Like Blog Ini...

Monday, May 11, 2009

Belai ibu dengan kasih sayang

Insan yang paling mulia bagi setiap manusia selepas Nabi Muhammad SAW adalah ibu. Mulianya mereka bukan sahaja kerana ibulah yang mengandung, melahir, menyusukan kita tetapi juga kerana ketabahan mereka mendidik dan mengasuh anak-anak sehingga dewasa.

Sebab itu, Nabi SAW dalam suatu peristiwa ditanya oleh seorang lelaki sebagaimana hadis bermaksud: Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu. (muttafaqun alaih)

Malah, dalam sebuah hadis lain dinyatakan: “Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa”. (riwayat al-Hakim)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ROY AZIS ABDUL AZIZ menemu bual pensyarah Jabatan Undang-undang Islam, Fakulti Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Datin Paizah Ismail bagi mengupas isu ini.


Mega: Apakah status kedudukan ibu menurut Islam?
PAIZAH: Kedudukan ibu adalah istimewa dalam Islam. Hadis Rasulullah SAW di atas tadi mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain, walau kepada bapa sekalipun.

Malah, Rasulullah SAW menyebut berbakti kepada ibu sebanyak tiga kali berturut-turut dalam hadis itu, barulah Baginda menyebut berbakti kepada bapa, sekali gus menunjukkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu terhadap anak.

Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya melupakan peranan bapa bagi menjamin keselesaan dan kebahagiaan hidup sesebuah keluarga.

Justeru, kita seharusnya menghormati dan menyayangi ibu kita tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bapa.

Dalam al-Quran, Allah berfirman yang maksud-Nya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Israk: 23 dan 24)

Ahad lalu, masyarakat kita menyambut Hari Ibu. Apakah status menyambut Hari Ibu dalam Islam?
PAIZAH: Memang dalam Islam, hanya dua perayaan yang diiktiraf iaitu hari raya puasa dan hari raya haji.

Namun, tidak salah kita pilih hari tertentu untuk sambut Hari Ibu. Ia tidak lain bagi memberi penghormatan kepada para ibu yang banyak berjasa dan berkorban melahir dan mendidik kita.

Ini bukan juga bermakna pada hari lain kita tidak menghormati atau mengingati ibu. Ibu perlu sentiasa dipatuhi dan dihormati setiap masa selagi tidak menentang perintah Allah.

Cuma pada Hari Ibu, kita memberi lebih perhatian untuk melihat dan mengenang kembali peranan yang dimainkan oleh para ibu.

Walaupun sambutan Hari Ibu ini dimulakan oleh masyarakat Barat, ia tidak bermakna kita tidak boleh mengikutinya.

Amalan atau benda yang baik boleh kita terima walaupun ia datang daripada musuh.

Cuma, kita menyambutnya mengikut acuan sendiri berdasarkan budaya kita. Sambutan itu walaupun barangkali ada persamaannya ia bukan bermakna kita meniru Barat.

Bagi sebilangan orang, mengirim wang setiap bulan kepada ibu sudah memadai. Lalu tidak perlu bertanya khabar atau menziarahi mereka. Adakah ini yang diharapkan oleh ibu?
PAIZAH: Tanggapan demikian adalah silap. Bagi seorang ibu, wang bukan segala-galanya. Mereka pun bukan hendak sangat duit anak-anak.

Yang lebih mereka perlukan adalah kasih sayang dan sikap ihsan anak-anak yang menziarahi mereka serta memberi perhatian kepada mereka.

Lebih-lebih lagi bagi ibu dan bapa yang telah lanjut usia.

Keikhlasan anak-anak dalam membantu ibu lebih utama daripada ungkapan “saya sayang emak” semata-mata.

Demikian juga nilai masa yang diluangkan bersama ibu. Ini lebih penting daripada semata-mata wang ringgit yang dikirim setiap bulan.

Setiap ibu mahukan anak-anaknya berjaya. Sehinggakan ibu sanggup tidak makan dan bersusah payah untuk memastikan anak-anak tidak kelaparan dan berjaya dalam pelajaran.

Apabila sudah berjaya, harapan besar ibu bapa adalah mereka tidak diabaikan. Jangan apabila sudah berjawatan tinggi dan bergaji besar kita lupakan ibu. Jangan kita malu mengaku ibu sebab ibu kita buta huruf.

Apakah cara bagi seseorang anak itu untuk menunjukkan kasih sayang kepada ibu?
PAIZAH: Seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Israk ayat 24 di atas, seorang anak itu perlu bersifat ihsan, berkasih sayang terhadap ibu dan bapa.

Malah, kita selalu mendengar ungkapan, ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’.

Peranan ibu lebih besar kerana merekalah yang bersusah payah mengandung, melahirkan, menyusukan anak sehingga umur dua tahun. Dan peranan ini tidak ada pada golongan bapa.

Justeru anak-anak perlu memberi khidmat yang cemerlang kepada ibu. Kita perlu berbuat baik sepanjang masa kepada mereka.

Pendek kata, dalam kesibukan kerjaya, jangan sampai mereka diabaikan atau disisih. Jangan kita mengherdik dan meninggikan suara kepada mereka.

Sebaliknya, anak-anak perlu sentiasa menghormati ibu kerana reda Allah kepada kita bergantung kepada reda ibu.

Bagi yang tidak sempat berbakti kepada ibu atau bapa semasa hayat mereka, jangan kecewa.

Sebaliknya, gandakan kebajikan mudah-mudahan mendapat ganjaran Allah seterusnya merahmati roh ibu dan bapa kita.

Banyakkan bersedekah dan bayarkan kaffarah ibu kita jika kita tahu semasa hayatnya, ibu tertinggal puasa, zakat dan lain-lain.

Bagi yang belum sempat menunaikan haji, anak-anak yang mampu boleh menunaikan haji untuk mereka atau upah haji.

Kisah Juraij misalnya membuktikan bahawa bukan sahaja berbuat kejahatan boleh mengguris perasaan ibu tetapi ia juga boleh berlaku dalam kita beribadat. Apa pengajarannya?
PAIZAH: Kisah ini berlaku kepada ahli ibadat daripada keturunan Bani Israel bernama Juraij.

Beliau berhadapan dengan fitnah besar hanya kerana mementingkan sembahyang sunat daripada menyahut panggilan ibunya.

Akhirnya, beliau difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa mereka ada hubungan sulit hingga melahirkan anak. Mujurlah dengan kekuasaan Allah, bayi itu boleh bercakap dan menceritakan siapa bapanya yang sebenar.

Kalau dalam beribadat pun kita mungkin mengguris perasaan ibu apatah lagi nasib mereka yang kurang beribadat dan kadang-kala cakap lepas dan membantah cakap ibu?

Ini mengingatkan kit kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati”. (riwayat al-Hakim)

Bagaimana pula sikap yang harus ada pada anak yang menjadi mangsa dera atau pengabaian oleh ibu?
PAIZAH: Fitrah seorang ibu menyayangi anak. Binatang pun sayangkan anak inikan pula manusia. Cuma saya berpendapat, kes-kes dera, pengabaian atau buang bayi ini berlaku dipengaruhi oleh sebab luaran.

Antaranya, kemiskinan, sikap bapa yang tidak bertanggungjawab tidak memberi nafkah yang cukup dan sebagainya.


Sebab itu, saya tidak menyalahkan ibu 100 peratus. Sebaliknya, keadaan menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

Anak-anak perlu tetap menghormati dan mengasihi ibu kerana disebabkan ibu dan ayahlah kita lahir di dunia.

Dan rasa kasih sayang ini perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil. Ibu-ibu juga jangan suka berleter kepada anak-anak yang sudah remaja. Ini akan menyebabkan anak-anak tidak senang duduk di rumah dan hilang rasa hormat kepada para ibu.

Natijahnya, mereka akan mencari rakan atau orang lain sebagai tempat mendapat kasih sayang.

Ibu juga perlu memahami bahawa tidak selamanya mereka boleh mengongkong anak. Sebabnya, mereka juga akan dewasa, berkahwin dan menjadi ibu suatu hari kelak.

Seperkara yang tidak kurang pentingnya adalah ilmu keibubapaan yang perlu dipelajari oleh setiap pasangan yang ingin berumah tangga.

Ini supaya mereka memahami tugas dan tanggungjawab apabila sudah mempunyai anak kelak.

No comments: