Oleh FAROUQ ZAUJI
SESUNGGUHNYA Islam tidak pernah menghalang hambanya untuk mencari kekayaan yang menjadi lambang serta kayu ukur kesenangan hidup manusia di dunia. Bahkan, mencari kesenangan itu adalah satu keperluan demi membina kehidupan sempurna dan sewajarnya.
Insan yang waras fikirannya sudah tentu tidak ingin hidup dalam keadaan susah, tersepit dan miskin. Lantaran itulah mereka sanggup bertungkus-lumus, membanting tulang tanpa mengira penat dan waktu.
Ingin menjadi kaya raya, memiliki harta yang banyak, rumah dan kereta mewah, juga bukan halangan atau satu kesalahan dalam syariat jika kita mampu.
Namun Islam tetap memberi peringatan supaya setiap manusia tidak lalai dan hanyut dengan harta dan kesenangan dunia.
Pelbagai bentuk kesenangan yang dikurniakan Allah, sesungguhnya ia bukanlah untuk dibangga dan dimegahkan, tetapi untuk disyukuri. Demikianlah sifat orang Islam yang beriman.
Allah sudah memberi jaminan keuntungan besar bagi orang yang mahu bersyukur dengan nikmat-Nya seperti terkandung dalam firman-Nya: Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri. (asy-Syura: 27)
Walaupun sudah memiliki kekayaan yang melimpah ruah dan dapat menikmati kesenangan hidup secukupnya di dunia, seorang Muslim sejati disaran menabur bantuan atau pertolongan kepada manusia lain dalam mencari keberkatan hidup.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Harta tidak akan berkurang dengan sedekah dan Allah tidak menambah kepada hamba-Nya yang memaafkan melainkan kemuliaan, dan tidak tawaduk seseorang kepada Allah melainkan Allah menaikkannya. (riwayat Muslim)
Seharusnya masyarakat Islam ini sentiasa bersama dalam mengharungi hidup, ibarat kata pepatah: 'Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing'. Dengan kesedaran ini secara tidak langsung kita dapat membantu meringankan beban insan-insan yang amat memerlukan.
Melihat kepada situasi ini, usaha Islamic Aid Malaysia (IAM) dalam menjejaki mereka yang kurang berkemampuan telah mendapat perhatian daripada sebuah badan korporat iaitu Etiqa Takaful Berhad.
Kini, memasuki musim kedua, Etiqa Takaful Berhad terus bersama-sama IAM dalam menjejaki mereka yang kurang berkemampuan, seterusnya membantu mengurangkan beban penderitaan yang dihadapi sebagai tanda prihatin terhadap keperluan masyarakat tempatan.
Usaha murni ini menggunakan pendekatan konsep ziarah bagi melihat sendiri dan merasai kesusahan serta penderitaan yang mereka hadapi.
Melalui program ini, pihak Etiqa Takaful Berhad, sebagai rakan kemanusiaan IAM membiayai sumbangan pek makanan kepada 1,600 buah keluarga yang melibatkan penduduk miskin di negeri Kedah, Perlis, Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan juga Sarawak.
Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan juga golongan orang kurang upaya (OKU) miskin yang telah dikenal pasti oleh pihak IAM layak menerima bantuan.
Setiap mereka menerima sumbangan pek makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, susu, makanan dalam tin, biskut dan lain-lain.
Penerima manfaat juga turut menerima wang tunai RM50 setiap seorang.
Pengagihan bantuan dilaksanakan secara berperingkat mengikut pecahan wilayah.
Buat masa ini, hanya lima negeri sahaja telah selesai program pengagihan bantuan dan selebihnya dijadualkan akan berakhir pada pertengahan Julai ini.
Rata-rata mereka yang hadir dalam program 'Jejak Prihatin' ini menyatakan rasa kesyukuran kerana masih lagi ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka walaupun berada di kawasan luar bandar.
Ada juga yang menitiskan air mata kesyukuran kerana diraikan sedemikian rupa dan terkejut dengan sumbangan barangan dan wang tunai.
Menurut Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Syariah Etiqa Takaful Berhad, Zaiem Ismai, sumbangan Etiqa kepada IAM adalah sebahagian daripada zakat tahunan syarikat itu yang dihulurkan secara terus kepada institusi-institusi kebajikan yang layak di bawah program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa.
"Secara jujur kami meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada IAM melalui program mereka yang dikenali sebagai program Jejak Prihatin 2012.
"Sementara itu, melalui program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa, syarikat kami telah membantu lebih 17 institusi kebajikan dan lebih 1,600 anak-anak yatim dan golongan asnaf di seluruh Malaysia.
"Lebih RM1.5 juta dibelanjakan setiap tahun untuk memberi bantuan dalam bentuk kewangan, bangunan dan kemudahan-kemudahan seperti asrama, kelas pendidikan, kantin, surau dan juga dalam bentuk peralatan seperti komputer, peralatan pendidikan dan permainan dan pelbagai lagi.
"Program ini juga adalah sejajar dengan janji jenama kami untuk menginsankan insurans dan takaful. Kami berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu para penerima sumbangan dari seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui pada program tersebut di Kelantan, baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Etiqa Takaful Berhad yang memberi kepercayaan serta keprihatinan mereka terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dilaksanakan IAM.
"Kami akan buat yang terbaik dalam menyalurkan bantuan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka.
"Program ini akan diteruskan dengan berkunjung ke Perak, Pahang dan Sarawak bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa kepada mereka yang benar-benar memerlukan," kata Zawahir yang turut berterima kasih kepada rakan sukarelawan IAM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.
Di samping itu, Zawahir juga menyeru agar lebih banyak lagi syarikat korporat mencontohi usaha Etiqa Takaful Berhad ini dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan kelolaan IAM.
No comments:
Post a Comment