Like Blog Ini...

Thursday, May 14, 2009

Isteri mahu bercerai selepas tiga bulan berkahwin

SAYA dan suami baru saja melangsungkan perkahwinan selama tiga bulan. Bagaimanapun, saya berasa sudah tawar hati dengan suami. Perkahwinan kami juga dibuat atas pilihan keluarga. Suami saya seorang yang bertanggungjawab. Bagaimanapun saya memang tidak boleh menerima suami dan tidak ada hati terhadap beliau. Saya cuba untuk menyayangi beliau, namun gagal. Saya rasa berdosa jika terus hidup dengan beliau. Suami menyuruh saya bersabar kerana perkahwinan baru mencecah tiga bulan. Saya juga pernah memohon untuk bercerai dengannya, namun beliau tidak bersetuju. Malah, beliau malu kerana perkahwinan masih baru dan sudah banyak wang digunakan untuk majlis perkahwinan. Bagaimana cara untuk saya bercerai? Saya sanggup membayar segala ganti rugi. Adakah Mahkamah Syariah boleh memutuskan ganti rugi kepada beliau? Jika boleh bagaimana caranya? Jika tidak, adakah cara lain untuk saya bercerai dengannya? Saya sanggup menanggung segala kos. Saya buntu.

Aini,
Kuala Selangor

Puan, dalam hal ini perlu diingat bahawa kuasa talak terletak di tangan suami. Jika suami tidak bersetuju untuk bercerai, maka ia memberikan gambaran bahawa puan tidak akan diceraikan.

Mahkamah tidak mempunyai kuasa memaksa suami melafazkan cerai terhadap puan kerana ia kuasa mutlak suami. Jika melihat dari sudut perceraian secara fasakh atau taklik pula, saya percaya syarat asas perceraian secara fasakh atau taklik tidak dapat dipenuhi kerana perkahwinan puan masih baru, tambahan pula puan turut menyatakan suami seorang yang bertanggungjawab.

Secara dasarnya, Mahkamah Syariah tidak ada kuasa menganugerahkan bayaran ganti rugi ke atas pihak puan atas faktor dinyatakan walaupun puan sanggup membayar ganti rugi berdasarkan kos kahwin dikeluarkan suami.

Jika puan masih berhasrat meneruskan perceraian dengan suami, boleh cuba mendapatkan persetujuan suami untuk perceraian secara tebus talak. Tebus talak bermaksud perceraian dibuat dengan bayaran oleh pihak isteri kepada suami untuk menebus diri beliau.

Perceraian secara tebus talak dibenarkan syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia. Seksyen 49 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan: “Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tak boleh dirujukkan.”

Firman Allah dalam surah al-Baqarah bermaksud: “Maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”

Cerai tebus talak (khuluk) dibenarkan bagi isteri yang tidak mempunyai sebab mendapatkan perceraian secara fasakh atau taklik atau apa-apa alasan untuk membubarkan perkahwinan. Ia juga bertujuan membenarkan isteri menebus dirinya untuk tujuan perceraian.

Cerai tebus talak bagaimanapun berdasarkan persetujuan bersama, suami hendaklah bersetuju bercerai secara tebus talak dan barulah mahkamah boleh membenarkan perceraian secara tebus talak itu.

Dari segi kadar bayaran tebus talak pula, bayaran haruslah dipersetujui kedua-dua pihak. Jika tiada persetujuan diperoleh dari kedua-dua pihak, kadar bayaran akan ditentukan mahkamah berdasarkan beberapa faktor dan kriteria.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Roshdan Sujak Rafie

No comments: