Like Blog Ini...

Sunday, July 15, 2012

Asma : Penyakit kronik kanak-kanak


Oleh SITI HAJJAR ABDULLAH

SIKAP tidak mahu mengambil tahu serta kurang kesedaran tentang penyakit asma adalah punca meningkatnya bilangan penghidap penyakit ini di tahap kronik terutama di kalangan kanak-kanak.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 300 juta penduduk di seluruh dunia menghidap asma dan angka tersebut dijangka bertambah sebanyak 100 juta menjelang tahun 2025.

Penyakit tersebut dihidapi olah semua peringkat usia namun ia merupakan penyakit kronik yang paling banyak dihidapi oleh kanak-kanak.

Di Malaysia saja, penyakit ini menjejaskan kira-kira 10 peratus hingga 13 peratus penduduk dengan sebilangan besar masih di bawah rawatan.

Kajian oleh Majlis Asma Malaysia (ACM) pula menunjukkan 66 peratus pesakit asma di negara ini tidak pernah menjalani ujian fungsi paru-paru.

Selain itu, dianggarkan juga 32 peratus pesakit asma telah tertinggal kerja dalam jumlah enam hari setahun kerana penyakit itu manakala sebanyak 21 peratus penghidap mengalami gangguan tidur.

Lebih mengejutkan 52 peratus daripada kanak-kanak tidak hadir ke sekolah akibat asma, yang turut menyebabkan kegagalan dalam kegiatan fizikal, sosial dan 67 peratus daripada mereka tidak menerima sebarang rawatan.

Pakar Runding Pediatrik dan Doktor Dada Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, terdapat ramai pesakit asma di seluruh dunia yang mempunyai keperluan yang tidak dipenuhi, sebab itu ia membawa kepada kawalan asma yang lemah.

Selain itu katanya, kekurangan pengetahuan dan juga salah faham mengenai penyakit asma serta rawatan yang diberikan tidak terperinci juga penyebab kekangan dalam membendung penyakit ini.

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa rawatan yang sempurna membolehkan hampir semua pesakit asma dapat mengawal asma dengan baik dan seterusnya membantu mereka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sekolah, tempat kerja dan lain-lain.

"Justeru pendidikan dari usia muda merupakan aspek utama dalam membentuk kesedaran tentang penyakit asma.

"Kawalan dan pengurusan asma yang baik akan membolehkan pengidapnya menjalani kehidupan aktif dan sihat seperti orang normal yang lain.

"Kesedaran mengenai asma adalah sama pentingnya dengan cara pengawalan asma yang baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr. Norzila, asma adalah sejenis penyakit yang biasa di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia dan penyakit tersebut turut meningkat pada kadar tertinggi yang dihidapi oleh anak-anak kecil ini.

"Kawalan asma di kalangan kanak-kanak kurang diberi perhatian sepenuhnya di samping itu, ia turut menyekat aktiviti gaya hidup kanak-kanak ini.

"Ibu bapa perlu menitik-beratkan tentang permasalahan penyakit ini kerana jika ia tidak dirawat dan dicegah ia boleh membahayakan pesakit tersebut," katanya.

Beliau berkata, kesedaran adalah satu cara untuk mencegah seseorang daripada penyakit asma ini dan ia boleh dielakkan jika pesakit mempunyai pendidikan dan pengetahuan yang baik.

Bersempena dengan Hari Asma Sedunia 2012 baru-baru ini, sebuah buku komik mengenai asma yang bertajuk Apa Sudah Jadi Dengan Max? telah dilancarkan oleh ACM dengan sokongan GlaxoSmithKline.

Pelancaran buku ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap asma dan pengurusannya di kalangan penghidap kanak-kanak yang merangkumi sejumlah 4.9 hingga 13.8 peratus dalam keseluruhan populasi kanak-kanak.

No comments: