FENOMENA kebangkitan rakyat telah menjadi kuasa yang cukup menggerunkan dewasa ini, terutama merujuk kepada peristiwa yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman dan beberapa negara lain di kawasan Asia Barat.
Kehendak rakyat yang sering digambarkan sebagai vox populi vox dei (suara rakyat, suara Tuhan), sinonim sebagai alat untuk mengawal tindakan kerajaan agar selaras dengan kebajikan dan keutamaan negara.
Apa juga nama bentuk perubahan itu, sama ada transformasi, reformasi atau islah, semuanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan kerajaan bersikap adil, telus dan bertanggungjawab terhadap rakyat.
Ini yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna melalui pemikirannya. Lantaran itu, melalui buku Hakikat Pemikiran Politik Hasan Al-Banna: Meluruskan Salah Faham Terhadap Peranan & Aktiviti Hasan al-Banna ini, penulis, Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir cuba mengupas pemikiran Hasan al-Banna yang juga dikenali sebagai pendakwah, penulis yang prolifik dan aktivis Islam sejak usia muda lagi berkenaan dengan siyasah syar'iah.
Penulis yang juga adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) turut cuba merungkai pemikiran politik Hasan al-Banna yang selama ini dipersepsikan sebagai tokoh yang menganjur pelbagai acara, termasuk revolusi, demi menegakkan negara Islam.
Berdasarkan analisis dan kajian yang dimuatkan dalam buku ini, pembaca akan mendapati bahawa Hasan al-Banna merupakan seorang yang fleksible serta menolak kekerasan.
Hasan al-Banna menegaskan bahawa tidak menjadi persoalan bentuk pemerintahan sesebuah negara itu iaitu jika negara itu negara Islam, negara berparlimen, kesultanan atau republik, sepanjang negara itu tidak melanggar syariah Islam dan meletakkan prinsip syariah Islam sebagai acuan utama.
Buku ini diakhiri dengan beberapa cadangan penulis iaitu dari segi akademik beliau mencadangkan agar diadakan penyelidikan lebih lanjut, menyeluruh dan komprehensif mengenai pemikiran tokoh pilihan ini dan konsepsinya tentang siyasah syar'iyah.
Kedua; bagi yang menguasai tampuk pemerintahan (penguasa) perlu memahami secara mendalam tentang siyasah syar'iyah yang disertai dengan hujah kukuh, terutamanya dalam mendepani cabaran politik semasa.
Tegas Dr. Aziz Jamaludin semangat dan nilai utama dalam siyasah syar'iyah bukan terletak pada simbolisasi penerapannya, akan tetapi ia terletak pada isi ajarannya.
No comments:
Post a Comment