Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
HUKUMAN yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah saban tahun dipertikaikan oleh kalangan awam. Mereka mendakwa hukuman yang bersifat punitif tersebut adalah terlalu kecil dan tidak mampu menjadi panduan atau mendatangkan keinsafan kepada pesalah syariah dan juga orang lain.
Acap kali mahkamah syariah dipersalahkan apabila hukuman yang dijatuhkan itu dikatakan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Sebenarnya Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 memperuntukkan hukuman maksimum yang boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali.
Akta inilah yang sebenarnya menghalang DUN meluluskan undang-undang untuk hukuman yang lebih berat dijatuhkan oleh mahkamah syariah.
Dalam ruangan ini, penulis ingin memberi tumpuan kepada hukuman penjara atau al habs dalam undang-undang Islam. Ini adalah kerana hukuman penjara bukan hanya dijatuhkan Mahkamah Sivil, malah ia juga dijatuhkan Mahkamah Syariah di setiap negeri.
Walaupun hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah terhad kepada tempoh maksimum tiga tahun saja (berbanding Mahkamah Sivil yang boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga seumur hidup), hakikatnya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa dan sudah menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah.
Pelbagai kesalahan jenayah syariah apabila disabitkan boleh dijatuhi hukuman penjara, seperti diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.
Pemenjaraan dalam Islam bertujuan memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat. Namun secara kritikalnya adakah pemenjaraan pesalah syariah sekarang ini mampu memulihkan pesalah syariah tersebut menginsafi kesalahan yang mereka lakukan itu?
Dalam Islam pemenjaraan bukan hanya bertujuan menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebebasan mereka. Banduan di penjara syariah pula perlu diberi layanan sewajarnya, tidak boleh diseksa dan tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mengamalkan agamanya.
Namun demikian, buat masa ini semua pesalah, sama ada jenayah sivil atau syariah ditempatkan di penjara sama. Ini bermakna pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran atau melanggar fatwa mufti, diletakkan di penjara sama dengan pesalah jenayah berat seperti dadah, rogol dan merompak. Mungkin hanya sel-sel di dalam penjara sahaja yang diasingkan.
Implikasinya dikhuatiri juga pesalah syariah terdedah dengan pesalah lain dan apabila keluar, mereka bukan insaf atas kesalahan yang dilakukan tetapi lebih teruk, cuba melakukan kesalahan lain pula.
Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah proaktif mentransformasi institusi penjara dengan mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh pemenjaraan itu pemulihan akidah, akhlak dan adab dilakukan.
Transformasi ini membolehkan pesalah syariah melangkah keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan sama. Dari sudut pakaian saja kita sudah boleh melihat pakaian dikenakan banduan di penjara tidak menutup aurat.
Aspek ini kita sudah boleh nampak ketidakpatuhan kepada syariah. Modul, pakaian, layanan dan kegiatan di penjara syariah mesti digarap mengikut piawaian diiktiraf hukum syarak. Sudah pasti, cetusan pandangan ini membawa implikasi besar dari segi kewangan kerajaan termasuk perbelanjaan dan perjawatan pegawai awam.
Namun pada era transformasi dan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' penjara syariah amat mendesak keperluannya kerana kadar kesalahan jenayah syariah semakin berganda, manakala penjara sivil terlalu sesak dan tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program yang boleh menginsafkan mereka.
Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara sedia ada gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka.
Sering kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka semata-mata ingin kembali ke penjara kerana mereka rasa lebih selesa berada di sana. Kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung banduan. Sifat punitif pemenjaraan itu dikesampingkan kerana tiada atau kurang nilai keagamaan disemai di dalam penjara.
No comments:
Post a Comment