DAN jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui.
(al- Anfal: 61)
HURAIAN
Islam adalah agama perdamaian dan kesejahteraan. Umat Islam diseru supaya bersatu dan hidup dengan aman tanpa membezakan darjat, warna kulit serta keturunan. Mereka juga digesa menjalinkan hubungan baik dengan bukan Islam lain demi menjaga kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Walau bagaimanapun, ada ketikanya peperangan tidak dapat dielakkan. Apabila keadaan terdesak akibat diserang oleh pihak musuh maka umat Islam perlu berjuang di medan perang demi mempertahankan maruah agama bangsa dan negara.
Tetapi, sekiranya pihak musuh mengalah dan mahukan perdamaian, maka Islam menganjurkan supaya kita mengambil salam perdamaian itu. Permusuhan berpanjangan hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak.
Begitu juga peperangan serta pertumpahan darah yang berlaku hanya mendatangkan kemusnahan kepada manusia. Oleh itu, perdamaian adalah jalan terbaik. Seseorang Islam yang baik bukanlah setakat melakukan kebaikan untuk dirinya sahaja, tetapi juga berusaha memperbaiki keadaan orang lain.
Justeru perdamaian dengan musuh akan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya. Selebihnya, kita hendaklah menyerahkan ketentuan kepada Allah SWT dengan berdoa dan bertawakal kepada-Nya.
KESIMPULAN
Perselisihan dan pertelingkahan antara dua belah pihak yang bermusuhan boleh membawa ke kancah peperangan. Sekiranya peperangan berlaku, kemudian pihak musuh minta untuk berdamai dengan menghentikan peperangan, kita hendaklah menyambutnya dengan baik, kerana Islam menggalakkan perdamaian dan kesejahteraan sejagat.
l Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
1 comment:
Salam, kalau post dlm blog ni sy copy n translate dlm english n put in my blog , boleh kah?
Post a Comment