Like Blog Ini...

Saturday, July 14, 2012

Siapa asnaf riqab?

SAYA inginkan sedikit penjelasan mengenai asnaf ar-Riqab. Ini kerana, ada pihak yang mendakwa, hari ini riqab yakni para hamba sudah tidak ada, maka tidak perlulah lagi dikekalkan asnaf ini dalam pengagihan zakat. Dalam situasi lain, ada pihak mendakwa, ia masih perlu dikekalkan. Harap penjelasan ustaz?

Jawapan

Terima kasih kerana sudi menghulurkan pertanyaan. Moga-moga dengan jawapan ringkas yang disediakan ini, mampu menjernihkan pandangan kita terhadap keunggulan ketentuan Allah SWT dalam aspek pengagihan zakat ini, insya-Allah.

Di dalam al-Quran, Allah SWT meletakkan kedudukan asnaf ar-Riqab di dalam senarai penerima zakat pada posisi kelima. Iaitu, dimulai dengan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf dan riqab.

Kedudukan ini secara tidak langsung menunjukkan, betapa golongan ar-Riqab mempunyai kedudukan yang penting untuk dibantu oleh institusi zakat.

Bahkan Dr. Yusuf al-Qarawadi telah membahaskan penggunaan kalimah awalan 'li' dan 'fi' daripada aspek Bahasa Arab, bagi empat asnaf yang pertama dan empat asnaf yang kedua, demi menjustifikasikan betapa membantu asnaf riqab adalah suatu tuntutan yang mendesak dan tidak boleh dipandang ringan (Hukum Zakat, hal. 584).

Baiklah, apakah maksud sebenar ar-Riqab? Riqab adalah jamak daripada perkataan raqabah yang membawa maksud budak (hamba) belian laki-laki dan bukan budak belian perempuan. Namun begitu, dalam konteks pengamalan, ia tidaklah hanya tertakluk kepada hamba lelaki sahaja, bahkan termasuk juga hamba wanita.

Daripada aspek transliterasi langsung pula, riqab atau raqabah bermakna 'leher'. Maka, fuqaha menyatakan, istilah ini adalah satu kiasan yang menunjukkan betapa perhambaan adalah satu bentuk belenggu yang mengikat seseorang itu daripada menikmati kebebasan (Hukum Zakat, hal. 587).

Maka, Allah SWT menurunkan keizinan agar para hamba ini dimerdekakan dengan bantuan zakat, sebagai simbol betapa Islam amat meraikan kebebasan manusia daripada diperhambakan (dibelenggu) sesama manusia.

Dalam pada itu, selain daripada surah at-Taubah ayat 60, Allah SWT turut menyinggung pembebasan hamba atau golongan ar-Riqab ini pada surah an-Nur, ayat 33.

Namun begitu, masa terus beredar dan kita dapat melihat umumnya perhambaan semakin hari semakin berkurangan. Akhirnya, ada sebahagian negara di dunia ini, khususnya di negara-negara maju dan membangun, perhambaan hampir sudah pupus sama sekali.

Maka, timbullah persoalan daripada sesetengah pihak, adakah masih ada keperluan untuk mengekalkan asnaf riqab di dalam pembahagian zakat?

Berdasarkan pengamatan, ada negara-negara di dunia yang telah mengalihkan peruntukan riqab ini kepada asnaf yang lain, misalnya di Arab Saudi. Bahkan, Simposium Kedua Perbadanan Rasmi Zakat Sedunia pada 1989, telah mengeluarkan fatwa bahawa agihan zakat bagi asnaf riqab boleh diagihkan kepada asnaf lain (Rujuk buku Fiqh Zakat Malaysia, hal. 227).

Namun begitu, menurut pandangan fuqaha lain, keperluan ke atas meluaskan definisi ar-Riqab sebaliknya dapat memberikan manfaat kepada seluruh umat. Maka, dalam hal ini, sebahagian fuqaha tidak sekadar menyempitkan definisi riqab sebagai 'hamba' semata-mata; tetapi lebih meluas meliputi pelbagai aspek lain perhambaan.

Misalnya, Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya menyatakan, para tawanan muslimin yang ditahan oleh musuh-musuh Islam boleh dibebaskan dengan menggunakan peruntukan ar-Riqab.

Pandangan ini telah dikemukakan oleh Imam Ahmad. Begitu juga Sayyid Rashid Ridha telah mengemukakan pandangannya dalam kitab tafsirnya al-Manar, bahawa dana zakat juga boleh dikembangkan bagi membantu golongan yang mahu membebaskan negara mereka daripada belenggu penjajahan dan pandangan ini didokong oleh Syeikh Mahmud Syaltut (Hukum Zakat, hal. 592).

No comments: