Oleh ZUARIDA MOHYIN
BETAPA indahnya kehidupan manusia dan alam ini dengan setiap daripadanya dijadikan berpasang-pasangan. Siang lawannya malam, lautan lawannya daratan, sedih lawannya gembira, suka lawannya duka, begitu juga lelaki lawannya perempuan.
Pastinya, kehidupan ini akan menjadi bosan dan sukar membayang jika sekiranya, sesuatu itu tidak ada pasangan masing-masing. Apatah lagi dalam fitrah kehidupan manusia yang saling memerlukan di antara lelaki dengan perempuan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Rum:21)
Kejadian berpasangan ini selain sebagai bukti nyata keindahan dunia, juga sebagai saluran untuk meneruskan keturunan manusia.
Firman Allah SWT bermaksud: Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua daripada jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan... (an-Nisa':1).
Semua ini adalah rahmat Allah SWT kepada makhluk bernama manusia.
Lantaran itu, setiap manusia itu mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza dalam membentuk institusi kekeluargaan yang terbaik melalui perkahwinan yang sah berlandaskan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Islam menggariskan undang-undang perkahwinan yang lengkap bagi memelihara kepentingan umat manusia. Segala peraturan dan disiplin dalam perkahwinan Islam adalah bertujuan menjaga kepentingan pasangan suami isteri serta zuriat-zuriat mereka.
Perkembangan institusi perkahwinan inilah yang membentuk masyarakat Islam yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan keturunan bagi memakmurkan alam dunia ini.
Sayangnya hari ini, terdapat banyak kepincangan institusi keluarga yang mengakibatkan bermacam-macam gejala sosial dalam masyarakat dan ia semakin menjadi-jadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan banyak pihak yang terlibat.
Atas kesedaran inilah, Zawiah Hassan dan Rohayati Bakri mengambil inisiatif menghasilkan buku, 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam dalam usaha berkongsi maklumat serta mendidik ahli masyarakat berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkahwinan Islam.
Buku ini mengupas dengan ringkas dan padat pelbagai permasalahan dan persoalan yang sering menjadi tanda tanya kepada pasangan dalam melayari perkahwinan.
Di samping itu, setiap persoalan yang dikemukakan disusun mengikut fasa perkahwinan dan dimuatkan juga persoalan yang berkait dengan isu semasa.
No comments:
Post a Comment