Like Blog Ini...

Sunday, July 15, 2012

Manfaat vaksin

KESIHATAN bukan sahaja faktor utama yang menyumbang kepada kebajikan insan, tetapi juga berperanan sebagai alat untuk meningkatkan tahap pendapatan peribadi, kekayaan dan kesejahteraan sesebuah negara.

Oleh sebab itu program pemvaksinan atau pelalian telah diiktiraf sebagai salah satu daripada langkah kesihatan umum yang paling penting dan berkesan, dengan kesan sosio ekonomi positif terhadap masyarakat dan negara.

Hakikat bahawa kesihatan bukan sekadar satu kesan tetapi juga punca pendapatan tinggi secara tidak langsung dicapai melalui program seperti ini.

Pakar ekonomi kesihatan dan pakar dasar dari Maastricht School of Management, Belanda, Dr. Edith Maes, berkata, terdapat empat cara di mana pelaburan dalam program pelalian boleh menyumbang kepada tahap pertumbuhan ekonomi lebih pesat.

"Peranan pertama pelaburan kesihatan ialah dari segi produktiviti buruh. Pekerja yang sihat kurang mengambil cuti dan lebih produktif semasa bekerja.

"Keduanya adalah berkaitan dengan jadual pelalian yang dikemas kini, di mana kesihatan kanak-kanak boleh memberikan kesan langsung terhadap perkembangan kognitif dan keupayaan untuk belajar dalam sistem pendidikan kami.

"Manfaat ketiga ialah kesan langsung kesihatan terhadap simpanan, kerana jangka hayat lebih panjang boleh meningkatkan insentif untuk menabung untuk persaraan dan menjana tahap simpanan dan kekayaan yang lebih tinggi.

Akhir sekali, tenaga kerja yang sihat mungkin meningkatkan insentif yang menarik pelaburan perniagaan tempatan dan pelaburan langsung asing," kata Dr. Edith pada taklimat media yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, sesebuah negara melangkah maju seiring dengan masyarakatnya apabila mereka mendapat manfaat daripada perlindungan yang disediakan menerusi pemvaksinan atau pelalian.

Ini kerana, vaksin mengurangkan kesakitan, penderitaan, kehilangan upaya dan kematian daripada penyakit.

Justeru, ia secara langsung mengurangkan kos rawatan perubatan, mengurangkan bilangan hari cuti sakit atau cuti yang perlu diambil untuk menjaga ahli keluarga yang sakit.

"Daripada aspek keluarga pula, mereka mendapat manfaat apabila pencari nafkah utama sihat dan ahli keluarga tidak perlu mengambil cuti untuk menjaga kanak-kanak yang sakit.

"Kerajaan pula mendapat manfaat kerana pemvaksinan menyokong langkah pencegahan kesihatan, seperti pemeriksaan, kaunseling dan nasihat perubahan tingkah laku.

"Berasaskan semua sebab yang diberikan, pembiayaan kerajaan negara hendaklah diperuntukkan bagi program pelalian seluruh masyarakat. Untuk mencapai matlamat ekonomi, penduduk negara semestinya sihat dan terlindung," tambah Dr. Edith.

No comments: