Like Blog Ini...

Monday, July 23, 2012

Cegah pneumokokal

Oleh Pakar Perunding Pediatrik & Neonatalogi, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin.

PENYAKIT pneumokokal adalah penyebab utama penyakit serius dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia. Malah, sejuta kanak-kanak di dunia mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokal manakala setiap dua minit, seorang kanak-kanak di Asia mati akibat jangkitan ini.

Ia biasa ditemui dalam hidung dan tekak. Bakteria ini sangat mudah berjangkit apabila anda batuk, bersin, atau terkena rembesan pernafasan. Gejala jangkitan pneumokokus agak sama dengan selesema atau demam. Ini menyukarkan penyakit ini dikesan pada tahap yang lebih awal.

Jika bakteria ini masuk ke dalam saluran darah, ia boleh menyebabkan bakteremia (jangkitan darah). Bakteremia boleh menyebabkan kejutan septik, satu keadaan yang boleh mengancam nyawa.

Bakteria boleh menyerang selaput otak dan menyebabkan inflamasi yang dinamakan meningitis. Meningitis mengakibatkan kesan yang paling teruk. Risiko kematian atau kerosakan otak akibat jangkitan ini adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak, terutama sekali yang berumur bawah lima tahun. Tanda-tanda meningitis termasuk pening kepala, muntah-muntah, sawan, demam panas dan dalam kes paling teruk, pesakit tidak sedarkan diri.

Pneumokokus juga boleh menyebabkan otitis media (jangkitan pada bahagian tengah telinga) dan sinusitis (keradangan sinus). Jika penyakit ini menyebabkan otitis media, gegendang telinga akan bengkak dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada pesakit selain demam dan gangguan tidur.

TerbaikCara terbaik untuk melindungi keluarga anda daripada penyakit pneumokokal adalah melalui vaksinasi. Menurut WHO, jangkitan pneumokokal adalah punca kematian daripada penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Pneumokokus adalah punca utama kematian akibat pneumonia. Lebih 50 peratus kematian akibat pneumonia adalah disebabkan oleh pneumokokus. Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko tinggi mendapat jangkitan yang boleh membawa maut ini dan kajian yang diterbitkan tentang jangkitan pneumokokus menunjukkan kadar morbiditi (penyakit) dan mortaliti (kematian) adalah paling tinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah dua tahun.

WHO pada 2007 mengisytiharkan: "Menyedari beban berat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak dan keselamatan serta keberkesanan Vaksin Konjugat Pneumokokal (PCV) dalam kumpulan usia ini, kemasukan vaksin ini dalam Program Pelalian Negara (NIP) adalah satu keutamaan".

Vaksinasi menentang penyakit pneumokokal invasif (IPD) adalah strategi penting untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan morbiditi kerana ia boleh mencegah kanak-kanak daripada dijangkiti dan mengurangkan penularan bakteria.

No comments: