau menjalankan amanah terbukti melalui ucapannya selepas diumumkan Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini.

"Terima kasih atas pengurniaan yang diberikan. Ternyata pendapat dan pandangan yang disuarakan selama ini dihargai dan sudah tentu anugerah itu akan dijadikan penguat semangat untuknya meneruskan perjuangan yang masih jauh dan belum selesai.
"Saya hanya menyatakan yang benar kerana saya takut sekali kalau menyatakan perkara yang tidak benar dan jika sesuatu perkara itu salah, saya akan kata ia salah.

"Tidak kira dengan siapa pun saya berdepan, walaupun terpaksa menerima kecaman kerana itu adalah tugas dan tanggungjawab saya," tegas Harussani.

No comments: