Like Blog Ini...

Wednesday, May 13, 2009

Ibu, dikaulah ratu hatiku!

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

BU, Siti dah balik!," aku memanggil ibu dengan gembira. Inginku tunjukkan hadiah yang kuterima atas kejayaanku dalam peperiksaan baru-baru ini. Ia aku anggap hadiah sempena hari Ibu. Namun tiada jawapan daripada ibu. Barangkali ibu di dapur.

Bila ku jengah ke dapur, ibu tiada di situ. Agaknya dalam bilik. Benar sekali sangkaanku, ibu dalam bilik, tidur dengan adikku.

Ibu barangkali sudah sangat penat. Sudah dua malam adikku itu demam. Dan selama itulah ibuku tidak tidur lena.

Sudahlah tidur tak lena, pagi-pagi sudah bangun menguruskan kami adik-beradik yang seramai lapan orang ini sehingga ke lewat malam. Menguruskan makan pakai kami, memantau persekolahan kami dan memastikan kami dapat hidup dengan selesa mungkin, biarpun dalam keadaan sederhana.

Kasihan aku melihat ibu. Aku membiarkan ibu tidur. Aku kemudian ke dapur untuk makan, solat dan kemudian sambung untuk membantu ibuku membuat persiapan kuih untuk esok serta bantu dengan kerja-kerja sekolah adik-adik. Begitulah rutin harianku selepas pulang daripada sekolah. Kadangkala ibu marah padaku dan menyuruh aku membaca buku dan mengulangkaji pelajaran.

Aku tak pernah mengabai pelajaranku. Tetapi dalam masa yang sama aku tak sanggup lihat ibu bersusah payah seorang diri menyiapkan persiapan kuih untuk dijual.

Ayah di luar negara, melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah yang masih berbaki setahun. Kami pulang ke tanah air awal daripada ayah kerana aku akan mengambil peperiksaan menengah rendah.

Sejak kecil, kami faham akan perjuangan ayah. Ayah bercita-cita tinggi. Kata ibu dari zaman mudanya lagi ayah seorang yang kuat semangat dan tidak mudah putus asa. Sentiasa belajar dan belajar biarpun hidup susah. Ibu menanamkan azam yang kuat dalam diri kami supaya mencontohi ayah.

Ayah juga sangat menyanjung tinggi pengorbanan ibu berhenti bekerja kerana hendak menjaga kami. Ibu berhenti di saat ibu mendapat tawaran yang lebih tinggi dan lumayan. Atas kesedaran bahawa peranan ibu tidak boleh ditukar ganti, ibu mencurahkan sepenuh kasih sayangnya pada kami dan dengan kasih sayang itulah kami membesar dengan sempurna dan bahagia.

Ibu dan ayah selalu menceritakan pengalaman membesarkan kami lapan beradik di negara orang. Bukan sedikit cabarannya. Biarpun aku ada kalanya tak faham akan cerita-cerita ibu dan ayah, pengalaman melihat ibu membesarkan kami menjadi sekolah hidup pada kami. Banyak pengorbanannya pada kami sekeluarga yang tak mampu kami balas sehingga bila-bila.

Aku masih ingat lagi akan susah payahnya ibu menguruskan kami ketika ayah sedang sibuk dengan pelajarannya di universiti. Biasiswa ayah sahaja tidak cukup untuk menampung kehidupan kami sepuluh orang di rantau asing.

Membesar

Tinggal pun di rumah dua bilik atas masjid. Di situlah kami membesar selama empat tahun. Tapi kami ceria dan gembira tinggal beramai-ramai di bawah limpahan kasih ibu dan ayah. Rumah kecil terasa bagai syurga.

Ibu membuat pelbagai jenis masakan untuk dijual secara kecil-kecilan di masjid komuniti tempat kami tinggal untuk menampung kehidupan. Pakaian dan barangan dibeli secara berhemah.

Aku masih ingat ibuku menceritakan bahawa baki wang ayah di bank tinggal kurang daripada 10 dolar saat menyambut Hari Raya. Pun begitu, ibu dan ayah berusaha menceriakan kami dengan membeli baju-baju terpakai yang masih elok. Kami adik-beradik menerimanya dengan hati yang gembira.

Biarpun begitu, aku tahu ibu dan ayah sayu di sebalik senyuman mereka. Dari situ kami dididik supaya sentiasa bersyukur dengan pemberian orang dan tidak mengeluh dengan kesusahan. Dan ibu, aku lihat begitu setia di samping ayah dan tidak pernah mengeluh dengan cabaran yang datang.

Umurku baru hendak menginjak ke alam remaja, namun aku mengerti akan tanggungjawabku sebagai anak sulung. Membantu ibu dan ayah dalam membesarkan adik-adik adalah tugasku juga. Apatah lagi dalam keadaan sekarang ayahku di luar negara, maka tanggungjawab ibu menjadi lebih besar.

Menguruskan anak-anak seramai ini seorang diri bukanlah mudah. Justeru aku sedaya upaya membantu ibuku untuk meringankan tanggungjawabnya.

Kadangkala aku sedikit cemburu melihat rakan-rakan lain yang sebaya denganku begitu bertuah kerana dilimpahi dengan kemewahan dan kesenangan. Tak perlu bersusah payah seperti aku, belajar dan pada masa yang sama membantu menguruskan adik-adik yang masih kecil.

Namun aku bersyukur kerana aku telah dididik bahawa wang amat perlu dalam kehidupan, namun ia bukanlah segala-galanya. Tanpa ilmu dan amal, harta tidak dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Aku insaf bahawa harta setimbun mana pun tidak berguna jika miskin kasih sayang.

Aku lihat ada antara kawanku yang dibesarkan dengan kemewahan, tetapi sentiasa dahagakan kasih sayang dan perhatian ibu bapa mereka. Lebih malang lagi ada yang terjebak dengan perbuatan yang tidak elok.

Aku berasa amat kesal apabila ada rakanku yang tidak menghargai pengorbanan ibu ayah mereka dengan melakukan perbuatan yang kurang baik. Tetapi aku juga mengerti bahawa ibu ayah juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak mereka.

Aku makin mengerti bahawa ibu bukan sahaja berperanan sebagai seorang ibu, tetapi juga sebagai teman yang setia pada suami dan anak-anak, tonggak penting keluarga, tempat meluahkan perasaan dan mengadu masalah serta pembakar semangat di kala keresahan.

Aku amat kagum dengan sikap tenang ibu, kemurahan dan kebaikan hati ibu kepada kami sekeluarga selama ini. Terasa kecil dengan jasa-jasa ibu dan aku percaya setiap orang akhirnya akan mendapati bahawa tiada sesuatu pun yang boleh dibandingkan dengan kesucian kasih sayang seorang ibu.

Justeru, aku insaf bahawa pengorbanan di dalam kehidupan sememangnya lumrah kehidupan seorang manusia.

Pengorbanan seorang ibu, pengorbanan seorang ayah, pengorbanan seorang cikgu dan lain-lain jenis pengorbanan yang dilakukan adalah untuk membahagiakan anak-anak atau orang lain.

Pengorbanan ibu bapa kita merupakan pengorbanan paling tinggi yang kita tidak wajar untuk melupakannya. Susah payah mereka membesarkan kita sehingga menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara.

Insan tinggi

Perlu diinsafi, ibu adalah insan yang tinggi kedudukan dan martabatnya di sisi Islam sehingga Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu. Ia bermakna seseorang anak sudah pasti tidak dapat masuk syurga tanpa keredaan ibunya walaupun sebaik mana sekalipun amal soleh yang dilakukannya.

Sedang aku leka melayur daun pisang untuk dibuat lepat, tiba-tiba ibu menepuk lembut bahuku dari belakang. Ibu hanya senyum melihat aku sambil bertanyakan apakah aku sudah makan atau belum. Aku mengangguk perlahan.

Tiba-tiba sahaja aku terasa sebak. Terus aku peluk ibuku dan menangis. Bukan kerana sedih, tetapi bersyukur kerana Tuhan telah menganugerahkan aku sekeluarga dengan seorang ibu yang berhati mulia, cekal dan mewah dengan kasih sayang.

Aku pasti ibu pelik dengan tingkah laku ku, tetapi kurasakan dakapan ibu semakin erat, seolah-olah mengerti dengan apa yang kurasakan sekarang. Sesungguhnya jasa ibu tidak ternilai. Ibu, dikaulah ratu hatiku!

Firman Allah bermaksud: Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua orang tuanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuannya mengenai itu, maka janganlah kamu mentaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku beritahukan kepadamu apa yang kamu kerjakan. (Luqman: 14-15)

No comments: