Like Blog Ini...

Tuesday, July 17, 2012

RM5 juta biayai pelajar hafaz al-Quran

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) yang membuka peluang kepada golongan hafal al-Quran melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah itu dijangka mampu menaja 200 pelajar tahun ini.

"Dana yang diperuntukkan bagi SPH ini adalah keprihatinan kerajaan untuk golongan hafiz di negara ini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, diploma lanjutan, sarjana dan doktor falsafah," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Darul Quran (DQ) di Kuala Kubu Baru, dekat sini hari ini.

Mengulas perkara berbeza, Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menaik taraf DQ kepada kolej universiti.

"Jakim komited untuk menaik taraf DQ menjadi kolej universiti awam tetapi dengan hasrat segala perkembangan dan pentadbiran DQ masih di bawah bidang kuasa Jakim," katanya.

Pada konvokesyen itu, 494 pelajar menerima sijil dan diploma masing-masing. - BERNAMA

No comments: