KUALA LUMPUR 5 Mei - Pengusaha makanan halal dari negara ini perlu berani menceburi perniagaan makanan berorientasikan selera masyarakat Maghribi, Tunisia dan Nigeria jika ingin menguasai pasaran makanan di Perancis.
Pensyarah Sekolah Perniagaan Singapura Perancis (Essec), Profesor Cedomir Nestorovic berkata, ini kerana majoriti masyarakat Islam dari benua Afrika Utara yang berjumlah tujuh juta itu kurang terdedah dengan makanan dari negara lain.
Beliau berkata, dengan nilai pasaran produk makanan halal di Perancis bernilai RM14.2 bilion setahun, peluang itu tidak seharusnya dilepaskan.
"Saya mendapati pendekatan untuk memasarkan makanan halal Melayu di Perancis adalah sukar kerana masyarakat Islam di sana kurang terdedah dengan makanan orang Melayu.
"Dan sebagai salah sebuah negara peneraju dalam industri makanan halal, pengusaha dari Malaysia tidak seharusnya melepaskan pasaran dagangan sebesar itu,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja 'Pasaran Industri Halal di Perancis' sempena Forum Dunia Halal Ke-4 di sini hari ini.
Nestorovic berkata, dengan mengkaji selera masyarakat Islam Perancis, pengusaha negara ini mampu menghasilkan produk tempatan bercita rasa Perancis.
Katanya, langkah itu sekali gus memudahkan pengusaha industri makanan halal di negara ini menguasai pasaran industri makanan di negara berkenaan.
Beliau menambah, masyarakat Islam Perancis juga memerlukan sehingga 200,000 tan daging halal dan permintaan bagi keperluan tersebut meningkat antara tujuh hingga 10 peratus setiap tahun.
"Biarpun industri makanan halal di Perancis menjurus kepada bekalan daging halal tetapi banyak lagi produk lain yang berpotensi untuk dipasarkan," jelasnya.
Ditanya harapannya terhadap Forum Dunia Halal tahun ini, Nestorovic berkata, satu piawaian antarabangsa berhubung status halal perlu dimuktamadkan.
Katanya, walaupun negara ini mempunyai standard halal terbaik tetapi masyarakat Islam antarabangsa kurang mengenali logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
"Dengan piawaian status halal antarabangsa, pelanggan Islam di seluruh dunia lebih mudah mengenal pasti status makanan tersebut,'' katanya.
No comments:
Post a Comment