KUALA LUMPUR 5 Mei - Malaysia komited memperkenalkan keindahan Islam sebenar supaya masyarakat antarabangsa khususnya Barat tidak lagi memandang serong terhadap agama suci itu yang selama ini sering dikaitkan dengan keganasan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memberi sumbangan ke arah itu kerana Islam tidak pernah menganjurkan keganasan sebaliknya menitikberatkan perpaduan, kasih sayang dan keharmonian.
Justeru katanya, pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 oleh pihak Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Kebudayaan Saintifik Islam (ISESCO) boleh dijadikan medan terbaik untuk mengubah persepsi golongan terbabit mengenai Islam.
"Selama ini ramai di kalangan orang bukan Islam di negara-negara Barat berpandangan Islam ini ganas. Kita harus memberi sumbangan untuk memperbetulkan tanggapan ini kerana Islam bukan seperti mana yang mereka gambarkan.
"Islam adalah agama yang menganjurkan perpaduan dan berkasih sayang dan ini jelas disebutkan dalam al-Quran dengan maksudnya 'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai','' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam 2009 di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini hari ini.
Pelancaran majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Turut hadir Setiausaha Agung ISESCO, Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri, duta-duta asing dan Naib Pengerusi Yayasan Al-Bukhari, Datuk Ismail Yusof.
Rais berkata, pemilihan Kuala Lumpur itu merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam memartabatkan Islam di persada antarabangsa khususnya melalui kebudayaan.
Beliau berkata, bukan mudah Kuala Lumpur dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam kerana ia terpaksa melalui syarat-syarat pemilihan yang amat teliti antaranya perlu mempunyai status sejarah unik, mempunyai keupayaan Islam yang nyata dan mempunyai kemudahan penyelidikan saintifik
Katanya, selain Kuala Lumpur, terdapat tiga ibu kota lain telah dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam iaitu Baku (Republik Arzebaijan), Khairouan (Tunisia) dan N'djamena (Republik Chad).
"Pemilihan kesemua ibu kota ini telah diputuskan dalam dua mesyuarat iaitu di Algiers (2004) dan Tripoli (2007),'' katanya.
Terdahulu dalam ucapannya Rais berkata, sebanyak 215 program telah disusun sempena pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam.
"Pengisiannya merangkumi program-program yang merentasi pelbagai kebudayaan Islam antaranya pameran koleksi terpilih dari Mekah, seni khat tradisional dan kontemporari, manuskrip Islam selain pameran seni lukis dan seni foto.
"Daripada segi persembahan pula, kita akan mengadakan kebudayaan berunsur Islam seperti teater, seni suara, muzik dan syair,'' katanya lagi.
Program-program percambahan ilmu katanya juga akan diadakan antaranya seperti forum, ceramah dan perbincangan.
"Di bawah segmen penyiaran pula akan dibekalkan program-program mengutuhkan minda, pembentukan sikap akidah dan kepercayaan. Turut dipaparkan sesi pembelajaran al-Quran,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment